PM NAJIB seperti tidak sabar untuk membuat perubahan hinggakan terpaksa mengambil masa berminggu-minggu untuk memperincikan gagasan ‘Satu Malaysia’ yang beliau lontarkan pada ucapan alu-aluannya sebagai Perdana Menteri. Kepada setengah orang keadaan ini disifatkan sebagai sudah berak baru hendak gali lubang.
Sekarang ini semua parti-parti politik berebut-rebut hendak mendapatkan slogan dan label yang boleh membawa makna ‘perubahan’. Mungkin telah menjadi naluri kebanyakan manusia yang suka kepada perubahan, mereka jadi bosan kalau menjalankan aktiviti kehidupan yang sama saja.
Tidak hairanlah kalau parti-parti politik juga berlumba-lumba untuk dilihat sebagai parti yang mahu berubah dan mampu membuat perubahan untuk terus sesuai dengan aspirasi rakyat.
Pak Lah terpaksa dikorbankan dan digantikan dengan Najib walaupun penggalnya sebagai PM belum tamat lagi. Ini semua gara-gara hendak menunjukkan kepada rakyat UMNO benar-benar dan tidak sabar hendak membuat perubahan.
Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang perubahan yang dilaung-laungkan itu hanyalah retorik dan perubahan komestik semata bagi mengabui mata rakyat.
Menjelang pilihanraya umum akan datang ini, pastinya telinga kita akan disumbat bertubi-tubi oleh slogan-slogan politik yang sarat dengan perkataan yang membawa maksud ‘perubahan’ dan yang sewaktu dengannya seperti ubah (change), reformasi, harapan baru, Malaysia baru dan transformasi.
Reformasi adalah satu perkataan yang sinonim dengan Anwar Ibrahim yang sangat ditakuti oleh UMNO pada sekitar tahun 1998 dahulu.
Setakat ini pimpinan UMNO di bawah Najib tidaklah nampak membuat apa-apa perubahan besar yang dapat memberi impak besar kepada rakyat selain dari membuat beberapa lawatan mengejut ke berapa kawasan sesak di sekitar Kuala Lumpur sambil menjaja gagasan ‘Satu Malaysia’ beliau.
Berbondong-bondonglah media-media perdana mengekori buntut beliau dalam membuat liputan secara besar-besaran, digambarkanlah dalam media bahawa Najib telah membuat pendekatan yang berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini yang tidak mesra rakyat dan terlalu formal. Inilah perubahan besar yang telah dilakukan oleh Najib.
Apakah perubahan seperti itu yang benar-benar dikehendaki rakyat?
Dikalangan penganalisis politik, apa yang dilakukan oleh Najib itu tidak lain dari usaha beliau untuk mengalihkan perhatian orang ramai dan rakyat daripada isu yang lebih besar.
Sebelum ini Pak Lah yang dibantu oleh menteri kabinetnya Zaid Ibrahim telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk mengembalikan kredibiliti dan integriti badan kehakiman negara ini yang telah menjadi tunggangan badan esekutif dan telah banyak dipertikaikan oleh berbagai pihak termasuk dari luar negara.
Usaha yang dilihat merugikan UMNO ini telah mendapat sambutan dingin dari pemimpin-pemimpin UMNO lain yang ada kepentingan politik. Setelah Pak Lah turun dari jawatan PM, usaha tersebut turut terhenti dan disenyapkan.
Nasib yang sama juga turut menimpa kepada usaha untuk mengembalikan institusi Polis dan badan pencegah rasuah sebagai badan penguatkuasa yang bebas, berkredibiliti dan berintegriti.
Sebenarnya inilah perkara-perkara yang sangat besar yang patut diberi keutamaan dalam sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Pencapaian kita tidak akan sampai ke tahap yang membanggakan kalau kita kembali menggunakan pendekatan autokratik seperti yang diamalkan oleh Mahathir sebelum ini.
Demokrasi tidak akan memberi kesan yang baik kepada kita jika media kita tidak bebas dan badan yang mengendalikan pilihanraya tidak bebas, telus dan adil.
Institusi Polis dan ISA dengan sewenangnya digunakan untuk menghapuskan musuh-musuh politik yang boleh menggugat kepentingan politik parti yang memerintah. Baru semalam kita telah digemparkan dengan penangkapan pemimpin PAS, Mohamad Sabu, yang jelas bermotifkan desakan politik. Nampaknya dalam hal ini juga UMNO telah membuat perubahan, tetapi satu perubahan kebelakang.
Iltizam Pak Lah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap UMNO selepas mengalami prestasi buruk pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu memang di alu-alukan oleh semua orang.
Untuk mendapat semula keyakinan orang ramai, pendekatan parti UMNO kenalah berubah. Pemikiran masyarakat kita sekarang semakin maju, sesuai dengan masyarakat yang maju, penampilan UMNO juga kena berubah untuk disesuaikan dengan masyarakat.
Amalan politik membuli dan menakut-nakutkan bukan lagi cara yang sesuai di zaman ini. Masih segar diingatan kita bagaimana Khairi Jamaludin semasa berkempen di Kelantan telah membawa mesej ‘pado dah 18 tahun’ yang membawa maksud cukuplah 18 tahun PAS memerintah di Kelantan. Akhirnya mesej beliau itu telah disambut oleh rakyat Kelantan dengan mesej ‘padea muke mu’ melalui peti undi.
