Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label pilihanraya. Show all posts

Tuesday, May 15, 2018

Pilihanraya Kampus, pengendaliannya mesti ikut amalan demokrasi sebenar.


Semasa saya menulis artikel ini, Negara kita baru sahaja 5 hari berada di bawah kerajaan baru yang diterajui parti Pakatan Harapan. Tentu banyak perubahan akan berlaku di bawah order baru ini yang tentunya kita harapkan perubahan kepada yang lebih baik untuk Negara kita.

Sebagai bekas kakitangan di universiti awam, perubahan utama yang mahu saya lihat ialah pilihanraya pelajar di kampus.

Kepada pembesar-pembesar yang mentadbir universiti terutamanya pegawai-pegawai yang menjaga hal ehwal mahasiswa saya ingin membuat teguran supaya dapat melaksanakan pilihanraya kampus ini dengan telus, bersih, bebas dan adil.

Sesuai sebagai pusat akademik, tempat berlakunya proses belajar dan pembelajaran, mungkin di kampus atau di universiti adalah tempat yang sangat sesuai kalau kita pamirkan amalan demokrasi yang sebenar kepada pelajar. Oleh itu bila mereka keluar dari universiti nanti, kalau pun mereka ingin melibatkan diri dengan politik, mereka telah dilengkapkan untuk menjadi ahli politik yang penuh rasa tanggungjawab, bukan sekadar menjadi ‘beruk-beruk’ politik.

Sejak zaman saya belajar di universiti lagi (tahun 1978) hinggalah sekarang, saya dapat melihat sikap pegawai-pegawai yang mengendali pilihanraya di universiti atau kampus di Negara kita masih tidak banyak berubah.

Mereka kelihatan bersikap berpihak kepada pemimpin pelajar yang menyokong parti pemerintah iaitu BN ketika itu.  Pegawai-pegawai yang tinggi yang diberi tugas menjaga hal ehwal mahasiswa dengan secara sistematik akan memastikan majoriti pemimpin pelajar yang menyokong parti pemerintah sahaja yang akan menang dalam pilihanraya kampus.

Mereka terlalu berkepentingan dan sikap mereka dilihat lebih teruk lagi dari SPR yang mengendalikan pilihanraya Negara kita.

Keputusan pilihanraya kampus telah dijadikan alat propaganda parti yang memerintah. Mereka akan dapat kredit atau keuntungan politik jika banyak kumpulan pemimpin pelajar yang menyokong parti BN menang di kampus. Dengan bangganya mereka akan menghebahkan berita kemenangan besar kumpulan pelajar yang menyokong kerajaan BN di media perdana.

Tetapi kepada mereka yang terlibat dengan pilihanraya kampus universiti ini memang tahu sangat keputusan pilihanraya itu memang telah diatur. Kemenangan itu adalah kemenangan yang palsu. Pertandingan adalah berat sebelah, calun-calun pelajar yang tidak menyokong kerajaan BN didiskriminasi, berbagai permit dan syarat dikenakan bagi menyusahkan mereka.

Pernah di masa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Saifuddin Abdullah menegur kepincangan pilihanraya kampus ini, tetapi akhirnya beliau sendiri kecundang kerana melawan arus.

Moga dengan jatuhnya kerajaan BN dan naiknya kerajaan Pakatan Harapan akan dapat membetulkan pilihanraya kampus ini mengikut lunas-lunas demokrasi yang sebenar.

Suka saya mengingatkan pegawai-pegawai tinggi yang menjaga hal ehwal pelajar di Universiti, dari sekarang mereka harus memahami aspirasi kerajaan baru Pakatan Rakyat yang mahu prinsip demokrasi dipelihara dengan baik, pilihanraya kampus mesti dijalankan dengan telus, bersih, bebas dan adil.

