Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, March 10, 2010

Kenapa saya memilih ke Program SPACE (UTM)


BAGI membantu UTM mendapat pengiktirafan sebagai research university (RU), universiti kita harus mempunyai peratusan bilangan pensyarah yang mempunyai kelulusan PhD yang tinggi.

Oleh itu pihak pentadbiran universiti telah mengambil langkah wajar dengan cara ‘memindahkan’ pensyarah-pensyarah lamanya yang tidak memiliki kelayakan PhD ke Program SPACE supaya dengan ketiadaan mereka itu, angka peratusan tenaga pengajarnya yang ada PhD akan menjadi tinggi.

Pensyarah-pensyarah lama yang telah berumur melebihi umur 45 tahun ini telah dikenalpasti tidak berminat dan tidak aktif dalam penyelidikan, sebaliknya mereka lebih berminat kepada dunia pengajaran sahaja. Oleh itu amat sesuai jika mereka ini dipindahkan ke Program SPACE yang terasnya hanya menumpukan kepada pengajaran untuk program diploma dan sarjana muda.

Saya adalah salah seorang tenaga pengajar yang termasuk dalam kumpulan pensyarah lama ini. Saya mula bertugas di UTM pada tahun 1983 sebaik sahaja lulus dari program sarjana muda di UTM sendiri. Di waktu itu program utama UTM adalah program diploma, bilangan pelajar diploma jauh lebih ramai dari pelajar sarjana muda.

Di masa saya itu, hanya ada satu kelas (seksyen) untuk sarjana muda elektrik yang bilangan pelajarnya tidak sampai pun 60 orang. Jumlah tenaga pengajar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik ketika itu pun tidak ramai, tidak sampai pun 30 orang. Tumpuan UTM ketika itu memang sepenuhnya kepada pengajaran, malah keperluan untuk mendapatkan pensyarah yang memiliki PhD hampir tidak ada di waktu itu.

Saya berminat untuk bertugas di UTM pun adalah atas dasar sebab minat untuk kerja mengajar. Ketika itu tidak ada dalam fikiran saya untuk terlibat dengan dunia penyelidikan. Ramai rakan-rakan saya menolak tawaran dari bertugas di UTM kerana mereka tidak berminat untuk mengajar dan terpikat dengan tawaran dan peluang kerjaya yang lebih hebat di luar universiti.

Pada sekitar tahun 80 an, universiti tempatan memang sukar untuk mendapatkan pelajar-pelajar kelas pertama untuk menjadi tenaga pengajarnya. Pelajar yang terbaik dan kelas pertama ini sering dilamar dan mendapat tawaran gaji yang tinggi di syarikat kerajaan dan sektor swasta, kalau ada pun yang bertugas di universiti, ini kerana minat dan kepuasan mereka untuk mengajar itu melebihi kehendak mereka kepada gaji yang tinggi.

Akhirnya universiti-universti tempatan hanya mampu mendapatkan kumpulan pelajar yang sederhana pandai dan kurang pandai sahaja untuk menjadi tenaga pengajar mereka.
Tidak boleh dinafikan keupayaan untuk membuat penyelidikan dan menemukan ilmu-ilmu baru memerlukan otak yang bergeliga dan pintar.

Bukan maksud saya hendak merendahkan sesiapa, setakat manalah kehebatan penyelidikan yang mampu dilakukan oleh orang yang tidak lulus SPM. Kebijaksanaan, kepintaran otak adalah anugerah Tuhan yang tidak boleh dipelajari, kita harus terima hakikat ini. Kelunakan suara penyanyi Siti Nurhaliza dan Mawi bukanlah suatu yang boleh dipelajari walupun kita semua boleh memasuki kelas vocal.

Untuk menjadikan universiti kita sebagai research university yang cemerlang, kita tidak ada pilihan, melainkan mesti mengambil pelajar-pelajar kelas pertama, yang luar biasa pintar dan bijaksananya bagi berkhidmat dan menyumbang tenaga di universiti ini.

Untuk menggarap ilmu baru, menemukan ilmu baru dan membuat penyelidikan dalam bidang-bidang baru, kita perlukan orang-orang yang luar biasa dari segi kemampuan otaknya sebagai pra syarat utama. Kemudian barulah infrastruktur dan kemudahan yang lain.

Kita boleh mengajarkan ilmu kepada siapa saja yang berminat untuk belajar, tetapi tidak ada guru yang boleh mengajarkan kebijaksanaan. Kebijaksaan itu adalah anugerah Tuhan kepada siapa yang dikehendakiNya.

Akhir Tahun 80 an kita telah menghadapi kemelesetan ekonomi, kerajaan mula mengurangkan bilangan pelajar yang dihantar keluar negara. Sebaliknya bilangan pengambilan pelajar di universiti tempatan ditambah dengan banyaknya. Bilangan universiti tempatan juga turut ditambah.

