Mungkin satu cara untuk menghalang gejala yang disebutkan di atas dari terus menular dalam masyarakat kita ialah melalui pendidikan. Pendidikan di peringkat rendah iaitu di peringkat kanak-kanak harus menekankan kepada pembinaan peribadi mulia. Mereka perlu dididik untuk mencintai kebaikan dan berbangga untuk melakukan kebaikan. Rasa bangga untuk melakukan kebaikan dan menyumbang perkara-perkara baik kepada masyarakat perlu ditanamkan kepada pemikiran mereka. Nilai-nilai mulia seperti rajin, suka membantu, sabar, bertolak ansur, prihatin perlu disuburkan dalam jiwa mereka. Manakala nilai-nilai yang tercela seperti pemalas, tidak sabar, mementingkan diri sendiri, menipu, meniru perlulah dikikis dan dihindarkan dari mereka.
Sebaliknya apa yang kita nampak hari ini, pendidikan peringkat rendah kita lebih berorientasikan pendidikan pengetahuaan yang mana segala macam jenis ilmu dilambakkan kepada mereka, dari ilmu berbentuk agama hinggalah kepada ilmu sains, metamatik dan komputer kerana kita mengharapkan kanak-kanak ini akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan luas dan bermaklumat. Tetapi hasilnya, orang-orang yang terdidik di bawah sistem seperti ini begitu banyak mendatangkan masalah kepada kita. Mereka memang berilmu luas tetapi di waktu yang sama moral mereka tidak boleh dibanggakan.
Di samping mendidik nilai-nilai mulia yang disebutkan tadi, perkara lain yang perlu ditekankan dalam pendidikan peringkat rendah ini ialah melatih kanak-kanak ini berfikir, melatih mereka mengeluarkan pendapat samada melalui lisan mahupun tulisan dan melatih mereka cara-cara berinteraksi dengan rakan-rakan dan masyarakatnya. Matapelajaran yang dapat mengasah fikiran kanak-kanak perlu diwujudkan, dengan cara ini kita akan dapat menghasilkan manusia yang mampu berfikir. Kalau mengimbau zaman lampau, latihan berfikir bagi mengasah daya fikir kanak-kanak secara tidak formal memang telah wujud dalam masyarakat Melayu kita, bentuk permainan tradisional yang dinamakan ‘teka-teki’ itu sebenarnya adalah satu alat yang bertujuan menguji dan mengasah kanak-kanak berfikir. Sepatutnya bentuk permainan yang seperti ini boleh kita sesuaikan dengan keadaan zaman ini untuk dikembangkan kepada kanak-kanak hari ini bagi tujuan yang sama.
Latihan bertutur dan menggalakkan mereka memberi pendapat di dalam bilik-bilik darjah akan menjadikan mereka manusia yang berani mengeluarkan pendapat bila dikehendaki. Guru-guru kita sekarang ini begitu sibuk mengajarkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan kepada murid-muridnya sehinggakan tiada masa untuk melatih kanak-kanak ini bertutur dengan baik dan tiada masa untuk mendengar pendapat mereka. Sistem yang melambakkan segala macam ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak seperti yang ada sekarang ini perlu dikaji semula kesesuaiannya. Apa perlunya mengajarkan perbezaan Haji Tammatuk dengan Haji Kiran kepada kanak-kanak yang masih mentah sedangkan mereka akan pergi menunaikan haji mungkin pada umur lima puluhan. Bolehkah mereka ingat apa yang mereka belajar lima puluh tahun dahulu. Kadang-kadang pengetahuan agama yang diajarkan kepada kanak-kanak ini lebih kepada untuk mendidik mereka menjadi khadi bukan untuk mendidik mereka menjadi manusia berakhlak mulia.
Kenalah kita lihat semula kesesuaian dan keperluan suatu ilmu itu diajarkan di peringkat sekolah rendah. Murid-murid bukan sahaja terpaksa belajar benda-benda yang tidak sesuai dan tidak perlu, malah kerajaan terpaksa menggaji lebih ramai guru untuk mengajar topik-topik yang tidak banyak manafaatnya itu. Bukankah lebih baik kalau guru-guru tersebut bekerja di dalam sektor-sektor yang lebih produktif.
Pendidikan diperingkat rendah perlulah menekankan pendidikan yang dapat menghasilkan manusia berperibadi mulia yang mampu berfikir dan mengeluarkan buah fikiran.Pernah pensyarah di United Kingdom mendakwa, lebih baik memberi syarahan kepada dinding daripada memberi syarahan kepada penuntut Malaysia kerana dinding dapat memantulkan balik suaranya. Rasa kurang berani kedepan, kurang berani untuk bertanya, kurang berani memberi pendapat dan buah fikiran ini, sebenarnya sedikit sebanyak ia adalah berpunca dari cara kita menerima pendidikan di peringkat rendah. Cara yang mana guru sahaja bercakap dan murid diam adalah cara pendidikan yang dianggap betul di sini. Oleh itu sudah sampai masanya sistem pendidikan kita berubah kepada sistem pendidikan yang dapat menghasilkan manusia yang mampu berfikir, bukan setakat menghafal sahaja dan manusia yang mampu mencipta, bukan setakat mengguna sahaja.