Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, March 05, 2008

Islam diparti politikkan.

Pemahaman terhadap Islam dari seorang ke seorang memang berbeza-beza. Seperti yang selalu saya katakan, perbandingan kita dalam memahami Islam itu seperti cerita orang-orang buta yang hendak menggambarkan rupa gajah yang bergantung kepada bahagian mana yang mereka pegang. Kalau mereka dapat menerima pendapat dan pandangan rakan-rakan buta mereka yang lain, sudah tentu lebih jelaslah tentang rupa sebenar gajah itu kepada mereka. Masa ini bukan ada lagi Nabi yang boleh berhubung terus dengan Allah untuk menunjukkan kumpulan mana atau siapa yang paling betul antara kita. Itulah hikmahnya kita perlu berlapang dada dengan kumpulan-kumpulan atau pendapat-pendapat yang berlainan dari kita.

Saya bersetuju benar dengan pendapat yang mengatakan Islam tidak harus diparti politikkan kerana ini hanya akan membawa kepada perpecahan dan mengelirukan umat Islam. Sesungguhnya sistem parti politik yang kita amalkan sekarang ini adalah ciptaan barat dari kalangan orang Yahudi dan Nasrani. Apa saja benda yang diciptakan oleh Yahudi dan Nasrani ini memang mereka akan pastikan bercanggah dengan nilai hidup Islam. Niat jahat pihak Yahudi dan Nasrani ini memang telah didedahkan oleh Allah s.w.t dalam Quran yang bermaksud,"Kaum Yahudi dan Nasrani itu tidak sesekali akan senang kepada kamu sehinggalah kamu menuruti cara mereka".

Kalau setakat mengikut cara mereka makan dengan menggunakan sudu dan garpu, menukar atau memilih pemimpin mengikut sistem politik mereka mungkin boleh dimaafkan lagi. Tetapi kalau hendak memperjuangkan Islam dengan menggunakan sistem politik yang dicipta oleh mereka, ini sudah keterlaluan dan terhina sekali kerana cara dan adab perjuangan Islam itu telahpun ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita. Cara Rasulullah memperjuangkan Islam itulah yang sepatutnya kita turuti dan cara ini sajalah yang barakah dan pasti dijanjikan kejayaan oleh Allah s.w.t.

Tetapi ini tidak bermakna bila kita mengambil sistem politik bagi menukar atau memilih pemimpin mengikut sistem politik Barat ini kita boleh pula mengenepikan nilai dan akhlak Islam begitu saja. Kita tidak boleh sewenangnya mengaibkan, memfitnah, mencela, menghina, mengkafir, mengthoghut musuh-musuh politik kita, kerana perbuatan-perbuatan ini adalah tercela di sisi Allah s.w.t. walau atas nama politik sekalipun.

Apalah untungnya kita untuk taksub kepada parti-parti politik yang sistemnya dicipta oleh Nasrani dan Yahudi itu. Kalau pun terlalu mendesak marilah kita gunakannya hanya sebagai alat untuk menukar atau memilih pemimpin yang kita suka sahaja. Tetapi janganlah sampai sistem asing ini menjadi alat memecah belahkan umat Islam lebih-lebih lagi untuk dijadikan saluran untuk memperjuangkan Islam. Wallahualam.

Masjid dan Politik

Saya sungguh terharu bila membaca luahan hati ustaz Husien Yee terhadap layanan buruk yang diterimanya dari kakitangan pengurusan salah sebuah masjid di negara kita ini yang pernah dipaparkan di dalam majalah Tamaddun suatu masa dulu.

Masjid yang sepatutnya tempat yang dapat memberi keamanan dan perlindungan kepada pengunjungnya terutamanya dikalangan saudara-saudara baru tetapi telah bertindak sebaliknya. Dari pengalaman pahit beliau dengan masjid itu patutlah kita menyemak kembali peranan masjid sebagai media dakwah kepada masyarakat sekelilingnya.

Memang ada benarnya terdapat dikalangan pegawai dan kakitangan yang mengurus masjid bertindak tidak selaras dengan roh Islam itu sendiri. Kanak-kanak yang datang ke masjid sering diherdik dan dimarah atas alasan mengganggu jemaah bersembahyang. Akhirnya kanak-kanak yang membesar ini akan memusuhi dan menjauhi masjid. Tidak kyusuk sembahyang bukanlah
disebabkan bunyi bising tetapi sebenarnya disebabkan oleh hati mereka yang tidak kusyuk. Kalau hati mereka betul kusyuk, bom meletup pun mereka tak akan sedar.

Orang-orang yang datang ke masjid selalu dicurigai, pintu-pintu masjid dikunci, tandas pun dikunci. Apalah salahnya kalau orang yang tak sembahyang pun pergi tumpang buang air, sekurang-kurangnya dia tahu agama Islam itu baik, ikram dan bermurah hati. Tetapi apa yang ditonjolkan oleh kebanyakan kakitangan masjid ini adalah sikap tidak mesra dan kasar.
Akhirnya orang bukan Islam akan melihat agama Islam ini hanya sesuai untuk pengganas.

Orang bukan Islam dikatakan tidak boleh memegang kitab Al Quran. Saya tak fikir mereka itu akan baca Quran kalau pun mereka dibenarkan memegangnya. Orang bukan Islam tidak akan mahu baca Quran. Tetapi mereka boleh lihat Quran yang bergerak dan cara itu lebih memberi kesan di hati mereka. Kalau kita umat Islam tidak berakhlak seperti Quran sampai bila pun orang bukan Islam tidak dapat melihat Quran itu. Sesungguhnya akhlak rasullullah itu adalah Al Quran.

Ada sesetengah pihak berpendapat, masjid sepatutnya digunakan untuk tempat berbincang hal-hal politik. Saya rasa pun boleh dan patut, tetapi kenalah bagi peluang kepada semua pemimpin parti politik untuk berceramah di masjid termasuklah parti DAP, PKR dan lain-lain parti politik, barulah adil.

Tetapi masalahnya nanti keadaan menjadi tidak terkawal dan dibimbangkan nanti ada masjid yang bukan sekadar ada dua imam seperti yang pernah berlaku suatu masa dulu tetapi akan ditambah pula dengan imam DAP, imam PKR dan lain-lain imam lagi. Keadaannya akan menjadi haru biru, akhirnya umat menjadi keliru.

Cukuplah masjid berfungsi sebagai tempat beribadah, intutusi pembangunan insan, pusat dakwah dan ilmu, serta tempat penyaluran khidmat kebajikan kepada masyarakat. Malah kerja-kerja ini pun belum dapat dilaksanakan dengan sempurna, bagaimana hendak mengambil tugas-tugas yang lebih besar. Saya masih berpegang kepada prinsip parti tidak harus dijadikan sebagai agama. Islam tidak harus dipartikan atau disempitkan. Tetapi sebaliknya
parti politik itulah yang perlu diakhlakkan dengan akhlak Islam.

Apabila kita menjadi ahli kepada mana-mana parti politik maka hendaklah kita berakhlak dengan akhlak Islam. Jangan sekali kita mengutuk, memfitnah, mengaib, mengumpat, mencerca, mencaci, mengkafir, mengtoghut, yang terbaru mengsekular, mengamalkan politik wang, politik ugut, yang selalu disebut sebagai politik bangkrap, semuanya itu adalah perbuatan-perbuatan yang tercela di sisi Islam.

Dan selepas mendapat kuasa pula hendaklah kita hindarkan amalan seperti kronism, nepotism, zalim, rasuah, penyalahgunaan kuasa, menguasai badan kehakiman dan perundangan, menarik kebebasan bersuara yang juga semuanya itu adalah perbuatan yang tercela di sisi Allah.

Suka saya menarik saudara-saudara dengan satu cerita di mana dua orang Melayu berkereta memotong barisan atau memotong Q di satu persimpangan yang ada lampu isyarat, seorang berkupiah putih dan seorang lagi tidak memakai kupiah. Pemandu bukan Islam yang melihat kejadian itu mencerca pemandu Melayu yang tidak berkupiah itu dengan berkata,"Orang ini tak ada sopan langsung". Dan mencerca pemandu yang berkupiah dengan berkata,"Teruk betul
perangai orang Islam ini".

Moral dari cerita ini, mungkin kedua-dua orang Melayu itu sama buruk perangainya, tetapi orang yang berkupiah itu, selain memburukkan dirinya dia juga telah memburukkan imej Islam itu sendiri. Oleh itu berjaga-jagalah bila kita menamakan parti kita dengan parti Islam, bimbang kita akan hanya mencemarkan imej Islam itu sendiri jika kita tidak
berakhlak selaras dengan akhlak Islam.

Sebagai seorang muslim kita bukan saja dituntut supaya berani menegur dan berkata benar di depan raja yang zalim tetapi harus juga berani menegur dan berkata benar kepada sahabat, ahli parti dan ahli kumpulan yang kita sertai.

Maaf kalau saya sering saja dilihat songsang. Wallahualam.

Belajarlah dari sejarah silam.

Kalau kita melihat kembali sejarah silam, kebanyakan kerajaan-kerajaan besar samada kerajaan Islam mahupun kerajaan bukan Islam mengalami keruntuhan adalah disebabkan pemimpin-pemimpinnya sendiri menyalah guna kuasa termasuklah zalim terhadap rakyat, tidak berlaku adil, menindas, rakyat disekat dari bersuara dan mengkritik, pembaziran yang berluas-luasa dan hidup berfoya-foya. Telah menjadi hukum imbang, setiap tindakan akan ada tindakbalasnya. Bila ada pihak yang pincang akan menjemput pihak yang lain membetulkannya.

Sebagai contoh, di akhir pemerintahan kerajaan Islam empayar Othmaniah, pemimpinnya di kala itu mempunyai akhlak yang amat teruk sekali, hidup penuh dengan pembaziran dan berfoya-foya. Pemimpinnya menggunakan nama kerajaan Islam untuk melindunginya dari ditentang oleh rakyat jelata. Padahal pemerintahannya bukanlah lagi berakhlakkan Islam. Fahaman kolot rakyat yang tidak boleh menentang kerajaan Islam telah di manafaatkan sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin yang jahat ini. Rakyat tidak boleh terima kalau ada kerajaan Islam yang lain untuk menumbangkan kerajaan Islam yang sedia ada. Pada mereka kerajaan Islam mesti ada satu saja, padahal kerajaan Islam yang memerintah mereka itu hanya tinggal pada nama sahaja, dari segi akhlak sudah menyimpang jauh dari Islam.

Akhirnya Mustafa Kamal Alturk yang menggunakan imej moden telah dapat dokongan rakyat menjatuhkan pemimpin yang tidak berakhlak itu. Itulah hukum perimbangan, tiada siapa yang dapat mengelakkannya.

Orang-orang kita juga tidak terlepas dari dijangkiti fahaman kolot ini, apabila ada parti politik Islam mereka tak boleh terima kewujudan parti politik Islam yang lain, sekali pun mereka sedar di dalam sistem demokrasi kewujudan berbilang parti memang dihalalkan. Bukanlah niat saya untuk memecah belahkan umat Islam, tetapi saya ingin mendedahkan pengalaman dari sejarah fahaman kolot ini telah diambil kesempatan oleh setengah-setengah pemimpin Islam berlindung di sebalik nama Islam untuk melakukan penyelewengan.

Lihat saja sejarah yang terdekat iaitu di Melaka, rakyat yang begitu kolot percaya siapa saja yang mengkritik dan menentang pemerintahan Sultan Melaka adalah penderhaka. Sekalipun sultan berlaku zalim, tetap dianggap betul. Sekalipun Hang Jebat ingin menuntut keadilan, namun rakyat tetap mengatakan Hang Jebat derhaka. Itulah bahayanya fahaman kolot ini. Bagaimana licik pun Sultan atau pemimpin itu mempedayakan rakyatnya, sampai had dan ketikanya bala Tuhan itu sampai juga dengan cara yang mereka tidak sangka. Siapa sangka Tuhan telah menghantar Portugis untuk menghalau Sultan ini dengan cara yang terhina akibat kemungkaran mereka sendiri.

Islamnya sesuatu kerajaan itu bukanlah disebabkan mulut-mulut pemimpinnya mengatakan dia memerintah cara Islam. Berapa ramai pemimpin-pemimpin negara-negara Islam hari ini mendakwa mereka memerintah cara Islam, tetapi hakikatnya mereka itu jauh dari akhlak Islam sebenar. Mereka ini sanggup menggunakan Islam, memutarkan belitkan sejarah Islam malah mentafsirkan Al Quran dan Hadis untuk kepentingan diri dan keuntungan politik semata.