Dengan itu saya menggesa supaya dihidupkan amalan demokrasi yang sebenar di kampus. Beri pelajar kebebasan bersuara dan kebebasan memberi pendapat. Beri ruang yang secukupnya untuk mereka berhujah dan meyerlahkan bakat kepimpinan mereka. Hapuskan permit-permit dan peraturan yang berat sebelah. Pihak pengurusan universiti dan pihak pengendali pilihanraya kampus mestilah sentiasa mempamirkan sikap telus, adil dan bebas.


Monday, March 26, 2012

Kapal dah nak tenggelam, sekarang PM Najib beri rakyat ikan, bukan lagi kail

Nasi dah jadi bubur, sudah tidak boleh buat apa-apa. Begitulah keadaan UMNO sekarang ini, seperti tidak boleh dibaiki lagi. Mungkin UMNO tidak sekadar memerlukan transformasi untuk memperbaiki parti itu, tetapi lebih dari itu, mungkin reformasi lebih sesuai.


Sejak prestasi buruk dalam pilihanraya tahun 2008, UMNO masih belum menampakkan pemulihan sokongan rakyat kepada parti itu walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh pucuk pimpinannya.

Pendek kata, UMNO bukan setakat sakit demam tetapi telah ditimpa penyakit barah yang tidak boleh diubati, hanya menunggu ajal saja. Sekarang sudah masuk tahun ke empat penggal pilihanraya, dengan kata lain sudah memasuki pusingan terakhir. Tahun 2012 ini adalah tahun yang amat kritikal sebelum pilihanraya diadakan menjelang Mac 2013 nanti.

PM Najib sendiri telah membuat pengakuan dalam satu majlis di PD baru-baru ini, akan ada lebih banyak lagi pengumuman yang menguntungkan rakyat bakal akan diumumkan oleh beliau menjelang pilihanraya akan datang ini. PM Najib memang seorang PM yang suka membuat pengumuman. Buat masa ini beliau memang sinonim dengan gelaran Bapa Pengumuman.

Di pusingan akhir ini PM Najib banyak memberi hadiah kepada rakyat dalam bentuk ‘ikan’, bukan lagi berbentuk ‘kail’ seperti tahun-tahun sebelum ini. Ibarat menghadapi peperangan, politik mesti ada strategi dan perkiraan.

Bermula dengan duit bantuan RM100 untuk setiap pelajar sekolah, diikuti bantuan R500 untuk setiap keluarga berpendapat rendah, kenaikan gaji penjawat awam bermula Januari 2012, penghapusan dan pengurangan bayaran tol di beberapa lebuhraya.

PM Najib nampak betul-betul bermurah hati kepada rakyat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh PM-PM yang lain sebelum ini.

Mungkin juga PM Najib sendiri tidak yakin UMNO dan BN boleh menang pada pilihanraya tahun 2013 nanti. Dengan itu beliau ‘memperjudikan’ wang simpanan Negara yang ada. Beliau seperti sudah nekad, kalau menang dalam pilihanraya nanti, alhamdulilah dan kalau kalah, beliau tidak akan berputih mata. Tidak berputih mata kerana semua wang simpanan Negara telah kering kerana telah ‘ditabur’ kepada rakyat, dan tidak berputih mata juga kerana parti pembangkang mengambil alih kerajaan dengan tabung Negara yang kosong.

Kerana tidak yakin boleh menang, ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO mengambil peluang dari sisa-sisa nyawa UMNO yang ada ini untuk membuat kekayaan. Banyaklah projek-projek mereka rembat untuk membuat keuntungan dan komisyen atas angin.

Kalau rakyat biasa diberi RM500 sekeluarga, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO pula mungkin mendapat lebih dari RM5 juta setiap orang hasil keuntungan yang diperolehi dari bisnes dan projek yang menggunakan kedudukan mereka. Kalau tidak percaya, cubalah periksa nilai harta-harta yang dimiliki oleh mereka itu. Nazri Aziz sendiri pun takut untuk mengistiharkan jumlah hartanya atas alasan takut akan dirompak. Betulkah beliau takut dirompak atau beliau takut dituduh oleh rakyat sebagai ‘perompak’ kekayaan Negara?