Manifesto ‘Tahun Merawat Kelantan’ telah berakhir dengan ‘Tahun Merawat UMNO’ sendiri. Cara kempen yang keterlaluan itu bukan saja tidak dapat meraih simpati orang ramai untuk mengundi UMNO sebaliknya telah menimbulkan rasa meluat orang ramai.
Di masa yang lalu isu-isu penawaran pemberian kemudahan asas selalu dimainkan oleh UMNO setiap kali menjelang pilihanraya. Dan diwaktu itu taktik tersebut memang berkesan dan berjaya untuk meraih undi orang ramai.
Kerana UMNO tidak sensitif kepada perubahan dan kehendak rakyat menyebabkan parti itu tidak relevan lagi kepada mereka. Nasibnya mungkin jadi sama seperti danasour yang lenyap kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran.
Sejak kebelakangan ini rakyat kita telah bosan dengan masalah sosial yang tak pernah habis seperti dadah, rempit, lepak, masalah jenayah seperti ragut, rompak, samun, pecah rumah, penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, peminjam wang haram atau along dan kenaikan harga barang, pengangkutan awam yang teruk dan kos kehidupan yang tinggi di Bandar. Semua masalah ini tidak pernah selesai dan tidak dapat ditangani oleh kerajaan BN dengan baik.
Rakyat juga begitu bosan dengan gejala rasuah yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan swasta. Walaupun ada cubaan untuk menyembunyikan dengan alasan tidak ada bukti sahih tetapi rakyat biasa yang berdepan dan mengalami sendiri tentu tahu bagaimana teruknya amalan rasuah di negara kita.
Itu belum lagi termasuk cerita-cerita pencemar alam sekitar, kilang-kilang haram, pembalak-pembalak haram yang banyak kali disiasat tetapi selalu terlepas dari hukuman, semua perkara-perkara salahlaku ini samada disedari atau tidak, secara tidak langsung telah memberi imej buruk kepada parti yang memerintah.
Keresahan rakyat kepada isu-isu salah laku dan masalah sosial ini telah terlepas pandang oleh UMNO yang menganggapnya sebagai masalah remeh. Sebaliknya kalau kita lihat manifesto parti pembangkang dalam pilihanraya umum ke 12 lalu banyak menekankan kepada kepada sebuah kerajaan yang telus, adil dan membantu meringankan beban rakyat yang sememangnya sekian lamanya menjadi impian dan ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini.
Berbanding PR, parti BN adalah parti yang menguasai kerajaan sekarang ini dilihat oleh rakyat sebagai pihak yang ada kuasa untuk melakukan apa jua perubahan yang dapat memberi kebaikan kepada rakyat.
UMNO hendaklah ikhlas dalam mengadakan pembangunan untuk rakyat. Tidak perlulah memberitahu rakyat supaya mereka patut mengenang jasa-jasa yang telah dibuat oleh UMNO. Tidak payahlah membelanjakan berpuluh ribu ringgit semata-mata untuk membuat papan-papan tanda besar yang tertulis perkataan “SEBUAH LAGI PROJEK OLEH KERAJAAN BARISAN NASIONAL”.
Tidak perlu jugalah dipanggil semua media perdana supaya dapat dilihat oleh rakyat setiap kali adanya majlis perasmian projek yang sudah siap atau pecah tanah untuk memulakan projek kerajaan. Kalau kita buat projek demi untuk kesenangan rakyat dengan ikhlas pasti akan dikenang rakyat juga.
Rakyat kita sudah pandai menilai mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang betul dan mana yang salah. Mereka tidak lagi mudah percaya dan terima bulat-bulat apa yang kita sogokkan. Kalau kita mahu parti kita terus relevan dan diterima rakyat maka kenalah sentiasa berubah mengikut keperluan rakyat. Kalau tidak, hanya orang hutan sajalah yang mahu mengundi parti kita, sedangkan orang hutan kalau pun ada, sudah tidak berapa ramai lagi bilangannya di Malaysia ini.
NEHI ...CEMBURU GAYANYA
40 minutes ago
1 comment:
Betul. Tambahan pula, saya rasa setakat perubahan di tahap UMNO sahaja tidak cukup untuk memulihkan Malaysia sebagai bangsa yang tulus dan berjaya. Persepsi rakyat terutamanya penyokong UMNO yang pantang dengan isu isu retorik perkauman harus berubah mengikut masa. Sudah sampai ke abad ke-21 dan soal kaum untuk propoganda sudah dianggap kuno dan tidak releven.
Mentaliti dan sikap organisasi kerajaan seperti PDRM dan MACC kini amat mengecewakan. Penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa sehingga institusi-institusi sebegini yang sepatutnya neutral digunakan untuk memenuhi agenda politik parti tertentu.
1Malaysia itu satu konsep yang bagus. Akan tetapi, konsep itu tetap satu konsep sekiranya Najib and konco-konconya melakukan sesuatu yang betul-betul mencerminkan keazaman UMNO untuk berubah. Malangnya, kejadian penahanan Wong Chin Huat, aktivis BERSIH dan Ketua Pemuda PKR Badrul Hisham bukan salah satunya.
Post a Comment