Monday, February 25, 2008

Salah guna Makamah

Teguran yang dibuat oleh Pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah terhadap pengamal undang-undang di Malaysia dalam ucapannya di majlis Majlis Konvokesyen ke-13 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, tentunya ada kaitan dengan terjejasnya keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan segelintir pengamal undang-undang di masa ini.

Seperti profesyen lain, terdapat juga pengamal undang-undang yang tersasar di mana kepentingan peribadi kadang kala menjadi lebih utama dari tanggungjawab murni mereka yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Kebijaksanaan dan kepetahan mereka berhujah tidak sepatutnya disalah guna untuk kepentingan diri atau untuk memperkayakan diri, apalagi menggunakan makamah yang mulia itu.

Sungguh tidak wajar mereka menggunakan makamah yang mulia bagi mendapatkan habuan yang lumayan yang ditawarkan oleh pihak yang bersalah untuk memenangkan mereka dalam sesuatu perbicaraan.

Tujuan makamah diwujudkan adalah untuk membela orang-orang yang terinaya agar mereka mendapat pembelaan secara adil bukannya untuk melepaskan orang bersalah dari dikenakan hukuman.

Mungkin disebabkan kepandaian dan kepetahan mereka berhujah dapat memenangkan pelanggan mereka yang bersalah tetapi mampukah mereka berhujah di depan Tuhan di makamah agung di akirat nanti.

Ada juga sesetengah peguam mengenakan caj perkhidmatan yang terlalu tinggi yang tidak mampu dilanggan oleh rakyat biasa.

Walaupun ada biro guaman yang dibiayai kerajaan untuk rakyat biasa membuat aduan yang berkaitan guaman tetapi perkhidmatan biro tersebut seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

Akibat kos guaman yang tinggi dan prosedur makamah yang rumit, ramailah rakyat biasa yang berpendapatan rendah tidak sanggup ke makamah untuk menyelesaikan masalah mereka, akhirnya mereka lebih suka mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri. Keadaan ini jika dibiarkan boleh membawa kepada kemudaratan kepada sistem hidup masyarakat kita.

Amalan perundangan berlandas kod etika peguam yang tinggi akan mampu meyakinkan masyarakat hingga dapat menegak institusi perundangan yang dihormati. Akhlak dan moral yang mulia perlu menjadi pakaian kepada pengamal undang-undang dalam situasi apa sekalipun.

Seperti kata Raja Nazrin, nilai undang-undang terletak kepada kemuliaan perlaksanaan oleh mereka yang diamanah, kepercayaan dan penghormatan mengendalikan undang-undang.

Kita tidak mahu berlaku ada pengamal undang-undang yang pernah menjawat jawatan hakim pun yang sepatutnya beliau lebih arif dengan falsafah keluhuran undang-undang tetapi apabila dihadapkan ke makamah beliau tidak berasa segan silu untuk berbohong demi untuk menjaga kepentingan peribadinya. Padahal semasa menjadi hakim dialah pendokong kepada kebenaran dan keadilan.

Memanglah betul selagi tidak dapat dibuktikan bersalah oleh makamah selagi itulah seseorang itu tidak bersalah, tetapi frasa ini hanya terpakai untuk orang yang terinaya.

Tetapi apa yang kita lihat amalan sekarang ini, dengan bermodalkan kebijaksanaan dalam memanipulasi undang-undang dan kepetahan bermain dengan kata-kata, orang yang bersalah pun dapat membersihkan nama mereka dari bersalah dengan menggunakan makamah. Ini sudah bertentangan dengan prinsip dan tujuan makamah itu diwujudkan.

Mahkamah harus juga dilihat bebas dari dijadikan gelanggang dari pihak yang ingin mencari pengaruh politik. Kuasa badan eksekutif terhadap badan kehakiman sepatutnya hanya terbatas bagi memastikan badan kehakiman itu sentiasa bebas dan mematuhi prinsip meritokrasi, bukannya sehingga berkuasa melantik ketua hakim yang memenuhi cita rasa mereka.


Jika kuasa melantik ketua hakim diberi sepenuhnya kepada badan eksekutif, dibimbangkan akan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan akhirnya ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai kepada kewibawaan badan kehakiman dan perundangan itu sendiri.

Thursday, January 31, 2008

Demokrasi, Calon Islam sepatutnya boleh menang.

“Tidak ada paksaan untuk memeluk Islam”, itulah antara kata-kata Tuhan yang terungkap dengan jelas dalam Quran.

Kalau Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak itu tidak pernah memaksa manusia untuk memeluk agama Islam, apakah hak kita pula sebagai manusia untuk memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

Sekalipun Tuhan memang tahu benar agama Islam itu agama yang benar tetapi Dia tidak pernah mengarahkan semua manusia memeluk Islam secara paksa walaupun Dia mampu untuk berbuat demikian.

Oleh itu kalau pun kita benar-benar yakin Islam itu agama yang paling benar, janganlah kita sampai memaksa secara kekerasan supaya orang lain juga memeluk agama Islam. Nanti jadinya macam lebih sudu dari kuah.

Sebab dek begitu yakin dengan pemerintahan Islam adalah pemerintahan yang terbaik, ada orang yang sanggup merampas suatu kerajaan secara paksa untuk menggantikannya dengan apa yang mereka dakwa sebagai pemerintahan Islam.

Sebagai contoh terdekat ialah rampasan kuasa di Afghanistan oleh kumpulan Taliban di satu masa dulu.

Ada sesetengah orang Islam dengan sengaja pergi mencari medan peperangan di negara-negara yang umat Islam sedang berperang yang kononnya pemergian mereka itu untuk berjihad dan supaya dapat mati syahid. Malah tak kurang juga sanggup meletupkan diri mereka sendiri semasa menyerang musuh.

Dengan keyakinan yang sedemikian ramailah orang-orang Islam pergi ke negara-negara Islam yang sedang terlibat dengan kancah peperangan untuk mendapatkan cepat mati syahid seperti di Afghanistan, Iraq dan Lubnan.

Ada sebahagian orang Islam mendakwa konsep demokrasi tidak sesuai dengan Islam. Mereka mengatakan demokrasi hanya boleh menang melalui pilihan majoriti, oleh itu sampai bila pun Islam tidak akan boleh menang. Kepada saya tanggapan begini adalah datang dari orang-orang yang berfikiran negatif dan sempit.

Sebenarnya konsep demokrasi adalah cara yang amat bersesuaian dengan Islam. Walaupun demokrasi yang diamalkan oleh negara-negara Barat sekarang ada beberapa kelemahan tetapi ia masih boleh diperbaiki untuk menjadikannya lebih berkesan dan mencapai matalamatnya.

Demokrasi adalah satu mekanisma terbaik untuk menentukan calon yang terbaik akan terpilih menjadi pemimpin tanpa melalui pertumpahan darah dan kekerasan. Bersesuaian dengan prinsip Islam yang mengutamakan keamanan dan keadilan maka tidak ada sebab kita menolak sistem demokrasi ini.

Dan tidak ada sebab juga calon-calon di kalangan orang Islam tidak boleh menang dalam pemilihan pemimpin secara demokrasi kerana calon-calon yang beragama Islam tentu sepatutnya lebih baik dari calon-calon bukan Islam.

Tetapi pada realitinya, kebanyakan sikap umat Islam hari ini tidaklah sebaik agamanya, sebab itulah calon mereka selalu kalah dalam pemilihan secara demokrasi bukan sahaja di kawasan yang majoritinya orang bukan Islam malah kadang-kadang dalam kawasan yang majoritinya orang Islam pun mereka kalah.

Dan apabila mereka kalah dalam bertanding secara demokrasi ini, secara mudah pula mereka menyalahkan agama Islam yang membuatkan mereka kalah.

Pengalaman saya di suatu hari menaiki bas awam di United Kingdom mungkin dapat diambil sebagai renungan kita bersama. Dalam perjalanan tersebut tiba-tiba seorang pemuda bergegas ke pintu bas yang saya fikirkan dia hendak turun bas kerana telah sampai ke destinasinya, tetapi rupa-rupanya dia turun untuk memimpin seorang tua untuk menaiki bas tersebut.

Terasa terpukul saya ketika itu, selama ini saya tahu benar, agama saya iaitu agama Islam lah yang terbaik dari agama-agama yang lain. Sepatutnya saya yang lebih dahulu pergi turun untuk memimpin orang tua itu kerana saya beranggapan agama saya adalah lebih baik dari agama pemuda itu, tetapi ini tidak berlaku. Malah tidak pernah terlintas dalam fikiran saya sebelum itu untuk turun bas bagi memimpin orang tua untuk menaiki bas.

Memang agama Islam agama yang kita percayai sebagai agama yang terbaik lagi benar tetapi malangnya ia tidak diterjemahkan dalam kehidupan seharian umatnya. Kalaulah ia dapat dihayati dengan sempurna pasti calon Islam akan sentisa menjadi pilahan dalam sistem demokrasi.

Kalau kita merenung sirah rasul Muhammad saw, sebelum menjadi rasul pun baginda memang terkenal dengan akhlak terpujinya yang memikat semua penduduk Makkah yang semuanya bukan Islam ketika itu. Baginda terkenal dengan panggilan Al Amin atau Yang Dipercayai. Malah mereka tigak teragak-agak melantik baginda dalam menyelesaikan pertelingkahan antara mereka termasuklah peristiwa perbalahan untuk meletakkan batu Hajar Aswad ke tempat asalnya di Kaabah.

Baginda ringan tulang untuk membantu orang tua, pernah baginda membantu membawa barangan seorang perempuan tua yang tidak mengenalinya yang dalam perjalanan pulang dari pasar. Di sepanjang perjalanan itu, perempuan tua itu tidak putus-putus menasihati baginda supaya tidak mendekati dan mengikut ajaran baru yang dikatakan merosakkan yang di bawa oleh anak muda bernama Muhammad.

Bila sudah selesai membantu perempuan tua itu membawa barang keperluannya barulah baginda mendedahkan siapa diri baginda sebenarnya. Perempuan tua itu hampir tidak percaya yang dia sedang berdepan dengan orang yang selama ini disangkanya seorang yang jahat dan perosak masyarakat itu.

Saya tidak terperanjat kalau Keith Ellison seorang Islam telah menang dalam suatu pemilihan kepimpinan di suatu daerah di Amerika Syarikat tidak berapa lama dulu. Tidak ada sebab calon Islam tidak boleh menang kerana sebagai orang yang beragama Islam dia pasti dapat menampilkan cirri-ciri yang terbaik hasil dari ajaran Islam itu. Dan melalui amalan demokrasi, yang terbaik pasti akan terpilih.

Walaupun dalam sejarah umat Islam melalui banyak peperangan, tetapi peperangan bukanlah pilihan utama ajaran Islam dan bukan juga satu-satu cara untuk mati syahid seperti yang disalah anggap oleh kebanyakan orang.

Bagi Islam, peperangan adalah pilihan terakhir, itupun bila pihak lawan menyerang atau menggunakan kekerasan. Peperangan hanya untuk mempertahankan diri bukan untuk menyerang atau menjajah. Islam menyanjung tinggi kepada budaya keintelektualan, perbincangan, berhujah, perdebatan yang sihat dalam menangani salah faham antara sesama manusia.

Nilai-nilai yang baik yang bersesuaian dengan fitrah dan kehendak manusia seperti, berbuat baik kepada insan dan makhluk, amanah, jujur, bersikap adil, penyayang, saling hormat, perihatin, peramah dan mesra adalah merupakan nilai-nilai yang sepatutnya menjadi pakaian umat Islam.

Janganlah kita terlalu cepat menyalahkan Islam bila kita kalah dalam pemilihan secara demokrasi, periksalah diri kita sendiri, apakah kita telah melakukan yang terbaik seperti yang dikehendaki oleh agama Islam itu.

Lihatlah saja kepada Tan Sri Lee Lam Thye, beliau pernah menjadi calon DAP di suatu masa dulu, orang-orang Melayu yang beragama Islam pun menyokong beliau dalam setiap pemilihan, sehinggakan beliau tidak pernah tewas walaupun mewakili parti pembangkang. Dengar ceritanya, orang PAS dari Kelantan pun pernah datang ingin melihat sendiri apa yang dilakukan oleh Lee Lam Thye di kawasannya sehingga dapat memikat hati-hati pengundi di situ kepadanya.