Sikap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang menggunakan kedudukan mereka untuk memperkayakan diri dan keluarga telah menjadi sebati dan amalan biasa dalam kehidupan mereka. Ia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermaruah. Sikap inilah yang sukar dikikis dari ahli-ahli UMNO masa kini, dan sikap inilah sebenarnya yang banyak menyumbang kepada kehancuran UMNO.

Ucapan slogan memperjuangkan agama, bangsa dan Negara bukan lagi ucapan yang datang dari hati mereka seperti yang pernah diucapkan oleh datuk dan moyang kita dahulu, tetapi slogan ini diucapkan sekadar untuk mengabui mata rakyat, agar rakyat terus memberi mandat kepada mereka dan dengan itu juga mereka dapat terus menimbunkan kekayaan untuk diri dan keluarga.

Sampai bila rakyat dapat diperbodoh dan ditipu? UMNO dan BN tidak boleh terus kekal dengan menipu dan memperbodohkan rakyat. Cara berfikir mereka harus berubah dengan perubahan dunia sekarang. Kalau rakyat Arab pun sekarang ini sudah pandai berfikir, apakah rakyat Malaysia juga masih bodoh?

Taktik menakut-nakutkan orang Melayu akan hilang segala-galanya kalau orang Cina memerintah, supaya orang Melayu mengundi UMNO, dan taktik menakut-nakutkan orang Cina dengan hukum hudud kalau PAS memerintah, supaya orang Cina mengundi MCA adalah amat keji sekali dan bukan amalan politik orang yang bertamadun.

Berpolitiklah dengan cara yang lebih matang, berakhlak, sesuai dengan rakyat masa kini yang rata-ratanya berilmu dan berpelajaran. Jauhi taktik kotor dan keji yang akan merendahkan martabat diri kita sendiri.

Ban Ki-Moon, Setia Usaha PBB, yang melawat Malaysia baru-baru ini telah memperingatkan pemimpin Malaysia supaya memastikan pilihanraya yang dijalankan di sini benar-benar telus dan ada kredibiliti. Kenapa belia menimbulkan isu ini dalam ucapannya? Sudah tentu beliau bercakap berasaskan fakta dan maklumat. Yang jelasnya beliau masih tidak cukup puas hati dengan perjalanan pilihanraya dan sistem demokrasi di Negara ini. Ironinya sebelum ini pemimpin BN terus mendabik dada memberitahu rakyat bahawa pilihanraya di Negara ini adalah bebas dan adil. Apakah Ban Ki-Moon yang bodoh?

Ada orang kata, UMNO perlu kalah dulu sebelum bangkit semula dan membetulkan kesilapan untuk mencapai kemenangan pada masa akan datang.

UMNO adalah satu-satunya parti politik berasaskan kaum yang masih berkuasa di dunia. Amalan Apartheid telah lenyap di dunia dan ditentang oleh manusia sejagat, oleh itu UMNO harus menjauhkan partinya dari elemen dan amalan Apartheid, kalau mahu UMNO disokong oleh rakyat semula.

Umno tidak harus mengambil pendekatan berperang dengan rakyat atau menggalakkan ‘permusuhan’ di kalangan rakyat. Sebaliknya UMNO harus bekerja bersama-sama rakyat tanpa mengira kaum untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Dasar pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah demi untuk mengekalkan kuasa tidak patut menjadi amalan parti UMNO, kerana ia tidak baik dan tidak membantu untuk menuju kearah pembentukan Negara bangsa.

Friday, October 14, 2011

Buat apa tergesa-gesa hendak buat pilihanraya

Nasihat Dr Mahathir kepada PM Najib seperti yang dipetik dari Yahoo News



Dr Mahathir Mohamad has advised Prime Minister Najib Abdul Razak to call for 13th general election only towards the end of its current term, which ends in March 2013.


Speaking to reporters in Kuala Lumpur, the former prime minister said this would pressure the Pakatan Rakyat state governments to dissolve the respective assemblies alongside Parliament for concurrent elections.

