Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, August 05, 2009

Demonstrasi Jalanan Medium Kempen Pembangkang yang Berkesan




SAYA percaya demontrasi jalanan akan terus dimainkan oleh pembangkang dari masa ke semasa kerana ia merupakan senjata yang amat berkesan dalam menarik simpati orang ramai untuk menyokong mereka. Apatah lagi ketika hendak menghadapi pilihanraya.

Ada lebih kurang tiga tahun lagi untuk sampai kepada pilihanraya umum ke 13, untuk sampai kepada tarikh tersebut tentu ada banyak lagi demontrasi jalanan bakal diadakan oleh pembangkang bagi tujuan mengumpul sokongan orang ramai kepada mereka.

Tidak dapat dinafikan antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan teruk prestasi BN dalam pilihanraya umum ke 12 pada tahun 2008 adalah kesan dari demontrasi jalanan yang diadakan oleh kumpulan Hindraf.

Kedudukan Mahathir (Tun)semasa menjadi PM juga tergugat dan populariti beliau terhakis apabila tidak putus-putus diganyang oleh beberapa siri demontrasi jalanan yang dianjurkan oleh pembangkang.

Walaupun demontrasi jalanan yang diadakan tidak pernah mendapat permit polis dan adalah haram dari sudut undang-undang tetapi parti pemerintah masih tidak dapat menghalang ia daripada diadakan.

Secara logiknya demontrasi jalanan ini tidak perlu memohon permit dari polis kerana sampai bila pun mereka tidak akan diberi permit. Seingat kita, bila pula demontrasi jalanan ini pernah diberikan permit kerana kebanyakan demontrasi jalanan itu adalah untuk menunjukkan protes kepada parti yang memerintah.

Kalau ada pun demontrasi jalanan yang diberikan permit mungkin demontrasi jalanan bagi memprotes sikap kejam Israel dan Amerika Syarikat kepada rakyat Palestin.
Apakah betul demontrasi jalanan yang menyebabkan terhakisnya sokongan rakyat kepada parti pemerintah?

Ini adalah tanggapan yang salah. Bukan Negara kita saja berlakunya demontrasi jalanan, tetapi hampir semua Negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan menempuh fenomena ini termasuklah Negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Apakah pemimpin-pemimpin Negara tersebut akan tumbang setiap kali demontrasi jalanan diadakan? Tidak juga.

Boleh dikatakan hari-hari demonstrasi jalanan diadakan di kota-kota besar di Negara-negara maju. Tetapi ini tidak pun menghalang atau mengurangkan orang ramai dari datang ke kota-kota tersebut. Malah orang luar lebih yakin dengan Negara-negara tersebut kerana ia mencerminkan amalan demokrasi di Negara tersebut berjalan dengan baik.

Sebenarnya bukanlah demonstrasi jalanan itu yang patut dihapuskan, kerana semulajadinya demonstrasi jalanan itu memang tidak akan dapat dihalang dari berlaku dalam sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Malah hanya Negara kita sahaja yang ada undang-undang ‘pelik’ yang mengenakan syarat mesti mendapat permit polis untuk mengadakan demonstrasi jalanan.

Kadang-kadang bunyinya macam agak kelakar, memohon permit untuk mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan protes kepada polisi kerajaan dan permit itu pula dipohon dari polis yang jelas dikawal oleh parti yang memerintah. Sampai kiamat pun belum tentu boleh dapat permit.

Tercabar

Apabila permit bagi mengadakan demonstrasi jalanan tidak diluluskan, maka pihak polis sebagai pihak penguatkuasa dan pihak yang diberi kuasa akan mengambil tindakan yang keras termasuklah menyembur gas pemedih mata, memancutkan air dan menangkap sebahagian individu-individu yang mengambil bahagian, bagi tujuan untuk menyuraikan demonstrasi jalanan tersebut.

Tentulah polis akan tercabar bila ada orang yang melanggar undang-undang di depan mata mereka. Kalau tidak diambil tindakan, nanti ada pihak yang akan mempersoalkan kredibiliti polis kenapa tidak diambil tindakan, kerana terang-terang mereka yang berdemonstrasi itu telah tidak mendapat permit dan ini bermakna mereka telah tidak mematuhi undang-undang.

Samalah juga seperti penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar lalu lalang di depan balai polis. Ini seperti sudah mencabar kuasa polis. Lainlah halnya kalau mereka tidak memakai topi keledar semasa menunggang di kawasan kampung yang jarang ada polis mengawal.

Perbuatan engkar memakai topi keledar di depan polis tentulah seperti hendak mencabar kuasa polis, ini tentunya akan memalukan pihak polis kerana seperti tidak berani mengambil tindakan kepada pesalah lalulintas ini.

Memakai topi keledar adalah diwajibkan melalui undang-undang lalulintas, penunggang yang tidak memakai topi keledar adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan saman atau diambil tindakan di makamah.

Kalau memakai topi keledar itu tidak dijadikan undang-undang, tentulah tidak jadi hal kepada polis kalau penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar lalu di depan mereka.

