Dalam permainan malam tadi, sekali lagi saya melihat muka-muka pemain ternama seperti Khalid Jamlus, Indera Putra Mahayuddin dan Shukor Adan beraksi, kali ini mereka mewakili pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan. Sebelum ini kita pernah melihat mereka bermain untuk mewakili pasukan bola negeri-negeri lain.
Itulah persoalan yang hendak saya timbulkan dalam posting untuk blog saya kali ini. Apalah ertinya gelaran juara kepada Negeri Sembilan sedangkan pemain dan kakitangan yang terlibat dengan pasukan itu kebanyakannya mungkin bukan lahir dan dibesarkan di negeri itu sendiri.
Wan Jamak Wan Hassan jurulatih bagi pasukan Negeri Sembilan. Nama yang bermula dari awalan Wan bukanlah satu nama yang biasa ditemui di Negeri Sembilan. Sudah pasti beliau bukan orang Negeri Sembilan.
Walaupun orang-orang Negeri Sembilan begitu teruja dan gembira kerana Negeri Sembilan menjadi juara bola sepak Piala Malaysia setelah 61 tahun mendambakannya, tetapi bagaimana pula dengan perasaan pemain-pemain yang mewakili Negeri Sembilan itu sendiri, terutamanya pemain-pemain yang bukan lahir dan besar di negeri itu.
Kegembiraan kepada mereka itu bukan disebabkan Negeri Sembilan menjadi juara tetapi mereka gembira kerana pasukan yang mereka wakili itu menjadi juara, negeri mana yang mereka wakili bukanlah perkara yang begitu penting.
Dengan kata lain pemain-pemain seperti Khalid Jamlus, Indera Putra dan Shukor Adan ini adalah pemain bola profesional yang bermain untuk diri mereka sendiri, bukan untuk mana-mana negeri.
Kegembiraan orang-orang Negeri Sembilan malam tadi itu tak ubah seperti Pak Kaduk, mereka hanya menang sorak, pemenang yang sebenar ialah pemain-pemain yang bakal meraih berbagai habuan lumayan.
Walaupun saya sudah tinggal di Johor lebih 20 tahun malah melebihi masa saya dibesarkan di Negeri Sembilan, negeri di mana saya dilahirkan, tetapi hingga hari ini saya tidak pernah merasakan saya sebagai orang Johor.
Saya boleh terima diri saya sebagai orang Malaysia tetapi tidak sebagai orang Johor. Dalam hal ini ianya menyentuh soal hati dan perasaan kita, mungkin orang lain juga berperasaan seperti saya juga.
Begitu jugalah dengan pemain-pemain bola sepak tadi, mereka mungkin tidak pernah dilahirkan dan dibesarkan di negeri-negeri yang mereka wakili. Mereka hanya menggunakan kemudahan dan mendapat faedah dari kerajaan negeri yang mereka wakili.
Orang Cina dan orang India yang dilahirkan di Malaysia juga mempunyai perasaan seperti itu juga. Mereka lahir dan dibesarkan di Malaysia. Tentu mereka tidak boleh terima diri mereka sebagai orang Negara China atau orang Negara India. Mereka juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Negara Malaysia seperti kita orang Melayu yang dilahirkan dan dibesarkan di sini.
Kalau saya sendiri pun tidak boleh terima diri saya sebagai orang Johor, apa lagilah kalau untuk menerima diri saya sebagai orang Negara Indonesia, negara yang asing bagi saya walaupun serumpun.
Perasaan dan kecintaan kita terhadap tanah air, tanah darah tumpah kita ini adalah sama sahaja, tidak kiralah mereka itu Melayu, Cina atau India.
Yang selalu menimbulkan masalah kita sekarang ialah kerana ada tembok-tembok perkauman yang telah mengasingkan masyarakat kita mengikut kaum.
Tindak tanduk kita banyak menyumbang kearah melebarkan jurang polarisasi kaum, sebaliknya usaha untuk memecahkan tembok-tembok perkauman ini terus ditentang oleh kita sendiri.
Akhirnya kita banyak membuang masa dan tenaga untuk terus bersaing antara kaum, menumpukan survival kaum sendiri berbanding survival rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Dari kecil kita disekolahkan atau dididik untuk berasa curiga dengan kaum-kaum lain. Kaum-kaum lain yang sepatutnya menjadi kawan kita telah dilayan sebagai ‘musuh’ kita.
Sampai bilakah semua kita harus mengekalkan sikap seperti ini? Kita sebenarnya telah menyediakan satu bom jangka yang satu masa nanti akan meletup juga. Bila telah meletup, tidak ada siapa yang dapat faedah darinya, menang jadi arang kalah jadi abu.
1 comment:
Kelantan vs Negeri Sembilan, akhirnya captain orang batu pahat yang julang piala
Post a Comment