Betul juga kata Dr Mahathir itu, buat apa hendak buat pilihanraya awal, sedangkan tempoh mandat untuk BN memerintah masih sah hingga Mac 2013.

Kadang-kadang Perdana Menteri atau BN mempunyai strategi tertentu untuk mengadakan pilihanraya pada masa-masa tertentu sebelum tempoh penggal mereka memerintah tamat.

Mereka mempunyai kelebihan untuk memilih masa-masa yang tertentu yang mereka fikir dapat membawa kemenangan yang besar kepada mereka. Sokongan rakyat kepada parti yang memerintah ada pasang surutnya. Sudah tentu masa yang paling sesuai untuk mengadakan pilihanraya ialah ketika sokongan rakyat begitu tinggi kepada mereka.

Semua orang dapat mengagak dari pembentangan Bajet 2012 yang lalu, yang merupakan bajet paling ‘pemurah’ berbanding tiga tahun dulu, pilihanraya mungkin akan diadakan tidak lama lagi. Paling lewat pada Mac 2012.

Walaupun tahun-tahun sebelum ini, bajet yang dibentangkan selalu digelar bajet rakyat, tetapi Bajet tahun 2012 ini, PM Najib betul-betul menumpukan atau memberi perhatian yang lebih kepada golongan rakyat teramai. Sebagai contoh memberi wang bantuan RM500 kepada keluarga yang berpendapatan isirumah kurang dari RM3000.00.

Sebenarnya golongan yang berpendapatan RM3000.00 inilah mewakili kelompok teramai dari keseluruhan rakyat Malaysia. Kelompok inilah yang akan menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Sama seperti Dr Mahathir, saya juga tidak bersetuju dan tidak wajar pilihanraya diadakan lebih awal dari Mac 2013. Pilihanraya bukan barangan mainan yang boleh kita adakan ikut suka kita. Banyak belanja, wang ringgit dan tenaga dihabiskan untuk melaksanakan pilihanraya. Apa perlunya kita membazirkan duit dan tenaga dengan perkara-perkara yang tidak perlu?

Mungkin ada orang berpendapat, PM Najib perlu mendapat mandat baru sebagai Perdana Menteri kerana beliau mengambil alih jawatan itu dari Pak Lah yang ‘dipaksa’ mengundurkan diri. Tetapi kita kena ingat, rakyat bukan mengundi Pak Lah untuk menjadi Perdana Menteri dalam pilihanraya tahun 2008 dulu. Sebaliknya, semasa itu rakyat hanya mengundi UMNO atau BN untuk memerintah Malaysia.

Selama ini pun bukanlah rakyat yang secara lansung melantik Perdana Menteri, tetapi jawatan PM itu dilantik dan ditentukan oleh ahli-ahli parti UMNO sendiri. Dan ahli-ahli UMNO juga telah menobatkan DS Najib sebagai Presiden parti (yang secara tradisinya akan menjadi Perdana Menteri) dalam mesyuarat perhimpunan UMNO.

Oleh itu tidak timbul masalah samada PM Najib mendapat mandat rakyat atau tidak.

Kalau pun PM Najib hendak juga mengadakan pilihanraya awal, ada kemungkinan beliau rasa tidak sabar untuk merampas semula tiga negeri yang telah terlepas kepada pembangkang Pakatan Rakyat pada pilihanraya tahun 2008 dulu. Kalaulah itu niat beliau, maka kemungkinan besar pilihanraya akan diadakan awal juga.

Apakah BN masih tidak puas memerintah tiga negeri yang terlepas walaupun sudah lebih 50 tahun? Sedangkan Pakatan Rakyat baru saja tiga tahun hendak bertapak di sana. Apakah PM Najib tidak sanggup melihat atau tidak rela untuk membiarkan Pakatan Rakyat mentadbir ketiga-tiga negeri itu untuk sampai tempoh lima tahun?

Kenapa PM Najib perlu gusar? Kalau pentadbiran Pakatan Rakyat di tiga-tiga negeri itu berlaku zalim, kejam dan jahat kepada rakyatnya, sudah pasti dalam pilihanraya umum yang akan datang pemimpin-pemimpin mereka akan ditolak jua oleh rakyat.

