Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, September 09, 2009

Kearah mana pendulum politik Malaysia berayun sekarang?

Semasa pilihanraya kecil (PRK)di Permatang Pasir, Ahmad Maslan agak rabun dalam melihat kearah mana ayunan pendulum politik Malaysia sedang bergerak, hingga batang hidungnya sendiri penyek dilanggar pendulum tersebut.

Sekarang kita sedang berada hendak menghadapi PRK di Bagan Pinang Negeri Sembilan pula. Pilihanraya kecil Bagan Pinang ini adalah PRK yang ke 9 sejak pilihanraya umum 2008 lalu. Kita telah menyaksikan semua calon UMNO telah kalah dalam semua PRK yang disertainya sebelum ini.

Apakah PRK Bagan Pinang ini akan menjadi penutup kepada semua kekalahan PRK yang dilalui oleh UMNO? Apakah PRK Bagan Pinang ini akan menjadi tanda pendulum politik Malaysia telah berpatah balik kepada UMNO.

Peluang untuk UMNO menang dalam PRK Bagan Pinang memang sukar untuk ditolak. Di Bagan Pinang, UMNO adalah pihak yang mempertahankan kemenangan. Di pilihanraya sebelum ini, UMNO mendapat majoriti lebih 2000 undi, satu jumlah yang amat besar.

Rasanya tidaklah sukar untuk UMNO memenangi PRK Bagan Pinang ini. Tambahan pula UMNO mempunyai kelebihan untuk memanipulasi undi pos yang terdapat di kawasan itu yang jumlahnya sekitar 4000 undi itu. Ketelusan undi pos memang boleh dipertikaikan dan selalunya undi pos menjadi undi bonus kepada UMNO.

Kemenangan di Bagan Pinang sangat penting kepada UMNO. Kemenangan di Bagan Pinang tentu akan memberi suntikan semangat baru kepada ahli-ahli UMNO seluruh Malaysia yang telah ditimpa nasib malang dalam semua PRK sebelum ini.

Kemenangan di Bagan Pinang juga akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap parti UMNO semula.

Calon yang ada integriti dan kredibiliti mesti menjadi pilihan utama kepada UMNO kalau mereka mahu menang dalam pertandingan ini.

Ada ura-ura ahli UMNO ingin mencadangkan Isa Samad bekas MB Negeri Sembilan sebagai calon UMNO di Bagan Pinang. Tetapi semua orang tahu Isa Samad pernah diambil tindakan disiplin atas kesalahan politik wang. Kita hairan bagaimana orang yang pernah dan jelas melakukan kesalahan besar ini boleh dicadangkan menjadi calon PRK yang sangat penting ini.

Kita sekarang berada di zaman internet, walau sekecil mana pun kesalahan seseorang akan dapat ditelanjangkan, apalagi kalau sebesar bangkai gajah.

Di pihak PR juga tentu ingin sangat dengan kemenangan di PRK Bagan Pinang ini. Pihak PR mahu pendulum politik Malaysia terus berayun kearah mereka sehinggalah ke pilihanraya umum ke 13 nanti.

Kemenangan PR di PRK Bagan Pinang akan menjadi sebagai isyarat kepada mereka, bermakna mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menambah penguasaan politik ke atas Negeri Sembilan pula pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Kalau pendulum politik Malaysia masih berayun kepada PR, ada kemungkinan sekurang-kurangnya kerajaan Negeri Sembilan dan Terengganu sudah dapat diramal akan berada di bawah penguasaan politik mereka pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Pihak manakah yang benar-benar dapat menguasai PRK Bagan Pinang ini akan menarik perhatian semua. Ia adalah PRK yang sangat penting yang akan dikuti oleh seluruh rakyat Malaysia dengan penuh debar.

Langkah dan strategi diatur begitu rapi, tersilap langkah meranalah diri.

1 comment:

baei said...

BN perlu memang dalam pilihanraya kecil ini demi maruah UMNO. Jadi, mereka akan berusaha sedaya upaya ke arah itu. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, calon PAS menang walaupun satu undi, ini adalah isyarat awal bahawa hayat UMNO dan BN sudah semakin pupus.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com