Kalau Lee Lam Thye yang bukan Islam boleh buat, saya tak fikir calon Islam juga tak boleh buat yang lebih baik dari apa yang dilakukan oleh Lee Lam Thye. Tetapi apa yang biasa kita lihat, calon Islam bukan sahaja tidak dapat memikat orang bukan Islam, hendak memikat hati pengundi orang Islam sendiri pun susah.


Friday, January 11, 2008

Kalau sudah sekolah berasingan masakan terbentuk perpaduan tulen

Semasa hadir pada sesi taklimat untuk kemasukan anak saya ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai, Daerah Kulai, Johor baru-baru ini, setiap ibubapa telah diedarkan senarai nama-nama murid-murid tahun satu 2008 yang akan masuk ke sekolah tersebut.

Saya perhatikan dari sejumlah lebih kurang 300 nama murid tahun satu itu tidak ada seorang pun dari kalangan murid keturunan Cina. Ini sungguh menghairankan saya, walaupun bagi setengah orang fenomena ini mungkin tidak begitu penting, malah tidak ada siapa pun yang saya lihat mempersoalkan perkara ini, tetapi kepada saya ia suatu yang amat merisaukan dan mengganggu fikiran saya.

Perkara tidak ada murid keturunan Cina yang masuk ke sekolah ini pada tahun 2008 ini membuatkan saya tertanya-tanya. Mungkin ia tidak menjadi pelik kalau penduduk yang tinggal di kawasan sekolah ini tidak ada kaum Cina. Yang jelasnya lebih 20 peratus penduduk di kawasan ini dihuni oleh kaum Cina.

Kenapa agaknya kaum Cina tidak berminat untuk masuk ke sekolah kebangsaan? Kalau nak dikatakan sekolah jenis kebangsaan Cina lebih baik prestasinya berbanding sekolah kebangsaan sebagai alasan mereka tidak berminat hendak menghantar anak ke sekolah kebangsaan, telahpun diketahui umum Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai ini adalah sekolah yang terbaik dari segi pencapaian akademiknya di Daerah Kulai ini.

Kalau sekolah kebangsaan yang terbaik pun mereka tidak berselera hendak menghantar anak-anak mereka, apalagi dengan sekolah kebangsaan yang lain-lain itu. Padahal sekolah jenis kebangsaan Cina yang paling dekat dengan Taman Sri Pulai ini terletak tidak kurang dari enam kilometer jauhnya, tapi mereka masih sanggup hantar anak-anak ke sana berbanding sekolah kebangsaan yang hanya terletak di depan rumah mereka sahaja.

Tidakkah kita sedar kesan dari pengasingan sekolah mengikut kaum ini sangat besar kepada keutuhan perpaduan masyarakat majmuk negara kita ini. Perpaduan seharusnya dipupuk dari peringkat kanak-kanak lagi. Melentur biarlah dari rebung, saya tidak nampak semangat perpaduan dapat dipupuk melalui ucapan-ucapan dan slogan-slogan sahaja.

Perpaduan harus dihayati dalam kehidupan sebenar, pada semua peringkat dan mesti bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

Mungkin kepada orang politik apa yang mereka maksudkan perpaduan itu bila tidak ada pergaduhan antara kaum dan ada persefahaman dalam pembahagian tender projek kerajaan antara parti-parti komponen. Oleh itu saya tidak hairan kalau orang politik tidak risau langsung dengan isu tidak ada murid Cina di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai ini, kerana memang tidak ada berlaku pergaduhan kaum pun di situ.

Kalau orang politik benar-benar faham maksud perpaduan tentulah kes yang saya timbulkan di sini (tidak adanya murid Cina di tahun satu di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai) sudah menjadi isu yang sangat besar dan penting kepada mereka.

Kalau sekali pun kaum Cina terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana hendakkan anak-anak mereka dapat belajar tulisan dan bahasa Cina atau pun atas-atas sebab lain, takkan lah tidak ada jalan penyelesaiannya selain dari mengasingkan sekolah anak-anak mereka. Nampaknya mereka sanggup mengorbankan perkara yang lebih penting iaitu perpaduan yang sebenar dari mencari penyelesaian masalah yang rasanya tidaklah begitu sukar untuk diatasi.

Seperti yang biasa saya sebutkan, kita boleh memberi perlindungan dan memulihara harimau untuk mengelakkan dari pupus tapi janganlah sehingga sampai binatang ganas ini boleh mengancam haiwan ternakan dan nyawa manusia sendiri. Realitinya, haiwan ternakan kita itulah yang lebih penting untuk menentukan survival kehidupan manusia.

Bahasa dan tulisan ibunda kita memang patut dipertahan dan dipelihara tetapi janganlah sampai kita mengorbankan perkara yang lebih penting iaitu perpaduan tulen. Kerana perpaduan tulenlah yang lebih utama dalam menentukan survival bangsa kita.


Saya rasa masih ada jalan untuk anak-anak kita belajar bahasa dan tulisan ibunda mereka di satu sekolah yang sama, itupun kalau kita betul-betul mahu melihat perpaduan yang tulen dikalangan rakyat berbilang kaum.

Artikel ini pernah juga tersiar dalam Malaysiakini dalam ruangan Letters:
http://www.malaysiakini.com/letters/77820

Monday, December 17, 2007

Demokrasi, suruhanjaya pilihan raya yang adil dan telus belum cukup.

Walaupun antara ciri-ciri yang perlu ada dalam amalan demokrasi mesti mempunyai sebuah badan suruhanjaya pilihan raya yang adil dan telus, sebenarnya banyak lagi perkara-perkara lain yang menjadi syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya sempurna.

Demokrasi yang sempurna lebih dari sekadar memberi hak kepada rakyat membuang undi dalam peti undi seperti yang disangkakan oleh banyak orang, atau sekadar mempunyai badan pengendali pilihanraya yang adil dan telus.

Jauh lebih penting dari itu ialah memberi peluang dan ruang yang sama luas kepada semua calon-calon yang bertanding, tidak kira calon dari parti yang memerintah mahupun calon dari parti pembangkang.

Apa yang kita nampak di negara kita, jentera kerajaan dan media perdana digunakan oleh parti pemerintah menjadi alat kempen kepada parti mereka. Tentulah ini adalah amalan yang amat salah, jentera kerajaan yang dibiayai dari duit rakyat tapi hanya digunakan untuk kempen parti pemerintah sahaja.

Rakyat mahukan pemimpin yang terbaik untuk memimpin mereka, tetapi kalau dengan cara yang diamalkan sekarang apakah dapat dipastikan pemimpin yang terbaik akan terpilih. Kalaulah kebetulan pemimpin yang terbaik itu datang dari parti pembangkang maka sudah tentu rakyat tidak akan dapat maklumat tentangnya kerana tidak ada peluang untuk mendedahkannya secara saksama kepada umum melalui media kerajaan dan media perdana.

Akhirnya rakyat juga yang rugi kerana tidak mendapat pemimpin yang terbaik di setiap kali pilihanraya diadakan.

Yang lebih malang lagi, bukan sahaja parti pembangkang tidak mendapat ruang dan peluang dalam media perdana malah peluang mereka untuk menyuarakan suara mereka dalam media dan saluran lain juga turut dihadkan oleh kerajaan.

Macam-macam peraturan telah dibuat bagi menghadkan suara parti pembangkang dari sampai kepada rakyat. Dengan kata lain parti kerajaan telah menggunakan undang-undang bagi memastikan mereka terus menang dalam setiap pilihanraya.

Apakah kita tidak malu mendakwa negara yang demokratik padahal dari segi amalannya banyak yang tidak demokratik.

Hendaklah kita sentiasa ingat, tujuan kita mengambil sistem demokrasi adalah untuk mempastikan pemimpin yang terbaik sahaja yang akan terpilih, tetapi bukan untuk diexploitasi supaya seseorang pemimpin itu terus menerus terpilih.

Artikel ini pernah juga keluar dalam Malaysiakini.com ruangan Letters.

http://www.malaysiakini.com/letters/76191

Thursday, December 13, 2007

Gaji isteri tidak boleh disentuh?

Ada pendapat mengatakan suami tak boleh guna duit gaji isteri untuk perbelanjaan rumahtangga. Menjadi tanggungjawab suami menanggung nafkah rumahtangga, oleh itu perbelanjaan mestilah datang dari duit gaji suami sendiri.

Kalau suami dengan sengaja enggan bekerja untuk mencari nafkah maka dengan itu si suami telah melanggar hukum syarak.

Isteri pula tidak wajib untuk mencari nafkah, oleh itu isteri tidak wajib untuk bekerja. Kewajipan isteri adalah untuk melayan suami ketika suami berada di sisinya..

Kalau suami tidak mendapat layanan dari isteri maka isteri boleh dipersalahkan oleh hukum syarak. Layanan wajib isteri kepada suami yang dimaksudkan oleh syarak ini hanya terbatas kepada melayan kehendak seks suami sahaja. Manakala layanan untuk memasak, menyediakan makan minum suami dan urusan-urusan rumahtangga yang lain itu hanyalah harus sahaja tetapi bukanlah suatu yang wajib.

Dengan kata lain setiap isteri wajib melayan kehendak seks suaminya, sebaliknya kerja-kerja rumahtangga yang lain itu hanyalah atas budi bicara isteri sahaja. Walaupun tidak patut kalau si isteri tidak mahu memasak untuk suaminya tetapi ini tidaklah bermakna dia berdosa kalau dia enggan melakukannya.

Di zaman nabi dulu, memang kebiasaan orang lelaki bekerja untuk menanggung makan minum keluarga mereka. Begitu juga di negara kita Malaysia sebelum era merdeka, kebiasaannya suamilah yang keluar bekerja untuk menanggung kehidupan keluargannya. Di waktu itu jarang-jarang orang perempuan yang keluar bekerja.

Rata-rata orang Melayu sebelum merdeka bekerja sebagai petani, menanam padi dan menoreh getah. Kerja-kerja sebegini memerlukan tenaga yang kuat yang sesuai untuk dilakukan oleh orang lelaki sahaja.

Suami yang telah penat bekerja di ladang-ladang ini apabila balik ke rumah tentu tidak mampu untuk membuat kerja-kerja rumahtangga, maka di sinilah para isteri mengambil peranannya untuk membantu si suami menguruskan kerja-kerja rumahtangga yang tidak begitu berat untuk dilakukan oleh wanita..

Pembahagian kerja antara kerja mencari nafkah kepada suami dan kerja rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh pakaian, menjaga anak kepada isteri secara semulajadi berjalan tanpa pernah dipersoalkan dan telah dapat diterima sebagai amalan budaya kehidupan mereka.

Bagi rumahtangga yang hanya suami bekerja, lazimnya wang dipegang sepenuhnya oleh suami tersebut. Cara bagaimana dia menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan rumahtangganya bergantunglah kepada budibicara si suami, Terdapat juga suami yang menyerahkan semua wang gajinya setiap bulan kepada isterinya bagi mengurus perbelanjaan rumahtangganya.

Ada juga suami yang memberikan hanya sebahagian dari wang gajinya kepada isteri mengikut yang difikirkannya wajar. Ada juga hanya memberi wang kepada isteri bila isterinya meminta untuk membeli barang yang diminati atau diperlukannya. Tetapi bila suami memegang sepenuhnya wang gaji, berlaku juga keadaan di mana suami tidak bersetuju dengan apa yang hendak dibeli oleh isteri. Dengan itu isteri tidak dapat membeli mengikut kehendak hatinya kalau tanpa persetujuaan suaminya. Mungkin di sini timbul rasa tidak puas hati kepada isteri kerana tidak dapat membeli barang yang dihajatinya.

Di zaman sekarang cara hidup kita telah jauh berubah, sudah menjadi perkara biasa kalau para isteri keluar bekerja. Malah ada isteri yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dari suami mereka.

Tentu banyak persoalan dan konflik yang timbul bila suami isteri bekerja. Isteri tentu akan mempersoalkan kenapa dia masih terus seperti lazimnya dibebankan dengan kerja-kerja rumahtangga seperti memasak dan menyediakan makan minum suami, mengemas rumah, sedangkan mereka juga pergi keluar bekerja untuk mencari perbelanjaan kehidupan keluarga.

Malah yang lebih ekstrim lagi ada isteri berpendapat duit gaji mereka tidak boleh diusik untuk digunakan bagi perbelanjaan rumahtangga kerana bagi mereka duit belanja mesti ditanggung oleh suami. Sebaliknya duit gaji mereka hanyalah untuk kegunaan mereka sahaja dan untuk beli apa yang mereka inginkan seperti barang-barang kemas dan barang-barang hiasan yang mereka minat.

