Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, March 30, 2010

Dakwaan palsu oleh pengeluar alat penjimat tenaga elektrik

Mungkin anda pernah didatangi oleh jurujual alat penjimat tenaga elektrik (electric energy saver device) yang cuba mempengaruhi anda dengan dakwaan alat yang mereka jual boleh membantu menjimatkan bil elektrik sehingga 30 peratus.

Sebenarnya dakwaan mereka itu tidak pernah pun disahkan oleh mana-mana badan yang berautoriti, kalau ada pun mungkin pengesahan oleh Sirim yang hanya memperakukan alat itu selamat untuk digunakan.

Tenaga elektrik disalurkan kepada perkakasan elekrik di dalam rumah kita seperti lampu, kipas, peti sejuk, mesin basuh, periuk elektrik dan sebagainya, adalah melalui dawai-dawai elektrik.

Dawai-dawai elekrik ini dibuat dari bahan tembaga yang disalut dengan penebat. Setiap talian dawai ini mempunyai sedikit rintangan yang akan menyebabkan sedikit kehilangan tenaga elektrik apabila arus elektrik mengalir melaluinya.

Nilai rintangan dawai elektrik ini bergantung kepada saiz luas keratan rentas dawai dan panjang dawai tersebut. Untuk rumah-rumah, biasanya menggunakan dawai bersaiz luas keratan rentas 1.5 mm persegi untuk lampu dan 2.5 mm persegi untuk soket (plug).

Lagi panjang dawai yang kita gunakan, lagi tinggilah nilai rintangannya, dan lagi banyaklah tenaga elektrik yang akan hilang pada dawai tersebut.

Kehilangan kuasa elektrik pada dawai ini memang tidak boleh dihilangkan kerana tidak mungkin kita dapat menghilangkan rintangan elektrik yang wujud secara semulajadi pada setiap bahan pengalir elektrik. Kita hanya boleh mengurangkan kehilangan tenaga atau kuasa elektrik pada dawai ini dengan cara menggunakan saiz dawai yang lebih kasar (besar) atau menggunakan jarak dawai sependek yang mungkin.

Tetapi kedua-dua faktor ini mempunyai kekangan yang tersendiri. Sebagai contoh, tidak mungkin semua perkakas elektrik di rumah kita mesti terletak berhampiran dengan meter kw-j bagi mendapatkan jarak penyambungan dawai yang pendek.

Selain dari itu, satu lagi cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai elektrik ialah dengan meningkatkan nilai ‘faktor kuasa’ perkakasan elektrik di rumah kita. Selalunya inilah ‘hujah’ yang biasa digunakan oleh jurujual-jurujual alat penjimat tenaga elektrik ini untuk melariskan jualannya.

Apakah faktor kuasa? Apakah kesannya kepada bil elektrik di rumah kita?

Setengah-setengah perkakas elektrik di rumah kita menggunakan elektromagnet untuk berfungsi, seperti motor pada kipas angin, ballast pada lampu fluorescence (selalu kita sebut lampu panjang atau kalimantang), motor pada mesin basuh dan motor pada peti sejuk.

Elektromagnet pada perkakasan elektrik tersebut akan menyebabkan lebihan arus elektrik diperlukan bagi digunakan untuk menghasilkan magnet. Oleh itu arus yang mengalir dalam dawai menjadi lebih tinggi berbanding dengan kuasa sebenar yang digunakan oleh perkakasan tersebut.

Sebagai contoh, kalau faktor kuasa lampu panjang bernilai serendah 0.5, ini bermakna arus elektrik yang mengalir dalam dawai adalah dua kali ganda dari yang diperlukan oleh lampu itu.

Dengan menggunakan alat-alat tertentu, faktor kuasa ini boleh dibaiki atau ditingkatkan menjadi 0.9, malah hingga ke nilai satu pun boleh. Apabila faktor kuasa lampu tadi mencapai nilai satu, ini bermakna arus yang mengalir dalam dawai sekadar cukup membekalkan kuasa yang digunakan oleh lampu itu sahaja tanpa ada lebihan arus. Secara teorinya perkara ini adalah betul dan boleh dilakukan.