Sekarang ini lepasan pelajar peringkat ijazah begitu ramai sehingga tidaklah mudah untuk memilih kerja. Universiti-universiti tempatan pun sekarang telah boleh memilih pelajar-pelajar terbaik dan kelas pertama sahaja untuk menjadi tenaga pengajarnya.

Ini adalah merupakan suasana yang baik untuk universiti kita untuk menuju tahap universiti cemerlang, kelas dunia di masa-masa depan. Tenaga-tenaga pengajar yang luar biasa pintar ini bakal menjadi professor-professor tersohor di masa depan, setanding dengan professor di negara-negara maju.

Kita tidak mahu setiap kali ada bangunan runtuh, jalan runtuh atau tanah runtuh, setiap kali itu juga Samy Velu akan ditemu bual bagi mengetahui sebab-sebab musibah itu. Sebaliknya dimasa-masa depan kita mahu ada professor dari universiti yang akan ditemubual bagi menerangkan bagaimana secara saintifiknya bagaimana keruntuhan itu boleh berlaku. Ini hanya boleh berlaku kalau professor kita lebih bijak dan tersohor dari Samy Velu.

Peluang yang diberikan oleh UTM untuk berpindah ke Program SPACE ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Saya mengambil tawaran ini sebagai perkara yang positif. Hala tuju universiti kita telah jauh berubah berbanding 20 tahun lalu, kita bergerak ke arah research university, sedangkan saya tidak dapat lagi menyesuaikan diri dengan suasana baru ini.

Universiti telah menyediakan jalan keluar bagi pensyarah-pensyarah lama seperti saya ini. Saya rasakan ini adalah jalan keluar yang terbaik setakat ini.

Saya merasakan saya tidak mampu mempamirkan prestasi atau perform seperti yang dikehendaki oleh universiti dalam mencapai research university, oleh itu tidak ada salahnya kalau saya menyahut seruan universiti untuk saya berpindah ke Program SPACE.

Sekalipun dari segi undang-undangnya, UTM tidak ada hak untuk mengarahkan saya untuk berpindah ke Program SPACE, tetapi dari segi moralnya memang wajar untuk saya berpindah, kerana dengan perpindahan itu akan dapat membantu UTM untuk mencapai research university, tanpa menjejaskan tugas saya untuk terus mengajar.

Kalau kita sendiri sudah tidak dapat membantu memberi sumbangan dalam menjayakan UTM untuk mencapai research university, sekurang-kurangnya pengorbanan kita untuk berpindah ke SPACE itu juga akan dapat membantu walaupun sedikit.

Selama ini pun saya merasakan diri saya tidak dapat memberi sumbangan yang banyak kepada UTM kerana kemampuan dan kebolehan saya yang terbatas.

Atas sebab itu jugalah saya memilih untuk bersara pada umur 55 dan tidak melanjutkan kepada umur 58. Lebih cepat saya bersara adalah lebih baik kerana akan dapat diganti dengan tenaga baru yang lebih berkemampuan untuk membawa universiti kearah yang lebih gemilang.

3 comments:

Anonymous said...

1.Molek sungoh ye cara UTM menunjukkan rasa terima kasih buat staf dia yang tue tue yg dah berbakti lama mengeluarkan pelajar2 dari kelas pertama samapai 3? Para cendekiawan/pentadbir UTM kreatif sungoh sampai ikut cara si Tanggang buat kat mak nya (x bole guna kreatif krn dah dbuat si tnggang)
2. X cukup lagi ke hukuman yg dkenakan selama ni- gaji pun dah bertahun tak naik?

Anonymous said...

Hi anonymous- how can u b so naive-u've been at d university for 10,15, 20 years? U still didn't get it? IT IS ALL ABOUT ME, ME & ME- D RU STATUS DOES x ONLY BRING THM RECOGNITION BUT MONEY,MONEY, MONEY!U SHD HAVE LEFT A LONG,LONG TIME AGO IF U SEE THIS COMING...rIGHT, go bring in more slogan,inspiring creativity my foot...wake up n LEAVE- "some one insignificant"

Anonymous said...

Menjadi RU bermakna menghabiskan duit rakyat...

Seolah2 menjadi RU jadi paksaan? Bukan sebagai suatu yg natural bila negara penuh dgn rakyat yg mencintai ilmu.

Kita ambil pensyarah asing & pelajar asing untuk buat research kita?

Kita hebat bila kita hamburkan DUIT kepada mereka. Bila mereka balik, apa jadi kpd kita?

Tapi jelas yg rugi ialah pelajar local di KURANGKAN.

Mari kita menangis krn polisi ini di buat oleh kita juga...

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com