Di sini timbul soal bagaimana cara yang paling betul dalam mengendalikan rumahtangga bagi pasangan suami isteri yang bekerja ini. Apakah perlu kepada satu fatwa untuk menentukan cara yang paling betul itu. Dalam keadaan suami isteri bekerja, apakah duit gaji mereka mesti dikumpulkan dalam satu akaun sebagai harta sepencarian kemudian mereka boleh gunakan untuk apa saja keperluan rumahtangga mereka.

Adakah persetujuan untuk membeli barang-barang yang diperlukan oleh keluarga mereka mesti diputuskan atau mesti mendapat persetujuan pihak suami sahaja. Mungkin adakalanya permintaan oleh isteri untuk membeli barang yang dia suka akan dihalang oleh suami. Tentu akan timbul rasa tidak puas hati kepada isteri bila kehendaknya dihalang padahal dia pun sama-sama bekerja.

Dalam masa yang sama disebabkan kedua-duanya keluar bekerja maka adakah kerja-kerja rumah perlu dilakukan secara bersama dan tidak lagi dibebankan kepada isteri sahaja.

Kalau suami mahu isterinya berhenti bekerja dan hanya menumpukan kepada kerja-kerja rumahtangga sahaja, adakah perintah suami itu boleh diengkar. Kadang-kadang si suami terlalu keras dengan pegangan yang mengatakan apa yang hendak dilakukan oleh isteri wajib mendapat keizinan suami. Adakah dalam hal ini suami boleh melarang isteri dari keluar bekerja, dan isteri wajib patuh kepada arahan suami itu.

Kalaulah suami seorang sahaja yang bekerja dan isteri duduk di rumah menguruskan kerja-kerja rumah, apakah duit gaji si suami itu boleh dikongsi sama oleh isteri. Kebanyakannya dalam kes suami saja yang bekerja, duit sepenuhnya dipegang oleh suami dan suami akan memberi wang kepada isteri apabila hendak membeli sesuatu barangan yang diperlukan. Atas sebab-sebab tertentu mungkin kadangkala suami tidak bersetuju dengan barang-barang yang hendak dibeli oleh isteri itu maka barang tersebut tidaklah jadi dibeli.

Kadang-kadang isteri lebih suka bekerja kerana dia merasakan dapat kebebasan menggunakan wang gajinya, kalau mengharapkan wang dari suami mungkin agak sukar sedikit. Kadang-kadang terpaksa merayu banyak kali barulah suami setuju membelinya. Oleh sebab ini jugalah si isteri lebih suka keluar bekerja, dengan cara ini dia mempunyai sumber pendapatan sendiri dan dapat menggunakan wang gajinya dengan bebas..

Tentulah tidak adil kepada suri rumah yang tidak keluar bekerja, terutamanya bila suami agak kedekut untuk membenarkan mereka memegang wang. Sudah tentu dia tidak dapat membeli barang-barang yang dihajatinya kalau suaminya tidak mahu membelikannya. Isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, sumber kewangannya hanya bergantung kepada suami sahaja. Dan tentu ada dalam pemikirannya kalau dia keluar bekerja dia lebih banyak dapat memiliki atau membeli barang yang dihajatinya lebih dari yang sepatutnya.

Tambahan pula sekarang ni peluang-peluang pekerjaan memang banyak untuk wanita, tentulah mereka rasa rugi kalau sepenuh masa menjadi suri rumah, sedangkan rakan-rakannya yang lain keluar bekerja dan dapat membeli apa saja barang yang diminati tanpa meminta-minta kepada suami.

Apakah satu peraturan perlu dibuat jika isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, pihak suami harus memberi gaji atau duit saku selain dari duit dapur kepada isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa ini. Manakala jumlah minimum wang yang perlu diberi oleh suami kepada isteri tersebut patut ditetapkan oleh pihak yang berwajib. Ini adalah sebagai ganti rugi kerana mereka tidak keluar bekerja.

Bagi suami yang beristeri dua atau lebih, apakah kemampuan suami diukur dari segi jumlah gaji beliau sahaja. Apakah kalau isteri-isteri mereka bergaji besar tidak boleh diambil kira untuk menilai kemampuan suami. Banyak mana pun wang tidak ada cukupnya. Kemahuan seseorang jauh lebih besar dari yang diperlukan. Kalau hendak diukur dari jumlah gaji suami untuk melayakkan seseorang suami tersebut untuk berkahwin dua maka tidak mungkin beliau akan layak kerana semakin besar gaji semakin banyak pula belanjanya.

Kita kena melihat perkara ini secara lebih umum, katakan bagi sebuah keluarga yang normal, gaji suami RM2000 sudah memadai untuk menampung dan memberi kehidupan yang agak selesa. Oleh itu kiranya gaji suami tersebut telah mencecah RM4000 maka ini sudah boleh diambil kira untuk melayakkan beliau untuk berkahwin dua.

Selama ini kita banyak membiarkan suami isteri berpakat dan berunding sesama sendiri untuk menentukan cara mana untuk mereka menguruskan perbelanjaan rumahtangga mereka. Memang cara begitulah yang kita rasakan terbaik, bila ada persefahaman, budi bicara dan tolak ansur maka cara mana pun tidak penting lagi. Yang penting keharmonian rumahtangga itu terus dapat dikekalkan.

Ada juga kes terpencil di mana isteri yang keluar bekerja dan suami pula sepenuh masa menguruskan kerja-kerja rumahtangga. Ini bukanlah suatu yang salah, yang penting disini suami isteri tersebut rela dan telah bersetuju dengan cara yang mereka ambil itu.

Tetapi tidak semua perkara boleh diputuskan secara berunding dan budibicara, dalam keadaan tertentu kita perlukan garis panduan yang dapat menggariskan hak-hak kita dan dengan ini kita boleh tahu di mana hak-hak kita. Garis-garis panduan ini seharusnyalah dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berwajib. Dengan adanya garis panduan itu tidaklah kita berasa bimbang akan terambil hak-hak orang lain tanpa kita sedari.


Adakalanya ada pihak samada isteri atau suami terpaksa menerima keputusan yang dicapai untuk menjaga hati pasangan masing-masing walaupun di dalam hati ada perkara yang mereka tidak begitu bersetuju. Dengan adanya garis panduan untuk hak-hak suami yang bekerja, hak-hak isteri yang bekerja dan hak-hak isteri yang tidak bekerja maka tidak akan ada lagi timbul masalah suatu pihak cuba merampas hak pihak yang lain.

Tuesday, November 27, 2007

Demonstrasi Jalanan, Pendirian Kerajaan Kena Jelas.

Dari kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah dan juga timbalanannya Datuk Seri Najib kepada media baru-baru ini seperti mereka mengesahkan kerajaannya melarang dan mengharamkan sama sekali demonstrasi jalanan.

Kenyataan ini mereka buat ekoran setelah dua demonstrasi jalanan berlangsung di ibu kota baru-baru ini tanpa mendapat permit polis, yang telah dianjurkan oleh pertubuhan Bersih dan Hindraf.

Kita sebagai rakyat di negara ini jadi keliru dan tidak jelas apa yang mereka maksudkan dengan kenyataannya itu, adakah ia membawa maksud semua demonstrasi jalanan adalah dilarang atau hanya demonstrasi jalanan yang tidak mendapat permit polis sahaja yang dilarang.

Mereka telah menghuraikan dengan agak panjang lebar juga, memberitahu kepada rakyat kesan-kesan buruk dari demonstrasi jalanan kepada keselamatan dan ekonomi negara.

Mungkin ramai antara kita setuju dengan pandangan dan pendirian mereka berdua, memang banyak buruk dari baik. Walaupun ada setengah orang berpendapat demonstrasi jalanan ini dibenarkan oleh amalan demokrasi tetapi melihat kepada kesan-kesan buruk akibat darinya sudah cukup untuk menjadi hujah kepada kita ia bertentangan dengan prinsip demokrasi yang mengutamakan keamanan.

Asas demokrasi itu adalah untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan rakyat yang juga dipilih oleh rakyat, tanpa melalui pertumpahan darah. Tetapi kalau di dalam amalan-amalannya terdapat perkara-perkara yang boleh mendatangkan rusuhan, pergaduhan, pertumpahan darah maka dengan sendirinya amalan-amalan itu bukan lagi selari dengan prinsip demokrasi.

Sebagai rakyat negara ini kita mahu perdana menteri memaklumkan kepada kita dengan jelas supaya tidak lagi menjadi kekeliruan kepada rakyat jelata. Apakah larangan kepada demonstrasi jalanan itu terbatas kepada semua demontrasi jalanan atau hanya kepada demonstrasi jalanan yang tidak mendapat permit polis sahaja.

Logiknya kalaulah demonstrasi jalanan adalah dilarang dan diharamkan, kenapa pula diperlukan permit polis apabila hendak mengadakan demonstrasi jalanan. Benda yang yang haram sudah pasti salah dan tidak perlu kepada permit polis. Samalah seperti perompak yang hendak merompak bank, apa perlunya perompak tersebut memohon permit polis untuk merompak bank kerana kerja merompak itu sudah menjadi kesalahan.

Kalaulah perdana menteri telah berpendirian demonstrasi jalanan adalah dilarang dan diharamkan, jadi apa perlunya lagi kepada permit polis untuk setiap kali mengadakan demonstrasi jalanan.

Tetapi yang peliknya sebelum ini permit polis pernah dikeluarkan kepada demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan yang menyokong kerajaan. Dan perdana menteri tidak pernah cuba pula melarang kumpulan-kumpulan tersebut dari menganjurkannya.

Apakah perdana menteri mempunyai pegangan, demonstrasi jalanan walaupun memberi banyak kesan buruk tetapi boleh dibenarkan jika ia dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhahan yang menyokong kerajaan.

Saya rasa untuk memberi keadilan kepada semua, perdana menteri harus bersikap adil dalam larangan ini, kalau beliau telah mengatakan demonstrasi jalanan banyak bawa keburukan dan suatu perkara yang dilarang dan diharamkan maka beliau perlu mengotakan kata-katanya itu kepada semua pihak dan rakyat samada kepada pihak yang menyokong kerajaan atau kepada pihak yang tidak menyokong.

Sebenarnya demonstrasi jalanan bukanlah ciri-ciri yang perlu ada dalam amalan sesebuah negara demokrasi. Kerana negara yang benar-benar mengamalkan demokrasi pasti akan memberi ruang yang luas untuk rakyatnya bersuara, media yang benar-benar bebas, perjalanan pilihanraya yang adil dan telus. Kalau semua ciri-ciri ini dapat dipenuhi, tidak ada sebab kita memerlukan kepada dmonstrasi jalanan.

Baru-baru ini Howard diturunkan dari Perdana Menteri Australia tanpa menumpahkan setitik darah, Howard menerimanya dengan lapang dada dan semua rakyat Australia amat berpuas hati dengan keputusan tersebut. Begitulah cantiknya sistem demokrasi, yang terbaik pasti dijamin menang.

Tetapi apabila prinsip demokrasi yang suci telah dicabul, dengan sendirinya ia akan mengundang kepada demonstrasi jalanan, ini telah pun dibuktikan oleh peristiwa-peristiwa yang lalu.

Kita telah menyaksikan hanya beberapa bulan selepas parti pimpinan Thaksin menang besar dalam pilihanraya Thailand untuk penggal keduanya, beliau telah dijatuhkan oleh demonstrasi jalanan dan Thailand berakhir dengan pemerintahan tentera. Kalaulah pilihanraya berjalan secara adil dan telus tentulah tidak ada sebab untuk rakyatnya mengadakan demonstrasi jalanan.

Begitu juga dengan Presiden Suharto, beberapa minggu selepas parti Golkar pimpinannya menyapu bersih pilihanaraya di Indonesia, beliau telah dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan. Pada logiknya, kalaulah majoriti rakyat Indonesia benar-benar telah puas hati dengan pilihanraya itu, tidak mungkin suara 200 juta rakyatnya itu dapat dinafikan dengan mudah oleh pendemonstrasi jalanan.

Lama sebelum itu kita juga menyaksikan bagaimana Shah Iran seorang raja yang diktator yang menutup rapat suara rakyat telah digulingkan menerusi demonstrasi jalanan.

Semua demonstrasi jalanan yang telah menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang disebutkan tadi tidak pernah sama sekali mendapat permit polis pun. Memang tidak perlu pun.