Tetapi kita kena ingat, bukan semua perkakas elektrik di rumah kita mempunyai faktor kuasa rendah atau mempunyai elektromagnet untuk beroperasi. Sebagai contoh, periuk elektrik, cerek elektrik, seterika dan oven elektrik, adalah perkakasan elektrik yang berkuasa tinggi dan mempunyai faktor kuasa bernilai satu. Oleh itu untuk perkakasan elektrik seperti itu, tidak ada cara kita dapat lakukan mengurangkan arus elektrik yang mengalir melalui dawainya dengan cara mengubahsuai faktor kuasanya.

Yang boleh kita gunakan secara berkesan untuk mengurangkan arus elektrik yang mengalir dalam dawai menggunakan kaedah peningkatan faktor kuasa ini, hanyalah kepada lampu-lampu panjang, kipas, mesin basuh, penyaman udara dan peti sejuk.

Katakan kita ambil satu keadaan yang paling ekstrim (the worst case); untuk satu talian dawai yang menghubungkan 10 buah lampu panjang yang berkuasa 40 watt setiap satu, yang jaraknya antara satu sama lain adalah 10 meter dan fator kuasanya 0.5, didapati kehilangan kuasa elektrik pada dawai itu adalah tidak sampai 3 peratus.

Lampu adalah perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa yang bernilai rendah, selain dari kipas angin, lampu juga adalah antara perkakasan elektrik yang lama penggunaannya dalam sehari. Oleh itu sangat sesuai kalau kita ambil lampu sebagai contoh kajian kita di sini.

Kalau kita menggunakan alat penjimat tenaga elektrik yang boleh membaiki faktor kuasa lampu kepada satu, kita dapat mengurangkan arus yang mengalir dalam dawai kepada hampir separuh dan dapat mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai sebanyak 75%.

Memang bunyinya besar, 75%. Hakikatnya 75% daripada kuasa yang hilang pada dawai. Sedangkan kuasa yang hilang pada dawai tidak pun sampai 3% dari seluruh jumlah kuasa yang digunakan oleh perkakasan elektrik dirumah kita.

Ini bermakna dengan menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, paling bagus pun ia hanya boleh mengurangkan kehilangan kuasa pada dawai elektrik sebanyak 2.25% (75% dari 3%) daripada jumlah penggunaan kuasa elektrik di rumah kita.

Katakan kita menggunakan 300 unit tenaga elektrik setiap bulan yang harga bil elektriknya sebanyak RM90.00 sebulan (andaikan harga 30 sen untuk satu unit tenaga). Maka jumlah tenaga yang dapat dijimatkan oleh alat penjimat tenaga elektrik yang paling bagus ialah 8.25 unit (2.75% dari 300 unit). Oleh itu jumlah bil yang dapat dijimatkan pula sekitar RM2.50 sebulan.

Semua kiraan di atas adalah berdasarkan kes yang terburuk (the worst case), untuk keadaan yang sebenar, harga bil yang dapat dijimatkan mungkin lebih kecil lagi. Sedangkan jurujual yang menjual alat penjimat tenaga ini mendakwa alat tersebut boleh menjimatkan bil elektrik anda hingga 30%, bermakna bil RM90 sebulan akan turun menjadi RM63 sebulan. Dakwaan jurujual ini adalah mustahil boleh berlaku.

Palsu

Malah ada setengah pengguna mendakwa bil elektrik mereka bukan saja tidak berkurang tetapi sebaliknya meningkat bila menggunakan alat penjimat tenaga ini. Adalah tidak mustahil alat penjimat tenaga ini boleh bertindak sebaliknya.

Umpama seperti hendak menutralkan cairan yang bersifat alkali, kita perlu menambah sejumlah asid kepada cairan tadi. Tetapi kalau kita tambahkan asid kepada cairan yang sudah pun nutral sifatnya, ini akan menjadikan cairan nutral tadi bersifat asid.

Begitulah juga kalau kita memasang alat penjimat tenaga ini kepada perkakasan elektrik yang asalnya mempunyai faktor kuasa satu seperti periuk, cerek dan seterika, ia akan menyebabkan faktor kuasa perkakas tersebut menjadi kurang dari satu, dan sudah tentu arus elektrik yang mengalir dalam dawai bertambah dari yang sepatutnya.