Dalam berita di TV pun kita hari-hari disajikan keburukan dan kelemahan negeri-negeri pentadbiran di bawah Pakatan Rakyat. Masakan rakyat tidak ada telinga dan mata untuk berfikir dan sekaligus menolak Pakatan Rakyat. Lainlah kalau PM Najib tahu bahawa berita-berita yang disajikan itu hanyalah palsu dan fitnah belaka, maka memang patut beliau berasa risau.

Friday, September 16, 2011

ISA dimansuhkan, satu persediaan UMNO untuk menghadapi kekalahan

Demam yang tidak kebah-kebah, seperti sudah tidak ada harapan untuk sihat kembali. Itulah yang dihadapi oleh parti UMNO di masa ini. Kambing hitam Pak Lah telah dikorbankan, PM Najib telah banyak membuat ‘tranformasi’, tetapi masih juga kurang berjaya untuk memikat rakyat kembali menyokong UMNO seperti yang diharapkannya.


Ada setengah orang berpendapat, UMNO perlu kalah dulu sebelum bangkit semula untuk menjadi parti politik yang berjaya pada masa akan datang.

Kalau kita lihat di Britain dan Amerika, parti yang kalah tidak selamanya mereka kalah. Sebaliknya kekalahan akan memberi pengajaran kepada ahli parti untuk membetulkan kesilapan mereka dan mengumpul kekuatan semula.

Saya yakin PM Najib dan kepimpinan dalam parti BN juga telah melihat dan sedar tentang perkara ini. Kehadiran media baru yang tidak mampu disekat dan rakyat yang semakin bermaklumat dan bijak, sukar bagi BN mengekalkan kuasa mereka dengan cara ‘kotor’.

Hari ini kita sedang memerhatikan kebangkitan demokrasi dikalangan rakyat Arab. Rakyat Arab seperti telah mendapat semangat baru yang tidak pernah terjangka dalam pemikiran kita. Kita seperti tidak percaya Muammar Gaddafi boleh jatuh dengan mudah. Kejatuhan Muammar Gaddafi ini pasti akan mempercepatkan kejatuhan pemimpin diktator Bashar Al Asad Syria yang sedang diganyang oleh rakyatnya itu. Ia seperti menjadi suntikan semangat kepada rakyat Arab lain untuk menghumbankan pemimpin diktator dan Raja-raja yang menjadi beban kepada rakyat.

Angin perubahan di Negara-negara Arab ini tidak akan terhenti di wilayah Arab sahaja. Kalau pemimpin-pemimpin di tempat-tempat lain masih leka dan tidak peka dengan perkembangan di wilayah Arab ini, sudah pasti mereka juga akan menerima nasib yang sama.
Dan pada malam ini (16 September 2011)Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Di samping itu, tambahnya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Sebelum ini, PM Najib telah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa pemilih Parlimen bagi meneliti status sistem pilihan raya bagi membaiki perjalanan pilihanraya yang adil, bersih dan bebas.

Sebenarnya, semua perubahan yang disebut di atas, yang ingin dilaksanakan oleh PM Najib itu, bukanlah untuk memikat hati rakyat kepada UMNO atau BN untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang ini, tetapi lebih kepada persediaan parti itu untuk menjadi parti yang kalah pada pilihanraya itu.

Hanya dengan keadaan demokrasi yang berada di atas landasan yang betul, dan piliharaya yang dilaksanakan bersih, adil dan bebas, barulah parti yang kalah mempunyai peluang untuk menang.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, kalau ditakdirkan BN kalah pada pilihanraya umum akan datang ini, dan sistem demokrasi dan pilihanraya masih kekal dalam keadaan ‘kotor’, mungkin BN akan terpaksa menunggu 50 atau 70 tahun lagi untuk menang semula seperti yang dialami oleh parti pembangkang sekarang ini.