Memang sepatutnya demonstrasi jalanan diharamkan dan dilarang atas sebab apa pun, kerana ia bertentangan dengan prinsip demokrasi yang mengutamakan keamanan. Dan ia tidak sepatutnya dijadikan amalan dalam sistem demokrasi. Sebenarnya demonstrasi jalanan hanyalah merupakan gejala yang timbul bila berlaku pencabulan kepada demokrasi itu sendiri. Di waktu itu ada permit polis atau tidak sama saja.

Artikel ini telah juga tersiar dalam Malaysiakini.com ruangan Letters:

http://www.malaysiakini.com/letters/75408

Friday, November 23, 2007

PENGARUH ALAM SEKITAR KEPADA MANUSIA

Semua manusia tidak kira dari bangsa mana ia datang adalah berasal dari keturunan Adam dan Hawa, tetapi persekitaran tempat mereka tinggal telah mempengaruhi rupa paras mereka sehingga mereka kelihatan berbeza-beza. Secara kasarnya ada dua faktor penting yang boleh mempengaruhi rupa fizikal seseorang manusia itu. Pertama, iklim tempat mereka tinggal. Saraf manusia mengesan iklim di sekitarnya dan secara perlahan-lahan tubuh badan akan membentuk atau berubah supaya ia bersesuaian dengan iklim di tempat tinggalnya. Faktor yang kedua yang tidak kurang pentingnya ialah makanan yang mereka makan. Seimua bahan-bahan yang membina tubuh manusia itu adalah datang dari makanan, dan selalunya manusia memakan benda-benda atau tanaman yang terdapat disekitar mereka. Oleh kerana di tempat yang berlainan, manusia memakan bahan makanan yang berlainan maka sedikit sebanyak ia juga boleh menyebabkan kelainan pada rupa fizikal mereka.

Bagaimana iklim sekitaran boleh mempengaruhi rupa paras seseorang manusia itu? Kalau kita perhatikan orang-orang yang tinggal di negeri berhawa sejuk seperti orang-orang di Eropah, Russia dan utara India, mereka itu memiliki tubuh badan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang tinggal di negara yang iklimnya panas sepanjang tahun seperti di Malaysia atau di Asia Tenggara amnya. Iklim yang sejuk boleh rnenyebabkan haba keluar dengan kadar yang cepat dari tubuh seseorang itu. Oleh itu untuk mengurangkan kadar perlepasan haba itu maka tubuh seseorang itu perlu mempunyai nisbah luas permukaan perisipadu yang rendah. Semakin besar saiz tubuh seseorang itu, semakin rendahlah nilai nisbah luas permukaan perisipadunya dan semakin kuranglah pelepasan haba dari tubuhnya. Oleh itu orang-orang di negara sejuk sangatlah sesuai jika mempunyai tubuh badan yang besar kerana ini akan dapat mengurangkan pelepasan haba dari tubuh badannya. Bibir orang-orang yang tinggal di negara sejuk agak nipis jika dibandingkan dengan bibir orang yang tinggal di negara berhawa sejuk. Bibir yang nipis ini juga dapat membantu mengurangkan luas pemukaan tubuh dan sekaligus dapat mengurangkan pengaliran haba keluar.

Selain dari itu, orang yang tinggal di negara sejuk mempunyai bulu roma yang panjang dan tebal. Bulu roma yang panjang dan tebal ini dapat memerangkap udara dan bertindak sebagai penebat haba seolah-olah menjadi selimut kepada mereka. Biasanya negara yang berhawa sejuk ini mendapat sedikit pancaran cahaya matahari di sepanjang tahun. Kalau dilihat dan segi kesihatan, tubuh badan kita ini memerlukan cahaya matahari untuk menghasilkan vitamin D secara semula jadi. Oleh itu untuk badan mendapat cahaya matahari. yang optima, kulit orang-orang yang tinggal di negara sejuk perlulah berwarna cerah atau putih supaya lebih banyak cahaya boleh sampai ke bahagian kulit maka bulu-butu roma yang terdapat di atas kulit tersebut sebaik-baiknya hendaklah juga berwama cerah atau perang. Sebab itulah warna bulu roma dan rambut mereka berwarna cerah atau perang. Manakala di negara yang mendapat terlalu banyak cahaya matahari, kulit orang yang tinggal di kawasan ini berwarna agak gelap atau hitan. Warna gelap atau hitam itu dapat mengurangkan cahaya tembus kebahagian dalam kulit. Cahaya lampau ungu yang terdapat di dalam cahaya matahari boleh memudaratkan tubuh badan jika terdedah secara berlebihan.

Orang-orang yang tinggal di negara yang mempunyai kelembapan yang tinggi seperti negara kita Malaysia akan cepat berasa lekit apabila berpeluh. Peluh yang melekit ini menyebabkan kita tidak berasa selesa. Oleh itu orang-orang yang tinggal di kawasan ini apabila berjalan mereka bergerak agak perlahan, ini mungkin untuk mengurangkan kadar pengeluaran peluh dari tubuhnya. Manakala orang-orang yang tinggal di negara yang mempunyai kelembapan rendah atau kering, mereka boleh bergerak lebih pantas kerana mereka tidak bimbang dengan gangguan peluh dan kalau di negara sejuk pula, gerakan yang pantas itu dapat pula secara tidak langsung menaikkan suhu badan mereka. Selain dari dapat merubah bentuk fizikal manusia, alam sekitar juga mempengaruhi perwatakan manusia itu sendiri.


Iklim atau alam sekitar di negara kita ini atau amnya di Asia Tenggara mempengaruhi manusia yang tinggal di sini sehingga menjadi manusia yang mempunyai kulit berwarna sawa matang atau seperti orang Melayu. Oleh itu tidak hairanlah kalau beberapa ratus tahun lagi atau beribu tahun lagi semua kaum yang tinggal di negara kita ini akan mempunyai rupa paras dan perwatakan yang sama seperti orang Melayu kerana mereka tinggal di persekitaran yang sama seperti orang Melayu tinggal. Oleh kerana orang Melayu atau orang berkulit sawa matang adalah merupakan orang-orang yang telah dibentuk oleh alam sekitar di kawasan ini maka ada kemungkinan kesemua kaum-kaum yang lain seperti Cina, India dan lain-lainnya akan berubah secara perlahan-lahan dan akhirnya menyerupai orang-orang Melayu disebabkan pengaruh alam sekitar terhadap diri mereka. Bila perkara ini akan terjadi hanya masa saja yang akan menentukan. Sebagai contoh, di Melaka terdapat keturunan Portugis yang telah ratusan tahun menetap di sana, telah juga mengalami fenomena ini. Rupa paras mereka telah jauh berubah dari bangsa mereka yang asal iaitu bangsa Eropah berkulit putih. Perubahan rupa paras mereka ini dipercepatkan lagi oleh faktor perkahwinan campur dengan orang-orang tempatan.

Tuesday, November 06, 2007

Kesilapan Junta Tentera Myanmar kerana tidak pro Amerika.

Sokongan Presiden Bush kepada Presiden Musharaf ke atas tindakan Presiden itu mengistiharkan darurat dan tentera yang di bawah pimpinannya mengambil alih kuasa pemerintahan bagi mengatasi kemelut politik Negara Pakistan, menampakkan belang sebenar Presiden Bush.

Demokratik dan hak asasi yang kononnya diperjuangkan oleh Amerika itu hanyalah dijadikan sebagai alat oleh Bush bagi menekan negara-negara lain di dunia ini supaya menyokong dasar-dasar kerajaan Amerika.

Oleh itu janganlah kita termasuk perangkap sandiwara yang dimainkan oleh Bush ini. Oleh kerana Bush tidak suka kepada Junta Tentera Myanmar yang tidak menyokongnya maka berbagai-bagai tekanan telah dikenakan oleh Bush yang kononnya negara itu melanggar hak asasi dan menyekat demokrasi.

Memang kita akui tahap hak asasi dan pendemokrasian tidak berada pada tahap yang menggalakkan di Negara Myanmar. Tetapi sebagai ahli didalam negara Asean kita ada cara tersendiri untuk membantu Myanmar dalam memulihkan hak asasi dan demokrasi di negara itu. Jangan sekali kita terikut-ikut dengan lenggok Bush yang mempunyai kepentingannya yang terselindung itu.

Kalau Aung San Suu kyi yang dianggap sebagai pejuang demokrasi di Myanmar tidak menyokong dasar-dasar Amerika, belum tentu Bush akan menyokong beliau. Samalah seperti Mahmud Ahmedinejad, walaupun telah dipilih secara amalan demokrasi menjadi Presiden Iran tetapi Bush tetap sentiasa memberi ugutan dan tekanan kepadanya hanya kerana Ahmedinejad lantang memusuhi Israel.

Begitu juga hampir tidak ada kedengaran suara-suara yang mencerminkan rasa tidak senang Bush terhadap rampasan kuasa oleh tentera di Thailand, yang sehingga sekarang demokrasi masih belum dapat dipulihkan di negara Gajah Putih itu.

Itulah contoh-contoh ‘double standard’ yang menjadi amalan Presiden Bush untuk menjayakan agenda beliau, sudah tentu kita perlu berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkapnya.

Wednesday, October 03, 2007

Disebalik Kelonggaran Hukum Kepada Musafir

Di dalam Islam apabila kita bermusafir melebihi jarak dua marhalah untuk perkara-perkara yang diharuskan, banyak hukum-hukum dalam mengerjakan ibadah fardu telah diberi beberapa kelonggaran. Tujuannya adalah untuk tidak memberatkan orang-orang yang sedang bermusafir ini.

Sebagai contoh dua sembahyang fardu yang berlainan waktu boleh dihimpunkan dalam satu waktu yang dikenali sebagai jamak. Malah boleh juga sembahyang fardu yang mengandungi empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat yang dikenali sebagai qasar.

Malah orang yang berpuasa di bulan Ramadhan diharuskan berbuka jika sedang bermusafir. Atau dengan kata lain tidak menjadi wajib lagi untuk dia berpuasa jika sedang bermusafir.

Kalau kita mengimbau kembali di zaman hidupnya Rasullullah dahulu, mereka tinggal di kawasan semenanjung Arab yang diliputi gurun padang pasir, ketika itu orang-orang yang bermusafir ini terpaksa menempuh perjalanan yang amat sukar dengan menaiki unta atau berjalan kaki. Kadang-kadang terpaksa berhenti rehat dan bermalam di tempat-tempat yang mereka tidak biasa dan tidak mempunyai kemudahan asas.

Atas sebab kesukaran-kesukaran inilah maka beberapa hukum yang berkaitan dengan ibadah fardu ini telah diberi kelonggaran kepada orang-orang yang sedang bermusafir. Oleh itu kita sebagai insan yang diberi akal tentu dapat menelah kenapa kelonggaran itu diberikan.

Kelonggaran itu diberikan bukanlah semata-mata kerana musafir tetapi adalah kerana keadaan bermusafir ketika itu memang penuh dengan kesukaran-kesukaran. Kebanyakan orang kita hanya melihat apa yang tersurat saja tetapi tidak mampu melihat apa yang tersirat di sebaliknya.

Kadang-kadang kerana ketaksuban kita hanya melihat apa yang tersurat telah membawa perbalahan antara orang-orang Islam. Sebagai contoh terdekat yang boleh saya ambil ialah dalam melihat anak bulan untuk menentukan tarikh mula puasa Ramadhan dan satu Syawal. Yang dikehendaki di sini ialah untuk memastikan anak bulan itu ada atau tidak, tetapi ramai orang Islam telah salah faham kerana mereka hanya mengambil yang tersurat sahaja.

Memang betul di zaman nabi dulu tidak cara lain untuk menentukan adanya anak bulan melainkan dengan cara melihat dengan mata. Tetapi di zaman ini kita ada teknologi tertentu yang dapat mengira dan memastikan dengan tepat samada anak bulan itu ada atau tidak.

Pada dasarnya bermulanya tarikh puasa Ramadhan dan satu syawal itu adalah kerana adanya anak bulan, samada kita nampak atau tidak itu soal lain. Kalau cuaca mendung memang susah hendak nampak, dan kalau tak nampak tak mestinya tak ada.

Berbalik semula dengan kisah musafir tadi. Di zaman sekarang ini orang bermusafir bukan lagi naik unta atau jalan kaki, kita naik bas, naik kereta, naik kapal terbang yang boleh sampai dalam masa yang singkat dan amat selesa. Tempat-tempat rehat juga banyak disediakan, bilik air, tandas, malah surau juga mudah didapati.

Rasanya keringat dan peluh yang kita keluarkan untuk menaiki kenderaan-kenderaan yang disebutkan tadi untuk perjalanan sejauh 100 Km masih tidak sama dengan perjalanan dengan menaiki unta sejauh satu Km di padang pasir.