Oleh itu tidak hairanlah kalau alat penjimat tenaga ini boleh juga menyebabkan bertambahnya kehilangan kuasa pada dawai jika ia dipasang pada perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa satu.

Tetapi kalau ada juga pengguna yang mendakwa penggunaan tenaga elektrik di rumah mereka kurang 20% sejak menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, bagaimana ini boleh terjadi?
Seperti yang telah saya terangkan tadi, secara teorinya tidak mungkin alat penjimat tenaga elektrik ini dapat menjimatkan tenaga lebih dari 3%.

Tetapi kalau ada yang membuktikan ia boleh jimat sampai 20%, kemungkinan alat penjimat tenaga tersebut melakukannya dengan cara menyusutkan voltan yang dihubungkan ke perkakasan elektrik di rumah kita.

Sebagai contoh, kalau kita menggunakan lampu suluh (torch light) yang mendapat bekalan 4 buah bateri, setiap bateri berkadar 1.5 volt, jadi jumlah voltah keseluruhannya ialah 6 volt. Kalau kita gunakan 3 buah bateri sahaja, jumlah voltannya kurang menjadi 4.5 volt. Walaupun jumlah voltan berkurang tetapi lampu suluh itu masih menyala, yang berbeza hanya kecerahan cahaya sahaja. Dengan voltan 4.5 volt, cahaya lampu menjadi kurang cerah berbanding voltan 6 volt.

Begitulah juga kalau alat penjimat tenaga elektrik yang dijual ini telah berfungsi sebagai penyusut voltan, ia akan menyebabkan kuasa operasi lampu, kipas, mesin basuh, seterika dan perkakasan elektrik di rumah kita tidak berada pada tahap kuasa penuh.

Kalau sebuah lampu berkuasa 32 watt, kalau dikurangkan kepada 26 watt sekalipun dengan menyusutkan sedikit voltan yang dihubungkan kepadanya, masih sukar untuk mata kita mengesan pengurangan kuasa ini.

Ini bukanlah cara penjimatan kuasa yang sebenar yang kita mahukan, sebaliknya ia lebih tepat dinamakan alat pengurang kuasa.

Apabila hari-hari kita makan dua pinggan nasi, kemudian kita kurangkan kepada satu pinggan nasi sahaja, sudah tentu perbelanjaan kita akan berkurang, tetapi apakah satu pinggan itu dapat memenuhi keperluan kita sebenar. Ini bukan penjimatan tetapi pengurangan.

17 comments:

Sesudah Subuh said...

Salam, perkongsian berguna..mohon kebenaran link blog encik ke blog saya..tq

Hulu Kerut said...

Salam ziarah, saya diperkenalkan blog tuan oleh Saudara Sesudah Subuh. Mohon kebenaran 'copy' artikal ini untuk blog peribadi saya.

Hulu Kerut

Azuan wan said...

akm...

W:IV

kalau voltan di kurangkan maka Arus akan naik..untuk kuasa yang sama, maka ketahanan peralatan elektrik dan juga kabel akan berkurangan...
selain itu bila arus tinggi kita juga perlu meningkatkan saiz kabel..kalau lampu guna 1.5mm kita mungkin kena guna 2.5mm..

Elektrik boleh di jimatkan sekiranya anda sanggup hidup dalam gelap

Unknown said...

Tak berapa betul tu dik. Mengikut Hukum Ohm, arus elektrik berkadar terus dengan nilai voltan. Selalunya galangan (rintangan) sesebuah perkakas elektrik adalah tetap (constant). Oleh itu bila voltan diturunkan, arus elektrik juga akan turut berkurang.

Fikri said...

