Sistem pemerintahan Raja atau Sultan yang hari ini dikenali
sebagai raja monarki adalah satu sistem politik yang sangat kuno, kewujudannya hampir
sama dengan kewujudan tamaddun awal manusia itu sendiri.
Hidup bermasyarakat memerlukan pemimpin. Dengan adanya
pemimpin barulah suatu masyarakat itu dapat diurus dan diselaraskan supaya
mereka dapat menjalankan aktiviti kehidupan mereka dengan baik dan teratur.
Ciri-ciri kepimpinan bukan ada pada semua orang, menjadi
pemimpin bermakna memiliki kuasa. Dengan kuasa di tangan, mereka boleh
melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati mereka. Pemimpin yang baik akan
disayangi oleh rakyat, pemimpin yang jahat pula akan dibenci oleh rakyat.
Oleh kerana pemimpin mempunyai kedudukan yang istimewa dan
mereka mendapat berbagai faedah, maka ramailah orang yang ingin menjadi
pemimpin. Kerap terjadi perebutan kuasa hingga melibatkan peperangan,
pemberontakan dan pertumpahan darah semata-mata hendak menjadi pemimpin.
Dengan mengamalkan system raja atau sultan, kepimpinan telah
menjadi suatu yang boleh diwarisi melalui nasab keturunan. Ada beberapa sebab
kenapa sistem kepimpinan corak raja atau sultan ini dipilih. Pertama, mereka
tidak mahu semua keistimewaan yang keluarga mereka dapat semasa menjadi
pemimpin terlepas kepada orang lain. Kedua, apabila kepimpinan diturunkan
kepada anak atau keturunannya, maka ini dapat mengelakkan perebutan kuasa yang
boleh membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.
Tetapi terdapat kelemahan yang paling ketara kalau menggunakan
sistem raja atau sultan, ciri-ciri kepimpinan yang baik tidak boleh diturunkan
kepada anak. Tidak semua orang ada kemampuan untuk menjadi pemimpin. Kalau
kebetulan anak raja yang bakal mewarisi ayahandanya tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan
yang baik maka ini akan mendatangkan banyak masalah kepada Negara dan rakyat.
Mereka yang mendokong sistem raja dan sultan ini tahu
tentang kelemahan sistem tersebut. Untuk menutup kelemahan ini, mereka telah
mencipta berbagai mitos tentang raja. Mereka telah mengasingkan darjat raja
dengan rakyat, mereka tidak boleh bergaul dengan rakyat sewenang-wenangnya.
Malah dalam setengah masyarakat, mereka menganggap raja sebagai wakil tuhan
yang patut disembah, bahasa yang diguna di istana juga berbeza dengan bahasa
rakyat biasa. Raja dianggap mempunyai daulat yang boleh memberi ‘kesan’ kepada
rakyat yang tidak menghormati raja.
Zaman telah berubah, manusia sudah celik dan bermaklumat,
mereka tidak mudah mempercayai mitos dan benda karut marut. Sistem raja dan
sultan telah tidak sesuai lagi kepada manusia moden. Mereka hanya perlukan
pemimpin untuk memimpin mereka, bukan pemimpin dalam bentuk raja atau sultan
lagi.
Mereka telah mencuba berbagai sistem untuk mengurus hidup
mereka dan memilih pemimpin mereka. Banyak Negara di dunia hari ini telah
membuang raja mereka dan menggantikan dengan sistem pilihan rakyat yang kita
kenali sebagai demokrasi. Melalui sistem demokrasi rakyat dapat memilih
pemimpin yang terbaik di kalangan mereka sendiri untuk memimpin mereka.
Tuhan tidak pernah mewariskan mana-mana bahagian bumi ini untuk diperintah oleh seseorang dan keturunannya. Tuhan juga tidak pernah menjadikan ciri-ciri kepimpinan hanya dimiliki oleh seseorang dan keturunannya.
Tuhan tidak pernah mewariskan mana-mana bahagian bumi ini untuk diperintah oleh seseorang dan keturunannya. Tuhan juga tidak pernah menjadikan ciri-ciri kepimpinan hanya dimiliki oleh seseorang dan keturunannya.
Perbuatan seorang yang mengaku waris keturunan Sultan Melaka yang mahu menuntut jawatan
Sultan Melaka baru-baru telah menjadi bahan ketawa orang ramai sahaja. Tidakkah
dia sedar, kita bukan lagi berada pada tahun 1514 tetapi tahun 2014.
Dalam era di mana orang tidak lagi berkehendak kepada raja,
tiba-tiba dia muncul untuk menawarkan diri untuk menjadi Sultan Melaka. Lebih
baiklah tuanku masuk program Raja Lawak saja, memang kami terima.