Saya tidaklah berani hendak memutuskan samada di zaman ini kita layak atau tidak untuk mendapat kelonggaran-kelonggaran sebagai seorang musafir tetapi yang pastinya keselesaan kita hampir tidak terjejas bila kita bermusafir di zaman ini.

Tentang orang yang kerjanya memandu bas untuk perjalanan yang jauh melebihi dua marhalah, apakah mereka dikira musafir juga. Saya menganggap mereka itu bukanlah musafir, kerana itu adalah merupakan pekerjaan harian mereka. Memang Tuhan jadikan fitrah tubuh badan kita ini akan dapat menyesuaikan dengan sesuatu keadaan itu bila kita biasa dengan keadaan tersebut.

Contohnya, orang yang biasa membuat kerja mengangkat kampit-kampit simen tidak lagi melihat mengangkat kampit-kampit simen itu suatu yang sukar dan mereka boleh membuat kerja tersebut untuk jangkamasa yang lama tanpa henti. Tetapi bagi orang yang tidak biasa tentulah sukar untuk melakukannya.

Oleh itu pemandu bas bagi jarak jauh yang kerjanya hari-hari membawa bas tidaklah sesuai mereka ditarafkan sebagai musafir. Bayangkanlah kalau pemandu-pemandu bas ini terus menerus boleh berbuka dibulan Ramadhan, diwaktu bila pula mereka hendak qada puasa-puasa tersebut sedangkan mereka terus menerus bekerja sepanjang tahun.

Kalau atas alasan boleh merbahayakan nyawa dan keselamatan penumpang jika memandu bas ketika sedang berpuasa, bagaimana pula dengan pekerjaan-pekerjaan yang lain itu yang banyak juga melibatkan keselamatan orang ramai.

Secara tersiratnya semua ibadah yang difardukan keatas kita itu memanglah sesuatu yang berat kerana ia adalah merupakan latihan-latihan kepada diri kita untuk membentuk diri kita menjadi insan yang betul-betul beriman dan taat.

Lagi teruk dan lasak latihan yang dijalani oleh seseorang tentera itu lagi baguslah dia dalam menghadapi musuh di medan perang sebenar.

Di dalam amalan perubatan homeophaty pun menggunakan prinsip latihan, di mana pesakit diberi ubat yang menyebabkan badan kita dilatih untuk melawan sesuatu penyakit, dan bila penyakit yang sebenar datang menyerang, badan kita sudah cukup bersedia untuk melawannya.

Thursday, September 20, 2007

50 tahun negara kita 'dijajah' UMNO

Setiap tahun kita menyambut ulangtahun kemerdekaan negara, berjuta-juta ringgit wang kerajaan dibelanjakan untuk menyambutnya. Setiap sambutan yang diadakan akan sentiasa dipastikan meriah dan mesti lebih meriah dari tahun-tahun sebelumnya.

Setiap kali menyambut hari kemerdekaan rakyat diajak untuk mengenang nikmat kemerdekaan. Kita sentiasa diingatkan bahawa negara kita ini pernah dijajah oleh bangsa-bangsa asing dari luar, dan hasil kemerdekaan orang kita telah dapat memerintah negara kita sendiri.

Memang tidak dinafikan hingga hari ini sejak merdeka negara kita memang diperintah oleh orang kita sendiri, tetapi samada kita sedar atau tidak setelah lima puluh tahun merdeka kita hanya diperintah oleh satu parti sahaja iaitu parti UMNO.

Tidak ada dalam sejarah mana-mana negara di dunia ini yang diperintah oleh satu parti sahaja untuk jangkamasa hingga lebih 50 tahun kecuali negara kominis. Yang peliknya kita mendakwa negara kita sebagai negara demokrasi bukan negara kominis. Hanya ada dua kemungkinan saja yang boleh menjawab persoalan yang pelik ini, mungkin parti UMNO ini terlalu bagus sehingga UMNO layak untuk memerintah lebih 50 tahun atau satu perkara lagi mungkin demokrasi yang diamalkan tidak demokrasi yang sepatutnya. Inilah persoalan yang perlu dicari jawapannya

Setiap kali menyambut merdeka dikompangkanlah kepada orang ramai, UMNO lah yang memperjuangkan kemerdekaan kita dulu. Kita diberitahu terlalu besar jasa UMNO kerana telah memerdekakan negara ini dari penjajah British. Kita diperingatkan segala kemajuan dan kemakmuran negara yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari kemerdekaan yang kita perolehi.

Mungkin sebab itulah sebagai mengenang budi dan jasa parti UMNO dalam memerdekakan negara ini maka kita sebagai rakyat terus memberi mandat kepada UMNO untuk terus memerintah sehingga lebih 50 tahun.

Padahal kalau difikirkan secara rasionalnya, orang-orang yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita dulu bukanlah lagi berada dalam UMNO sekarang, yang tinggal hanyalah nama parti UMNO sahaja yang kebanyakan ahlinya terdiri dari generasi selepas merdeka.

Lagipun diperingkat awalnya penubuhan UMNO itu bukanlah dalam bentuk parti politik untuk bertanding bagi memerintah negara tetapi lebih kepada wadah penyatuan orang Melayu bagi menuntut kemerdekaan. Orang-orang Melayu yang berada di bawah UMNO itu juga kemudiannnya menubuhkan parti-parti politik yang lain. Oleh itu tidaklah tepat kalau kita kata parti UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan tetapi yang tepatnya semua orang Melayu ketika itu telah bersatu di bawah UMNO untuk menuntut kemerdekaan negara.

Sebagai contoh apakah parti Keadilan Rakyat yang baru beberapa tahun ditubuhkan itu tidak layak untuk memerintah negara ini hanya kerana parti ini tidak mempunyai sejarah dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Apakah datuk nenek mereka tidak pernah bersama-sama orang Melayu lain memperjuangkan kemerdekaan.

Dan tidak pelik juga kalau ahli-ahli parlimen dari parti pembangkang telah tidak menyahut seruan merdeka yang dibuat oleh ahli parlimen UMNO di dalam Dewan Parlimen tidak berapa lama dulu, kerana mereka mungkin merasakan negara ini masih dijajah iaitu ‘dijajah’ oleh UMNO.


Dan bagi UMNO pula negara ini hanya diperintah oleh rakyat negara ini sendiri jika orang UMNO yang memerintah. Kalau orang dari parti lain yang memerintah negara ini seolah-olah dianggap diperintah oleh rakyat asing. Tidak hairanlah kalau UMNO sanggup buat apa saja termasuk mencabul kesucian demokrasi demi mengekalkan ‘kemerdekaan’ negara ini dari diperintah oleh parti lain.

Setiap tahun kita dibuai dengan sambutan kemerdekaan yang meriah yang dihidangkan oleh kerajaan UMNO, untuk kita semua benar-benar terasa negara kita telah merdeka. Sehingga kita lupa sebenarnya mereka iaitu parti UMNO telah 'menjajah' kita lebih 50 tahun.


Artikel ini pernah juga tersiar dalam Malaysiakini.com dalam ruangan Letters (dengan suntingan):
http://www.malaysiakini.com/letters/75035


Wednesday, September 12, 2007

Kerja Tolak Habuk

Pok pok pok… bujang lapok…. Tak ada mancis tak ada rokok… naik basikal terhangguk-hangguk…… tak ada kerja …. Tolak habukkkk.

Bila tak ada kerja tak ada lah gaji. Kalau tak ada gaji tak adalah duit nak menyara kehidupan. Bila tak ada duit macam-macam boleh jadi termasuklah minta sedekah, menipu, mencuri, merompak.dan sebagainya.

Apabila ramai yang tak ada pekerjaan, jenayah akan bertambah banyak, ketenteraman awam tergugat.

Satu masa dulu, ada negara seperti United Kingdom, menyediakan elaun bulanan kepada rakyatnya yang menganggur. Walaupun elaun yang dibayar tidaklah tinggi tapi dapat membantu mereka sementara mendapat kerja.

Di negara kita pula, langkah mengatasi masalah pengangguran ini oleh kerajaan ialah dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, melalui sektor awam dan swasta. Pelabur-pelabur dari dalam dan luar sentiasa dialu-alukan untuk melabur di negara ini bagi menambah peluang pekerjaan.

Apa saja bentuk pelaburan akan kita terima, yang pentingnya ia dapat memberi pekerjaan kepada rakyat kita dan mereka dapat gaji dari pekerjaan itu. Ada gaji ada lah duit, bila ada duit dapatlah mereka menyara kehidupan.

Kalau kita renungkan semula, kebanyakan pekerjaan yang diwujudkan pada hari ini boleh dikategorikan sebagai kerja ‘tolak habuk’.

Maksud kerja ‘tolak habuk’ disini ialah kerja yang tak banyak memberikan faedah kepada orang ramai. Samalah seperti orang yang menolak habuk ke sana dan ke mari, nampak seperti dia buat kerja tetapinya sebenarnya kerja tersebut tidak membawa apa-apa faedah.

Sebagai contoh, kebanyakan produk yang dikeluarkan oleh kilang-kilang seperti kereta, motorsikal, basikal dan barang-barang elektrik seperti TV, mesin basuh, kipas angin, komputer, peti sejuk dan sebagainya dibuat bukan untuk tahan lama.

Kereta dibuat untuk tahan kurang dari 10 tahun, barang elektrik pula kebanyakannya tidak boleh bertahan lebih dari 5 tahun.

Mungkin tujuan produk-produk ini dibuat tidak tahan lama supaya orang ramai akan terus menerus membeli barang-barang tersebut dari masa ke semasa, oleh itu barangan kilang tersebut akan sentiasa ada permintaan. Dengan itu pekerja kilang terus dapat bekerja dan mendapat gaji.

Sebaliknya kalau barangan tersebut dibuat tahan untuk jangkamasa yang lama, sudah tentu orang akan membeli sekali sahaja, akibatnya pekerja kilang akan tidak ada kerja atau kurang kerja, akhirnya ramailah orang yang tak bekerja.

Kalau di zaman dulu, kereta dibuat begitu kukuh dan tahan, kebanyakan orang beli satu kereta saja seumur hidupnya, kereta yang dibuat juga tidak memerlukan servis yang kerap. Berbanding zaman sekarang, ada orang terpaksa membeli lebih dari empat atau lima kereta seumur hidupnya, kereta yang dibuat masa kini juga memerlukan servis yang kerap.

Kerana semata-mata untuk memberi pekerjaan kepada orang ramai kita telah menukar prinsip dari mengeluarkan produk yang tahan lama kepada produk yang tidak tahan lama.

Kalau kita boleh membuat dan mengeluarkan barangan untuk tahan lebih lama kenapa kita dengan sengaja membuat barang yang tidak tahan. Kalaulah benar dengan mengeluarkan barang yang tidak tahan lama itu dapat menambah peluang pekerjaan dan dapat memastikan orang sentiasa ada kerja, tetapi adakah kita sedar kerja yang diwujudkan atas prinsip itu adalah seperti kerja ‘tolak habuk’.

Sebenarnya banyak lagi jenis-jenis kerja ‘tolak habuk’ yang terdapat disekeliling kita tetapi tidak semua sempat dihuraikan di sini.

Kalau lihat kepada permainan kanak-kanak, macam-macam permainan kanak-kanak telah dicipta, berapa banyak duit dihabiskan oleh ibubapa untuk membeli permainan kanak-kanak. Kilang-kilang telah dibina semata-mata untuk mengeluarkan barang permainan kanak. Banyaklah peluang pekerjaan diwujudkan untuk mengeluarkan permainan kanak-kanak ini.

Berbanding masa dulu, ibubapa tidak pernah membelikan barang mainan kanak-kanak, barang-barang mainan untuk kanak di masa itu dibuat sendiri dari barang-barang terpakai atau dari bahan-bahan yang terdapat disekitar mereka yang boleh didapati secara percuma.

Pada asalnya kita tidak perlu membelikan barang-barang mainan kanak-kanak tetapi kini ia sudah macam kemestian. Ini sendirinya dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada ramai orang, bukankah pekerjaan seperti ini adalah juga sama seperti kerja ‘tolak habuk’.

Nampaknya sekarang, cara mudah untuk menyelesaikan masalah tidak ada pekerjaan ialah dengan cara mewujudkan kerja ‘tolak habuk’. Kita nampak seperti mereka bekerja tetapi sebenarnya pekerjaan mereka itu tidaklah mendatangkan banyak faedah.