Salam abg alias, mohon berkongsi pendapat, saya rasa apa yg dikatakan oleh budak kg itu ada benarnya kerana ia merujuk kepada penggunaan kuasa (Watt). P=IV. Arus,I akan naik sekiranya voltan,V diturunkan (setelah faktor kuasa diabaikan). Abg alias merujuk kepada Rintangan di dalam Hukum Ohm dimana V=IR. Voltan,V berkadar langsung dengan arus,I sekiranya rintangan,R adalah tetap. Di dalam sesuatu litar dimana kuasa,P dan rintangan,R adalah tetap, voltan,V dan arus,I akan menjadi pembolehubah. Sekiranya voltan dikurangkan, arus akan naik, begitulah sebaliknya. Tetapi sekiranya nilai voltan,V dan rintangan,R pula yang tetap dalam sesuatu litar, maka kuasa,P adalah berkadar terus dengan nilai arus,I yg dibekalkan. (P=VI / P=I2R / P=V2/R). Mohon pandangan dari Abg Alias :)

Unknown said...

Terima kasih kerana berminat dengan ilmu elektrik. Setiap barangan elektrik memang ada kuasa kadarannya (power rating), contoh macam mentol lampu, ada 100 watt, ada 60 watt dan sebagainya. Tetapi kuasa kadaran ini hanya boleh dicapai jika mentol tersebut dibekalan dengan voltan kadarannya (rated voltage).

Maksudnya, kalau voltan yang dibekalkan kurang dari rated voltage mentol, maka kuasa yang dikeluarkan oleh mentol tidak akan mencapai kuasa kadarannya (power rating).

Sebagai contoh, ambil satu mentol lampu suluh. Kemudian cuba sambungkan kepada dua bateri yang berbeza voltan, bateri 9 Volt dan bateri 6 Volt. Mesti kita akan nampak perbezaan kecerahan cahayanya.

Anonymous said...

bilik tamu saya lampu kdg kelip kelip dan kipas berhampiran pula terasa kdg kuat kdg lemah..adakah ianya berkaitan?

Unknown said...

Oh kalau pasal lampu bilik berkelip kelip tu .awak disarankan memanggil bomoh untuk menghalau hantu yg main switch lampu awak tu .

platinumzasia(at)gmail(dot)com said...

Saya kurang setuju dengan tema "dakwaan palsu" ini kerana saya sendiri telah menggunakan alat penjimat elektrik ini sejak +/- 5/6 tahun yg lalu (kurang ingat) dan memang ia berkesan.
Saya memasang 2 buah alat ini di premis perniagaan saya dimana selain drpd mesin basuh, mesin pengering pakaian, TV, lampu2 yg banyak, ada 10 buah aircond dan 10 buah water heater yg dipakai. Sebelum memasang alat penjimat ini bil saya mencecah +/- RM1,000.00 per bulan tetapi setelah menggunakan alat ini bil berkurang menjadi +/- RM700.00 per bulan. Saya juga memakai alat penjimat ini di rumah. Saya tidak begitu faham teknikal bagaimana alat ini berfungsi cuma saya tahu ia berkesan kerana saya sudah menggunakan sendiri dan saya rasa ia sangat berbaloi. Kemungkinan alat ini tidak berkesan adalah disebabkan oleh cara penggunaan yang tidak betul.
Sekadar berkongsi, terima kasih.

amieyz said...

Pada pandangan dan pengatahuan saya, alat jimat elektrik ni membantu membetulkan faktor kuasa seperti yang dinayatakan.
.
Hakikatnya pada asas penjimatan elektrik adalah faktor kepenggunaan barangan elektrik serentak pada suatu-suatu masa dan yang digunakan secara berterusan.
.
Perlu buat "case study" juga kekerapan pengguna menggunakan barangan elektrik secara serentak dan digunakan sepanjang masa untuk memilih kapasitor yang sesuai digunakan bagi membaiki faktor kuasa.
.
Banyak alat elektrik di pasaran mereka sekurang-kurangnya 3 jenis produk dimana litar yang dibina mempunyai perbezaan sambungan kapasiti kapasitor tersebut.