Apa pun nawaitu beliau, PM Najib harus diberi pujian kerana berani telah membuat perubahan untuk kebaikan masa depan rakyat Malaysia. Kemerdekaan Negara hanya lebih bermakna jika rakyat dapat merasakan kemerdekaan. Tiada kemerdekaan tanpa demokrasi.

Walaupun usaha PM Najib ini sudah terlambat, sekurang-kurangnya,  di penghujung hayatnya, UMNO dan BN telah membersihkan ‘dosanya’ yang telah mencemar demokrasi dan amalannya. Dengan harapan setelah kalah nanti, UMNO dan BN tidak terus dihantui dan dimomokkan sebagai  parti yang telah merosakkan demokrasi.
Sebagai tanda penghargaan, dengan rasminya logo bebaskan Malaysia dari ISA dikeluarkan dari blog ini.

Sunday, July 24, 2011

Projek biometrik untuk jamu hantu raya

Petikan berita dari Utusan Malaysia 24 Julai 2011:


KANGAR 23 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan sistem biometrik dalam pilihan raya akan datang.



Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan sistem tersebut bagi menjamin pilihan raya yang adil tanpa timbul lagi isu pengundi hantu sebagaimana didakwa oleh pihak pembangkang.

Ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini, di Kangar, PM Najib menyatakan rasa bangganya kerana menjadi Negara pertama menggunakan sistem biometrik dalam pilihanraya. “Dan tidak ada negara lain yang menggunakannya walaupun negara maju," tambah beliau.
Apakah jaminan sistem biometric ini tidak terlepas dari penipuan? Apatah lagi system biometric ini tidak pernah dicuba di mana-mana Negara, tentu terdedah kepada banyak kelemahan yang tidak diduga. Biometrik adalah program computer yang dibikin dan dikawal oleh manusia, masih mempunyai kelemahan dari pencerobohan.

Apa masalahnya dengan dakwat kekal? Bukan sahaja kosnya murah tetapi telah dicuba di beberapa Negara dan terbukti berkesan untuk mengelakkan penipuan dalam pilihanraya.

Menggunakan sistem yang canggih dan mahal seperti sistem biometrik itu bukanlah perkara yang penting, apa yang lebih utama ialah kita mahu mengelakkan penipuan dalam pilihanraya, itulah isu utamanya.

Kita bimbang projek sistem biometrik ini diwujudkan hanya untuk memenuhi tuntutan selera hantu raya yang dibela, padahal sistem dakwat kekal yang jauh lebih murah itu pun sudah sangat memadai.

PM Najib juga cuba meyakinkan orang ramai, dengan berkata, kalau BN benar-benar memanipulasi pilihanraya, sudah tentu PAS telah lama kalah di Kelantan. Malah katanya lagi, ada parti pembangkang yang menang hanya dengan 3 undi sahaja, kalaulah benar pilihanraya boleh dimanipulasi, sudah tentu BN mudah untuk menambah sedikit undi lagi untuk menang.

PM Najib boleh bercakap apa sahaja untuk mempertahankan pendiriannya, tetapi di pihak Pakatan Rakyat juga ada hak untuk menyuarakan pandangan dan persepsi mereka.

Sudah banyak kita dengar dan lihat, nama orang yang telah mati masih ada dalam senarai pilihanraya. Ramai bekas-bekas tentera memberitahu kita, sepanjang berkhidmat mereka tidak pernah melihat atau memangkah kertas undi. Kalau satu atau dua orang bekas tentera berkata seperti itu, bolehlah kita kata mereka berbohong, tetapi kalau beratus bekas tentera berkata seperti itu, takkan kita senang-senang nak tuduh mereka bohong.

Ada juga alamat rumah yang dihuni oleh lebih 80 orang pengundi. Kenapa boleh jadi sampai demikian? Apa muslihatnya? Kalau pendatang asing pun, mereka tidak duduk sampai 20 orang dalam satu rumah.

Perlu juga diingat, demokrasi bukan sekadar mengadakan pilihanraya yang bersih dari penipuan, tetapi lebih dari itu, pilihanraya mesti berjalan dengan adil dan bebas.