Mungkin cara United Kingdom yang memberi elaun kepada rakyatnya yang menganggur seperti membazir dan tidak bijak, tetapi rasanya tidak ada beza sangat dengan memberi gaji kepada pekerja-pekerja yang membuat kerja ‘tolak habuk’ ini.

Dari manakah datang duit untuk membayar elaun penganggur dan gaji pekerja ‘tolak habuk’ ini kalau tidak dari duit pekerja-pekerja yang ‘sebenar’. Kita yang membuat kerja sebenar inilah seperti para petani, penternak, pensyarah, guru, jurutera, secara tidak langsung yang membayar elaun penganggur dan gaji pekerja ‘tolak habuk’ itu.

Akibatnya nilai duit kita menjadi semakin mengecil kerana tanpa kita sedari terpaksa menanggung pekerja-pekerja ‘tolak habuk’ ini. Duit yang kita dapat dari gaji sentiasa rasa seperti tidak cukup. Bila duit tidak cukup, akan memberi ruang kepada orang untuk melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Mungkin sebab itu jugalah antara sebab masalah jenayah tidak pernah selesai walaupun peluang pekerjaan banyak. Kerana pekerjaan yang banyak itu kebanyakannya adalah jenis pekerjaan ‘tolak habuk’.

Kalau kerja tolak habuk yang disebut dalam lirik lagu P. Ramlee itu tidak mendapat apa-apa gaji kerana kerja tersebut tidak memberi apa-apa faedah tetapi pekerjaan ‘tolak habuk’ yang kita bincangkan di sini adalah dibayar gaji walaupun juga tidak banyak memberi faedah.


Tetapi kalau kerja sapu habuk memang patut diberi gaji kerana kerja ini dapat membersihkan persekitaran kita, memang ada faedahnya.

Tuesday, August 28, 2007

Kewajaran perlambakan ilmu diperingkat kanak-kanak

Satu sikap pelik yang melanda masyarakat kita hari ini ialah berasa bangga bila melakukan perkara-perkara yang tak baik. Sebagai contoh, ada sesetengah orang kita rasa megah bila ia berjaya menggunakan telefon dengan tidak dikenakan bayaran. Mereka rasa bangga bila dapat menggunakan kaedah tertentu dapat mengelak dari membayar tempat letak kereta. Berasa bangga dengan menggunakan muslihat tertentu dapat melepaskan barang-barang bercukai dari dikenakan cukai oleh kastam. Berasa bangga berjaya menggunakan kad kredit palsu dan menggunakan alat tertentu dapat mengelak dari kena perangkap laju semasa memandu. Sehinggakan seperti sudah tertanam dalam pemikiran masyarakat kita iaitu mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mengelak dari dikenakan bayaran dan mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang. Dalam perkara-perkara sedemikian mereka nampak begitu kreatif. Bukankah lebih baik jika kreativiti yang ada pada mereka itu dihalakan kepada mencipta perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

Mungkin satu cara untuk menghalang gejala yang disebutkan di atas dari terus menular dalam masyarakat kita ialah melalui pendidikan. Pendidikan di peringkat rendah iaitu di peringkat kanak-kanak harus menekankan kepada pembinaan peribadi mulia. Mereka perlu dididik untuk mencintai kebaikan dan berbangga untuk melakukan kebaikan. Rasa bangga untuk melakukan kebaikan dan menyumbang perkara-perkara baik kepada masyarakat perlu ditanamkan kepada pemikiran mereka. Nilai-nilai mulia seperti rajin, suka membantu, sabar, bertolak ansur, prihatin perlu disuburkan dalam jiwa mereka. Manakala nilai-nilai yang tercela seperti pemalas, tidak sabar, mementingkan diri sendiri, menipu, meniru perlulah dikikis dan dihindarkan dari mereka.

Sebaliknya apa yang kita nampak hari ini, pendidikan peringkat rendah kita lebih berorientasikan pendidikan pengetahuaan yang mana segala macam jenis ilmu dilambakkan kepada mereka, dari ilmu berbentuk agama hinggalah kepada ilmu sains, metamatik dan komputer kerana kita mengharapkan kanak-kanak ini akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan luas dan bermaklumat. Tetapi hasilnya, orang-orang yang terdidik di bawah sistem seperti ini begitu banyak mendatangkan masalah kepada kita. Mereka memang berilmu luas tetapi di waktu yang sama moral mereka tidak boleh dibanggakan.

Di samping mendidik nilai-nilai mulia yang disebutkan tadi, perkara lain yang perlu ditekankan dalam pendidikan peringkat rendah ini ialah melatih kanak-kanak ini berfikir, melatih mereka mengeluarkan pendapat samada melalui lisan mahupun tulisan dan melatih mereka cara-cara berinteraksi dengan rakan-rakan dan masyarakatnya. Matapelajaran yang dapat mengasah fikiran kanak-kanak perlu diwujudkan, dengan cara ini kita akan dapat menghasilkan manusia yang mampu berfikir. Kalau mengimbau zaman lampau, latihan berfikir bagi mengasah daya fikir kanak-kanak secara tidak formal memang telah wujud dalam masyarakat Melayu kita, bentuk permainan tradisional yang dinamakan ‘teka-teki’ itu sebenarnya adalah satu alat yang bertujuan menguji dan mengasah kanak-kanak berfikir. Sepatutnya bentuk permainan yang seperti ini boleh kita sesuaikan dengan keadaan zaman ini untuk dikembangkan kepada kanak-kanak hari ini bagi tujuan yang sama.

Latihan bertutur dan menggalakkan mereka memberi pendapat di dalam bilik-bilik darjah akan menjadikan mereka manusia yang berani mengeluarkan pendapat bila dikehendaki. Guru-guru kita sekarang ini begitu sibuk mengajarkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan kepada murid-muridnya sehinggakan tiada masa untuk melatih kanak-kanak ini bertutur dengan baik dan tiada masa untuk mendengar pendapat mereka. Sistem yang melambakkan segala macam ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak seperti yang ada sekarang ini perlu dikaji semula kesesuaiannya. Apa perlunya mengajarkan perbezaan Haji Tammatuk dengan Haji Kiran kepada kanak-kanak yang masih mentah sedangkan mereka akan pergi menunaikan haji mungkin pada umur lima puluhan. Bolehkah mereka ingat apa yang mereka belajar lima puluh tahun dahulu. Kadang-kadang pengetahuan agama yang diajarkan kepada kanak-kanak ini lebih kepada untuk mendidik mereka menjadi khadi bukan untuk mendidik mereka menjadi manusia berakhlak mulia.

Kenalah kita lihat semula kesesuaian dan keperluan suatu ilmu itu diajarkan di peringkat sekolah rendah. Murid-murid bukan sahaja terpaksa belajar benda-benda yang tidak sesuai dan tidak perlu, malah kerajaan terpaksa menggaji lebih ramai guru untuk mengajar topik-topik yang tidak banyak manafaatnya itu. Bukankah lebih baik kalau guru-guru tersebut bekerja di dalam sektor-sektor yang lebih produktif.

Pendidikan diperingkat rendah perlulah menekankan pendidikan yang dapat menghasilkan manusia berperibadi mulia yang mampu berfikir dan mengeluarkan buah fikiran.Pernah pensyarah di United Kingdom mendakwa, lebih baik memberi syarahan kepada dinding daripada memberi syarahan kepada penuntut Malaysia kerana dinding dapat memantulkan balik suaranya. Rasa kurang berani kedepan, kurang berani untuk bertanya, kurang berani memberi pendapat dan buah fikiran ini, sebenarnya sedikit sebanyak ia adalah berpunca dari cara kita menerima pendidikan di peringkat rendah. Cara yang mana guru sahaja bercakap dan murid diam adalah cara pendidikan yang dianggap betul di sini. Oleh itu sudah sampai masanya sistem pendidikan kita berubah kepada sistem pendidikan yang dapat menghasilkan manusia yang mampu berfikir, bukan setakat menghafal sahaja dan manusia yang mampu mencipta, bukan setakat mengguna sahaja.

Thursday, August 16, 2007

Suara anak merdeka

Mungkin Wee Meng Chee telah melakukan kesalahan yang agak berat kerana telah mengubah suai lagu Negara Ku yang sepatutnya sentiasa dihormati oleh setiap warga. Apatah lagi lagu itu telah di’rap’kan, yang mana kita tahu lagu rentak ‘rap’ ini dianggap oleh kebanyakan orang sebagai muzik kelas rendah atau ‘under ground music’.

Kalau kita menyorot kembali bagaimana muzik rap ini bermula, ia tercetus dari luahan tidak kepuasan hati anak-anak muda kulit hitam Amerika terhadap layanan yang mereka terima dari warga kulit putih yang mendominan negara mereka.

Mungkin untuk tujuan sama Wee Meng Chee juga telah memilih muzik rentak ‘rap’ ini untuk menyatakan tidak puas hatinya terhadap beberapa polisi kerajaan terhadap kaumnya atau terhadap sikap ‘buruk’ pegawai-pegawai kerajaan yang didominan oleh orang Melayu.

Dan kenapa Wee Meng Chee memilih lagu Negara Ku sebagai asas lagu ciptaannya itu mungkin kerana lagu itu merupakan lambang negara Malaysia, negara di mana dia menjadi warganya. Sudah tentu dengan menggunakan lagu Negara Ku beliau akan mendapat perhatian dari semua rakyat Malaysia, dan perhatian inilah yang memang beliau inginkan.

Mungkin ada sebahagian tuduhan-tuduhannya yang dilemparkan dalam lagu itu ada asasnya. Pepatah ada mengatakan, kalau tiada angin masakan pohon bergoyang. Kadang-kadang apa yang dialami oleh rakyat jelata diperingkat bawah sukar untuk sampai ke peringkat atas sebab-sebab yang tertentu. Atas alasan boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sensitiviti agama dan macam-macam sensitivi lagi, suara rakyat yang tidak puas hati terhadap sesuatu perkara terus terpendam dalam hati masing-masing.

Setelah 50 tahun kita merdeka, sudah pasti sebahagian besar rakyat negara ini adalah lahir selepas negara merdeka. Sudah tentu semua anak-anak Malaysia tidak kira kaum merasakan negara ini adalah negara mereka dan mempunyai hak untuk bersuara dan mendapat layanan yang saksama.

Memang betul kita mempunyai kontrak sosial yang telah dipersetujui di masa orang tua kita hendak memerdekakan negara kita ini dahulu. Tetapi untuk generasi sekarang, apakah kontrak sosial itu masih relevan. Kita kena juga melihatnya dari segi nilai kemanusiaan sejagat. Kalau air yang kita jual ke Singapura pada harga tiga sen bagi setiap 1000 liter padu pada tahun 1965, apakah harga itu masih berpatutan dan munasabah di masa ini. Walaupun dari segi undang-undang Singapura tidak salah untuk tidak mengkaji semula harga itu di waktu ini, tetapi dari segi moralnya apakah Singapura boleh dianggap sebagai bertimbang rasa.

Kita boleh saja mengekalkan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh orang tua kita dahulu tanpa boleh disoal, tetapi kita akan lebih dihormati lagi jika kita bermurah hati kepada semua rakyat untuk mengkajinya semula supaya ia sentiasa menepati keadilan dan tidak ada pihak yang terinaya.

Kita tak boleh selamanya hanya mendengar lagu merdu yang didendangkan oleh UMNO, MCA dan MIC, perlunya juga kita mendengar lagu sebenar dari semua lapisan rakyat yang mungkin tak sedap untuk didengar.

Mungkin Meng Chee kurang ‘patriotik’ kerana mencemar lagu Negara Ku, tetapi rasanya lebih tidak patriotik lagi orang-orang yang mengamalkan rasuah, tidak amanah yang menjadi kegusaran Meng Chee dalam lirik lagunya.

Wednesday, August 08, 2007

Apa perlunya kantin di tender setiap tahun?

Telah menjadi kebiasaan kantin-kantin di negara ini terutamanya di pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah akan melalui proses tender untuk setiap tahun atau dua tahun sekali. Tujuan asal tender itu memanglah baik, ia dapat menjamin kakitangan dan murid sentiasa mendapat makanan yang lebih baik, lebih sedap dengan harga yang berpatutan.


Tetapi dengan membuka tender bagi setiap tahun atau setiap dua tahun ini tidak kurang juga telah banyak mengundang perkara-perkara yang tidak sihat dan amalan yang negatif.