Hal ini kebiasaannya penjual membuat pengelasan terhadap 3 jenis produk tersebut berdasarkan bil elektrik spt contoh rm200 kebawah perlu gunakan produk A, rm200-500 perlu guna produk B dan seterusnya.
.
Saya tidak lihat alat jimat elektrik ni suatu penipuan tetapi mungkin:
-penjual tidak memberi "advice" yang sebenar produj mana yang sesuai or
-pembeli menyangka akan menggunakan produk B misalnya akan lebih menjimatkan bil elekrik mereka sedangkan berkemungkinan mereka perlu menggunakan produk A.
.
Pemilihan penggunaan kapasiti kapasitor yang tidak sesuai dengan penggunaan barangan elektrik di rumah akan menyebabkan keadaan menjadi buruk

amieyz said...

Jika secara teknikalnya
P = VI atau
P = I2R atau
P = V2/R
.
Para penjual membuat demo dengan mengukur aliran arus juga pada pandangan saya tidak salah kerana formula diatas membuktikan dimana apabila arus kurang akan memberi kesan kepada bacaan kuasa untuk menghampiri kadar faktor kuasa yang baik apabila voltan dibekalkan sekata 220-240vac.
.
Faktor kuasa yang baik adalah 1
Purata faktor kuasa yang digunakan adalah 0.85
Tetapi kebanyakkan masa penggunaan elektrik dirumah akan memperolehi faktor kuasa dari 0.4 sehingga 0.65 dimana kadar bacaan faktor kuasa ni menyebabkan arus banyak digunakan seterusnya menyebabkan bil elektrik anda melambung tinggi

adie said...

sebenarnya alat jimat elektrik adalah kapasitor yang berfungsi sebagai perbaiki faktor kuasa kepada nilai yang lebih cekap atau 1. sgt efektif digunakan sekiranya rumah atau premis kedai yang menggunakan banyak peralatan bermotor atau yang mempunyai gegelung kerana alat alat inilah yang selalu menjatuhkan faktor kuasa. jadi bagi penggunaan alat jimat elektrik ini boleh dikatakan berkesan dan bagus.bagi kediaman atau premis yang tidak banyak menggunakan peralatan elektrik seperti yang dinyatakan tadi adalah tidak ketara perbezaan penjimatan yang akan kita lihat. walau bagaimanapun tuan puan jangan salah faham kerana alat jimat elektrik ini sendiri menggunakan tenaga untuk operasi. jadi tidah hairanla sekiranya ada yang mengatakan bil elektrik semakin bertambah dan tidak berkurang. ini terjadi kerana kapasitor di dalam alat jimat elektrik mungkin tidak beroperasi dengan baik dan kegunaannya adalah tidak diperlukan bagi rumah yang kurang kejatuhan power faktor. bagi kejatuhan atau kenaikan voltag juga memang mempengaruhi bagi nilai arus yang akan terhasil. dan kebiasaannya perkakas akan kurang beroperasi dari kemampuannya sekiranya voltag mengalami kekurangan dan begitulah sebaliknya. tetapi ini semua perlu ada tolak campur iaitu voltag tidak boleh kurang dari 5% dan melebihi 10% dari voltag sebenar bagi mengelakan perkakas rumah atau kedai menjadi tidak tahan. arus elektrik juga meningkat disebabkan kecekapan peralatan elektrik itu sendiri. sekiranya barang lama memang akan mengalami kenaikan arus kerana kecekapan telah berkurang dan arus yang lebih diperlukan untuk memberi perkakas tersebut beroparasi seperti sediakala..oleh yang demikian alat jimat elektrik adalah bagus sekiranya digunakan pada yang benar benar diperlukan.sekiranya hendak keputusan yang lagi baik gunalah alat jimat elektrik yang mempunyai sistem iaitu ianya akan beroperasi apabila diperlukan dan tidak akan beroperasi apabila tiada kejatuhan p.f berlaku. dengan cara ini lebih berkesan menggunakannya. tetapi harga bagi alat yang mempunyai sistem ini mahal sedikat..sekadar berkongsi ilmu


Unknown said...

saya sokong statement tuan.. mohon utk kongsi

Unknown said...

saya sokong statement tuan.. mohon utk kongsi

Unknown said...

Nk jimat tutup sume xyah pki tu jer

Anonymous said...

Pakai lilin

Unknown said...

cara paling berkesan adalah jangan undi BN lagi pada PRU akan datang..punca kenaikan segala barang dan kos adalah disebabkan kerajaan pemerintah yang tidak cekap

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com