Encik Jaafar Shafie yang bertugas
sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM telah bersara wajib pada
bulan Jun 2014 ini, setelah berkhidmat selama 38 tahun.
Beliau seorang yang low profile, mudah
mesra dengan siapa saja. Beliau sangat disenangi oleh semua kakitangan. Beliau
sangat suka kepada ilmu pengetahuan terutamanya dalam prinsip asas kejuruteraan
elektrik dan mesin elektrik. Sikapnya yang suka berkongsi ilmu pengetahuan
dengan orang lain menjadikan beliau memang sesuai bertugas sebagai seorang
pensyarah.
Setiap kali dapat peluang berbual
dengannya, pasti kita akan dapat sesuatu ilmu pengetahuan yang berguna yang disampaikannya
sebelum beredar meninggalkannya.
Beliau adalah antara kakitangan
pengajar terawal ketika Fakulti Elektrik ditubuhkan di Universiti Teknologi
Malaysia. Bekerja di bawah Jabatan Elektrik Kuasa, pengetahuannya tentang teori
mesin elektrik memang tiada tandingnya di fakulti ini, beliau sering dirujuk
oleh pensyarah-pensyarah baru.
Semasa menanda dan memeriksa kertas
ujian, kertas peperiksaan, mahupun lapuran makmal pelajar, beliau sangat
berhati-hati dan teliti dan sentiasa memberi komen jika ada kesilapan dan
kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.
Beliau banyak memberi idea dalam
membangunkan ujikaji-ujikaji yang dijalankan di makmal, selalu menegur jika ada
kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam kertas ujikaji makmal.
Walaupun bersara tanpa ada gelaran
professor tetapi beliau tetap berpuas hati dengan pencapaiannya sebagai
pensyarah kanan di UTM. Bagi beliau, kepuasan dalam menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada pelajar-pelajar itulah yang lebih penting dari segala-galanya.
Sebagai seorang sahabat yang telah
lama bekerja bersama beliau. Di sini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada beliau. Moga beliau terus menyumbang kepada masyarakat
walaupun sudah bersara.