Satu perkara yang tidak sihat boleh berlaku dalam pemberian dan kelulusan tender ini ialah memberi ruang kepada pegawai-pegawai yang meluluskan tender terlibat dengan amalan rasuah. Mungkin ada pengusaha kantin yang begitu ghairah untuk memenangi tender tidak teragak-agak untuk merasuah pegawai-pegawai tersebut.


Mungkin juga ada pegawai-pegawai yang berkuasa dalam pemberian tender ini turut mempunyai kepentingan dalam pengendalian kantin. Samada beliau secara tidak langsung menjadi rakan kongsi dengan pengusaha kantin tersebut ataupun mempunyai hubungan saudara dengan pengusaha kantin itu.


Apabila pegawai-pegawai yang meluluskan pemberian tender kantin ini ada kepentingan diri maka matlamat untuk mendapatkan makanan terbaik dengan harga berpatutan tidak mungkin akan dapat dicapai. Pengusaha kantin yang tulin yang betul-betul berminat dalam mengendalikan kantin tentunya tidak akan dapat bertanding secara adil bila pegawai-pegawai tersebut mempunyai kepentingan diri.


Untuk mengelakkan perkara-perkara yang negatif ini, adalah lebih baik jika pengendali kantin terus dikekalkan selagi orang ramai berpuashati dengan perkhidmatan mereka.


Selagi tiada aduan dan rungutan dari orang ramai terhadap kebersihan, kualiti makanan dan harga makanan yang mereka tawarkan, tidak ada sebab untuk kita menukar pengusaha-pengusaha kantin tersebut.


Bayangkan kalau setelah dua tahun atau setelah empat tahun seorang pengusaha kantin itu tidak dapat mengekalkan peniagaannya disebabkan gagal untuk memenangi tender seterusnya maka beliau dan pekerjanya akan kehilangan sumber pendapatan secara mendadak. Ini samalah seperti orang yang bekerja dalam satu jabatan, setelah dua tahun bekerja dia diberhentikan secara mendadak, tentulah beliau akan kehilangan punca pendapatan.


Tidak ada pekerja yang suka diberhentikan secara tiba-tiba setelah berapa lama bekerja, begitu jugalah akan berlaku kepada pengusaha-pengusaha kantin. Sudah tentu ini akan menimbulkan kesulitan kepada mereka.


Tidak ada salahnya kita membenarkan pengusaha-pengusaha kantin terus kekal dalam perniagaannya, dengan cara itu mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada usaha mereka tanpa bimbang untuk diberhentikan. Pembantu dan pekerja kantin juga akan menganggap pekerjaan mereka sebagai kerja tetap yang ada jaminan masa depan dan bukan sebagai untuk kerja sementara sahaja.

Friday, July 27, 2007

Malaysia Negara Islam?

Apalah ada pada nama, mungkin sebab itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Najib tidak mahu melayan pihak-pihak yang ingin membincangkan soal Malaysia sebagai ‘Negara Islam’.

Kehidupan kita adalah ditentukan oleh kita sendiri dan masyarakat di sekeliling kita. Samada kita hendak labelkan negara kita sebagai negara Islam atau tidak, ianya bukanlah sesuatu boleh mempengaruhi kehidupan kita.

Bila Datuk Najib mendakwa Malaysia sebagai negara Islam, apakah kehidupan orang-orang bukan Islam akan terjejas dan akan berubah dari keadaan sebelumnya? Saya fikir tidak ada apa yang akan berubah, mereka akan terus menjalani kehidupan seperti yang biasa mereka lakukan hari-hari.

Lainlah kalau dakwaan Datuk Najib itu menyebabkan kehidupan kita terganggu, memang ada alasanlah untuk kita mempersoalkannya.

Oleh kerana dengan label yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin yang tertentu itu tidak akan mengubah kehidupan kita maka sebab itulah mereka tidak mahu melayan perbincangan-perbincangan yang berkaitan dengannya. Kalau dibincangkan pun ia hanya akan membuang masa dan boleh menyentuh sensitiviti kaum.

Tentulah janggal kalau Malaysia sebagai pengerusi pertubuhan OIC tetapi bukan negara Islam. Untuk menjadi anggota kepada OIC mestilah terlebih dahulu negara kita dilihat sebagai negara Islam. Untuk dilihat sebagai negara Islam mestilah ada ciri-ciri yang mereka fikirkan wajar.

Apa yang kita nampak semua negara yang menganggotai pertubuhan OIC mempunyai pemimpin di kalangan orang Islam, mungkin inilah syarat utama untuk diiktiraf sebagai negara Islam.

Negara Turki dan Indonesia sebagai contoh walaupun mereka memegang prinsip sekular dalam bernegara tetap diiktiraf juga sebagai anggota OIC atas sebab pemimpin mereka Islam. Biasanya kalau sesebuah negara itu mempunyai rakyat yang majoriti beragama Islam maka secara logiknya pemimpin mereka pun akan terdiri dari kalangan orang Islam juga.

Sebaliknya sekalipun sesebuah negara itu mempunyai penduduk Islam yang ramai seperti India tetap juga tidak diterima menjadi anggota OIC kerana pemimpinnya bukanlah orang Islam.

Oleh itu apa sangatlah kita hendak bising dengan label negara Islam atau tidak, kerana negara Islam atau tidak itu ditentukan oleh struktur masyarakatnya. Kalau kita suka, kita pun boleh labelkan England sebagai negara Islam, tapi masalahnya takut orang akan ketawakan kita.

Tuesday, July 10, 2007

Kita tak boleh lari dari dihukum oleh alam

Ramai orang menyangka selagi mereka dapat melepaskan diri dari dikenakan tindakan undang-undang selagi itulah mereka merasakan diri mereka selamat. Mereka lupa, sekali pun mereka terlepas dari dihukum oleh undang-undang, sebenarnya mereka tidak boleh terlepas dari dihukum oleh alam.

Mungkin mereka selamat dari dikenakan tindakan undang-undang, namun begitu lambat laun pasti tidak akan terlepas dari menerima hukum alam akibat dari perbuatan buruk mereka itu, tanpa mereka sendiri sedari.

Sebagai contoh, kita mungkin boleh mengambil jalan mudah dengan membuang sampah dan sisa toksid ke dalam longkang, parit atau sungai tanpa dapat dikesan oleh pihak penguat kuasa undang-undang. Tetapi perbuatan buruk kita ini akhirnya akan membuatkan parit dan longkang tersumbat. Setiap kali hujan, banjir kilat akan melanda yang mungkin boleh merosakkan harta benda awam dan harta benda kita sendiri.Bila banjir kilat kerap berlaku di Bandar, akan turut juga menjejaskan perniagaan dan sedikit sebanyak menjejaskan industri pelancungan.

Sungai dan laut yang dicemari akan membunuh kehidupan air. Sungai dan laut yang sepatutnya dapat memberikan orang ramai sumber air bersih dan sumber makanan seperti ikan tidak dapat di manafaatkan lagi. Bukan sahaja nelayan akan kehilangan sumber pendapatan, kita juga sebagai pengguna terpaksa membayar lebih mahal untuk mendapatkan air dan ikan kerana sumber tersebut telah semakin berkurang.

Sebenarnya kehidupan kita di alam ini sentiasa bergantung dan saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap tindak tanduk dan perbuatan kita tetap menerima ‘tindakan berantai’. Kalau kita melakukan perkara baik ia akan menghasilkan rantaian tindakbalas yang baik sebaliknya kalau kita melakukan perkara yang tidak baik pula ia akan menghasilkan rantaian tindakbalas yang tidak baik.

Sesetengah dari kita mempunyai sikap tidak menjaga kemudahan awam yang disediakan kerajaan dengan baik kerana beranggapan kemudahan awam bukan harta milik kita. Malah lebih menyedihkan ada yang sanggup dengan sengaja merosakkan kemudahan awam ini. Perbuatan buruk mereka itu bukan sahaja akan menyusahkan orang ramai termasuk diri mereka sendiri yang menggunakannya tetapi juga lebih banyak wang diperlukan oleh kerajaan atau pihak yang menyediakannya bagi menyelenggara dan membaikinya.

Wang yang diguna untuk membaiki itu adalah datang dari cukai yang dikutip atau keuntungan syarikat yang menyediakan kemudahan itu. Sedangkan wang cukai dan hasil keuntungan itu adalah dibayar oleh orang ramai juga. Sepatutnya wang yang digunakan untuk membaiki kerosakan tersebut boleh digunakan untuk menambah lebih banyak lagi kemudahan awam.

Malah bagi menampung kos penyenggaraan dan pembaikan yang tinggi ini memaksa pihak yang menyediakan kemudahan ini menaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mereka berikan, yang tentunya kita juga yang akan menanggung bebannya.

Peniaga-peniaga yang tidak berhemah, menipu pelanggan, tidak bertimbang rasa, menjual barangan dengan harga yang tinggi kerana mementingkan keuntungan pasti akan kehilangan pelanggan akhirnya. Sekalipun peniaga-peniaga seperti ini boleh terlepas dari dikenakan tindakan undang-undang namun perniagaan mereka pasti tidak akan kekal lama kerana pelanggan akan berasa serik untuk berurusan dengan peniaga yang sedemikian.

Di sinilah pentingnya kita menghindarkan dari melakukan perkara-perkara tidak baik kerana kesan buruknya tetap kita terima juga sekalipun kita boleh terlepas dari tindakan undang-undang.

Kalau kita hanya memejamkan mata dengan masalah dadah dewasa ini dengan beranggapan ia bukan masalah kita, itu adalah sikap yang tidak betul. Sekalipun kita tidak terlibat dengan gejala dadah tetapi dapatkah kita menjamin anak-anak kita atau saudara mara kita dari terus terlepas dari jangkitan masalah dadah ini. Dan dapatkah kita menjamin yang kita boleh terlepas dari berlaku ke atas diri kita perbuatan jenayah seperti kes pecah rumah, kes ragut, kes curi yang banyak dilakukan oleh penagih-penagih dadah kerana terdesak bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Tenaga kerja untuk membangunkan negara akan lumpuh kalau banyak anak muda kita menagih dadah, akhirnya negara kita bergantung kepada buruh asing yang juga tidak kurang membawa masalah sosial kepada kita.

Apakah pengedar-pengedar dadah yang memiliki kekayaan kerana hasil dadah boleh hidup senang selamanya, padahal akibat perbuatan mereka itu menjadikan bilangan penagih dadah semakin ramai. Dapatkah pengedar-pengedar dadah ini menikmati kekayaannya dengan selesa kalau semua orang adalah penagih-penagih dadah.

Rasuah juga adalah amalan yang amat tercela, penerima rasuah merasakan diri mereka mendapat faedah dan keuntungan tanpa perlu kerja bersusah payah. Tetapi dengan memberi rasuah, pihak yang membina bangunan, jalanraya, jambatan umpamanya terpaksa menggunakan bahan-bahan murah dan tidak berkualiti pada binaannya bagi menampung wang rasuah yang terpaksa diberi itu.

Akibatnya binaan yang disiapkan tidak dapat bertahan lama atau cepat rosak kerana tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Akhirnya lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk membaiki atau membina semula binaan yang rosak ini. Binaan yang tidak berkualiti ini bukan sahaja akan merbahayakan orang ramai tetapi juga secara tidak langsung terpaksa menanggung beban membayar semua kos-kos yang tak perlu itu.

Penipisan lapisan ozon, pemanasan global, taufan yang kerap berlaku adalah bentuk-bentuk tindakbalas alam kepada manusia kerana perbuatan buruk sesetengah manusia yang tamak tanpa menghiraukan kesannya kepada alam kita.

Tindakan undang-undang dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan sebaliknya hukum alam bukan sahaja akan terkena kepada orang yang membuat salah tetapi orang yang tidak buat salah pun akan terkena juga tempiasnya.

Di sinilah pentingnya tanggung jawab sosial perlu ada di kalangan setiap kita bagi mengatasi kepincangan dalam masyarakat bagi menjamin kehidupan kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Sekalipun kita tidak suka melakukan kejahatan atau kesalahan, kita juga perlu ambil tahu masalah yang ada dalam masyarakat kita dengan menyumbang tenaga, fikiran atau wang ringgit untuk menyelesaikan penyakit-penyakit yang ada dalam masyarakat kita. Kebaikan yang kita berikan ini pastinya akan menghasilkan rantaian tindakbalas kebaikan, yang faedahnya akan kembali kepada kita juga.

Oleh itu setiap malam sebelum kita tidor haruslah kita bertanya pada diri kita, apakah kebaikan yang telah lakukan di siang harinya kerana ini saja dapat menjamin kebaikan yang berterusan kepada diri kita di keesokan hari.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com