DI ATAS adalah gambar Flat Jalan Pekeliling. Flat ini merupakan flat kos rendah yang boleh dikatakan antara yang terawal dibina di bandar Kuala Lumpur selepas Negara kita merdeka. Dikatakan dibina pada sekitar tahun 1967.
Atas sebab-sebab tertentu Flat Jalan Pekeliling ini bakal dirobohkan dan akan diganti dengan bangunan yang dapat memberi pulangan komersial yang tinggi kerana letaknya di kawasan strategik di dalam bandaraya Kuala Lumpur.
Saya tertarik dengan rekabentuk bangunan Flat Jalan Pekeliling ini kerana penampilannya yang sentiasa sesuai dengan perubahan masa. Walupun telah tegak lebih 40 tahun, dengan disekelilingnya telah dipenuhi dengan bangunan rekabentuk yang moden tetapi Flat Jalan Pekeliling ini sentiasa kelihatan tidak asing dan sentiasa secucuk dengan bangunan-bangunan lain itu.
Hanyalah kain baju disidai oleh penghuni-penghuni yang selalu mencacatkan imej pemandangan Flat Jalan Pekeliling ini yang kebetulan terletak menghadap Jalan Tun Abdul Razak, jalan utama ibukota yang sangat sibuk dengan lalu lintas.
Selain dari itu, saya amat mengkagumi Flat Jalan Pekeliling ini kerana flat ini kelihatan seperti mendapat sentuhan kemasan pembinaan yang sangat tinggi kualitinya. Walaupun hanya berbentuk kotak tetapi dinding dan garis lantainya kelihatan begitu lurus yang melambangkan ketelitian dan sikap amalan baik orang-orang yang terlibat dalam pembinaannya.
Inilah antara sebab yang membuatkan rupa bentuk Flat Jalan Pekeliling ini tidak ditelan zaman, sentiasa kelihatan ‘evergreen’ dan tidak ‘out of fashion’.
Ini jauh berbeza dengan bangunan-bangunan tinggi kos rendah yang dibina selepas itu, seperti Flat Sungai Bharu di Kawasan Kampung Baru, Flat Bukit Chagar dan Flat Larkin di Johor Bahru. Kalau kita perhatikan flat-flat ini mempunyai binaan dinding dan garisan lempar yang senget dan herot.
Apabila masa berlalu penampilan seni arkitek bangunan-bangunan ini kelihatan tidak lagi cucuk dengan bangunan-bangunan moden yang tumbuh disekitarnya. Akhirnya bangunan-bangunan ini kelihatan asing dan hodoh kepada persekitaran.
Memang banyak bangunan-bangunan tinggi kos rendah dan sederhana yang dibina masa sekarang ini kelihatan begitu cantik jika dilihat dari jauh tetapi bila kita lihat dari dekat, kita akan nampak kemasan lepaan simen dan susunan batanya yang senget dan herot.
Persepsi Awal
Apabila berjumpa dengan seseorang yang tidak kita kenali, tentulah yang pertama dapat kita lihat ialah rupa paras dan pakaiannya sahaja. Dari rupa paras dan pakaiannya itulah kita akan membuat penilaian awal terhadap seseorang yang baru kita kenali.
Begitu jugalah dengan orang luar yang datang berkunjung ke Negara kita. Pertama kali sampai mereka akan Nampak bangunan-bangunan yang ada dinegara kita. Sudah tentu dari rupa bentuk dan kualiti pembinaan bangunan yang mereka lihat itu, sudah dapat memberi gambaran awal kepada mereka terhadap sikap orang-orang kita rakyat Malaysia.
Dari kualiti binaan yang senget dan herot itu mencerminkan sikap orang kita yang senonim dengan budaya 'cincai', 'tidak apa' dan 'asal boleh'.
Samalah seperti kalau kita berkunjung ke kota London, di sana kita akan nampak banyak bangunan-bangunan yang menggunakan kemasan susunan batu bata. Batu bata itu disusun begitu teliti sehingga menjadi begitu lurus tanpa ada mana-mana sedikit pun yang senget dan herot.
Ini sudah tentu mencerminkan budaya penduduk-penduduk disana yang sangat mementingkan kerja yang teliti dan berkualiti tinggi.
Bagaimana kita hendak menjadi bangsa berjaya dan kelas pertama dunia tanpa ada sikap dan budaya kerja yang mementingkan kualiti, termasuklah bersikap amanah, komited dan berintegriti.
Tandas
Tandas biasanya adalah bahagian rumah yang paling kurang diberi perhatian. Maknanya tandas biasanya adalah bahagian yang paling tidak bersih dalam suatu kawasan bangunan atau rumah.
Tetapi jika penghuni sesebuah bangunan atau rumah mengambil berat tentang kebersihan tandas mereka, tentu ini membawa makna bahagian-bahagian lain bangunan dan rumah itu juga sudah tentu jauh lebih bersih lagi.
Oleh itu dengan hanya melihat dan melawat tandas sesebuah pejabat, organisasi, syarikat atau rumah, kita sudah boleh menilai tabiat dan sikap orang-orang bekerja dan menghuni di premis tersebut.
Kalau kita hendak menjadi rakan kongsi atau mendapat khidmat syarikat-syarikat atau hendak merisik seorang gadis untuk dikahwini, rasanya pun sudah memadai hanya dengan melawat tandas-tandas pejabat atau rumah mereka bagi mengetahui tabiat dan sikap mereka itu.
Kalau tandas pun mereka begitu ambil berat dan kebersihan sentiasa terjaga, apatah lagi dengan perkara-perkara yang lebih besar.
Orang tidak akan mengumpat dan mencaci kita kerana rumah kita buruk, tetapi mereka akan mengata kita kalau rumah kita kotor.
No comments:
Post a Comment