Bukanlah melakukan demonstrasi jalanan itu yang menjadi kesalahan, tetapi yang salahnya di sini ialah mereka mengadakan demonstrasi jalanan itu tanpa mendapat permit polis. Tidak ada permit polis itulah yang salah, manakala pihak polis yang tidak mahu memberi permit itu tidak pernah pula dilihat sebagai satu kesalahan dalam amalan demokrasi.

Kaji semula

Kuasa yang diberikan kepada polis untuk membenarkan atau tidak sesuatu demonstrasi jalanan itu daripada diadakan harus dikaji semula.

Tentu polis tidak akan dimalukan kalau undang-undang kuasa memberi permit untuk demonstrasi ini dimansuhkan. Bila tidak ada lagi undang-undang ‘kelakar’ ini maka polis tidak perlu bersusah payah lagi untuk menyuraikan orang ramai setiap kali demonstrasi jalanan diadakan.

Tidaklah ada lagi polis yang terpaksa bertembung dengan orang awam yang akhirnya akan menjadi mangsa kemarahan orang ramai kepada polis.

Tindakan keras dan ‘kekejaman’ pihak polis ini pastinya akan dijaja disetiap pilihanraya oleh pihak pembangkang yang menggambarkan Malaysia ini seperti Negara polis. Polis DiRaja Malaysia akan mereka kata sebagai Polis beRaja Di Malaysia. Gambar-gambar tindakan keras pihak polis ini tersebar begitu pantas dalam internet dan bakal menjadi kempen percuma untuk pihak pembangkang dalam pilihanraya kecil di Permatang Pasir nanti.

Kalau kita perhatikan liputan media-media di luar Negara, semua berita yang berkaitan demonstrasi jalanan 1 Ogos 2009 di KL lalu, semuanya menumpukan kepada berita kekasaran pihak polis menyuraikan demonstrasi tersebut. Berikut adalah antara link kepada media-media luar Negara yang telah membuat liputan tentang perkara tersebut:


Saya percaya jika pihak polis tidak bertindak secara kasar, mungkin berita demonstrasi jalanan itu tidak akan mendapat liputan meluas dari media luar negeri.

Kuasa polis sepatutnya hanya terbatas untuk memastikan suatu perhimpunan atau demonstrasi itu berjalan dengan lancar, bukan untuk menyuraikan penunjuk-penunjuk perasaan.

Pihak polis hanya diberi kuasa untuk menangkap individu yang melakukan kerosakan kepada harta awam semasa menyertai demonstrasi, selagi demonstrasi itu berlangsung dengan aman, tidak ada sebab pihak polis untuk campur tangan.

Pihak penganjur demonstrasi jalanan hanya perlu memaklumkan kepada pihak polis jika hendak menganjurkan suatu demonstrasi, bukan memohon permit seperti yang ditetapkan oleh undang-undang yang ada sekarang ini.

Hindraf

Masih segar dalam ingatan bagaimana polis telah bertindak kasar kepada peserta-peserta demonstrasi Hindraf di KL suatu masa dulu. Kesan dari kekasaran polis dan sikap negatif Pak Lah terhadap kumpulan Hindraf itu telah membuatkan kaum India menjadi lebih marah. Isu Hindraf yang pada mulanya hanya melibatkan sekumpulan kecil kaum India telah berkembang menjadi isu yang menggambarkan adanya berlaku diskriminasi atau peminggiran kaum, mendapat perhatian meluas dikalangan rakyat bukan Melayu.

Ini semua berpunca dari Pak Lah tidak bertindak secara bijak dalam menangani masalah pendemo jalanan ini. Mereka bukan sahaja dikasari oleh polis tetapi beberapa dari pemimpin mereka telah disumbatkan ke dalam ISA. Sungguh dikesalkan peristiwa itu telah membawa kejatuhan kepada politik Pak Lah sendiri.

Kalaulah ketika itu Pak Lah membiarkan pendemo-pendemo Hindraf ini berdemo, biarkan pemimpin mereka berucap berapi-api, biarkan mereka bertempik dan bersorak. Paling lama pun mereka boleh tahan hanya empat jam, lepas itu mereka akan bersurai dengan sendirinya. Kemudian dijawab semula dengan baik tentang perkara-perkara yang mereka tuntut itu melalui media. Sudah pasti nasib Pak Lah tidak seperti yang kita lihat hari ini.

Tetapi malangnya PM Najib pun tidak banyak belajar dari peristiwa yang telah dialami oleh Pak Lah ini.

1 comment:

VASANTARAO APPALASAMY said...

satu tajuk yang menarik!
namun bagi saya demonstrasi jalanan tidak begitu berkesan dan masuk akal...

cara yang paling baik adalah menerusi undi semasa pilihanraya! ini kerana jika majority menolak kerajaan pemerintah, mereka baru akan sedar bahawa ada yang tidak kena dengan sistem seterusnya mereka akan mengubahnya pada masa yang akan datang...

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com