Sangat jelas kepada kita, media kerajaan dan media perdana Negara ini dikawal oleh parti yang memerintah. Sikap dan lapuran mereka berpihak dan berat sebelah. Mereka menjadi alat propaganda dan alat kempen kepada parti yang memerintah. Ini bukanlah amalan demokrasi yang betul dan murni.

Agensi-agensi kerajaan, polis, SPRM, SPR dan badan kehakiman tidak patut dijadikan kuda tunggangan parti yang memerintah untuk mengekalkan kuasa mereka. Penyalahgunaan kuasa ini sudah bercanggah dengan amalan demokrasi.

Dalam keadaan demokrasi yang telah dicabul dan pertandingan yang berat sebelah ini, bukan sekadar 3 undi, kalau parti pembangkang dapat meraih 40% undi pun, secara moralnya sudah boleh dikira parti pembangkang menang, walaupun mereka kalah di atas kertas.

Friday, July 15, 2011

Patriot diwujudkan sebagai alasan untuk polis tidak memberi permit

Demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur merupakan satu masalah yang besar kepada Perdana Menteri. PM Tun Mahathir menjadi lemah bila digasak bertubi-tubi oleh demontrasi jalanan. PM Pak Lah pun tergugat dengan demontrasi jalanan Hindraf.


Perkembangan kebangkitan pro demokrasi di Negara-negara Arab dewasa ini, yang menggunakan medium demontrasi jalanan, sangat membimbangkan PM Najib.

Oleh itu tidak hairanlah kalau PM Najib mempunyai strategi tersendiri untuk menggagalkan demontrasi jalanan dari berlaku.

Dengan cara tidak memberi permit kepada perhimpunan yang menentang dasar pemerintah, belum tentu dapat menghalang atau menjamin perhimpunan itu tidak akan diadakan. Malah sebelum ini pun, tidak pernah berlaku di mana perhimpunan atau demontrasi jalanan yang tidak jadi diadakan disebabkan tidak dapat permit polis.

Permit polis tidak mampu untuk menghalang demontrasi jalanan tetapi ia hanya boleh dijadikan alasan untuk polis mengganas bagi menyuraikan perhimpunan yang tidak mendapat permit polis atau perhimpunan ‘haram’ itu.

Pada perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu, pihak penganjur langsung tidak menyangka pihak polis akan menutup semua jalan masuk ke Kuala Lumpur pada 9 Julai itu. Strategi ini nampak berkesan, sehingga ramai orang tidak dapat menyertai perhimpunan itu. Kalaulah jalan ke KL tidak ditutup, tentu jumlah yang mengambil bahagian jauh lebih ramai dari jumlah yang kita lihat pada hari itu.

Kita yakin strategi menutup jalan masuk ke KL telah lama mereka fikirkan. Inilah salah satu dari sebab kenapa mereka masih enggan memberi permit kepada perhimpunan BERSIH 2.0 walaupun lokasi perhimpunan telah diubah ke Stadium Merdeka. Kalau diberi permit, bermakna polis tidak boleh menutup jalan masuk ke KL.

Adakah penutupan jalan keluar masuk ke Bandaraya Kuala Lumpur oleh polis ini sah dari segi undang-undang? Adakah polis telah menggunakan kuasa yang berlebihan? Pihak polis mungkin boleh menjadikannya sebagai alasan untuk menghalang perhimpunan ‘haram’ itu. Tetapi bukankah perlembagaan kita telah menjamin hak untuk rakyat mengadakan perhimpunan aman?

Satu lagi strategi yang mereka gunakan ialah mewujudkan demontrasi penentang kepada pihak yang mahu mengadakan demontrasi. Dalam kes perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu mereka telah mewujudkan demontrasi penentang Patriot (Pemuda UMNO) dan kumpulan Silat Lincah.

Alasan kumpulan Patriot untuk mengadakan demontrasi jalanan sangat lemah, tetapi mereka terpaksa melakukannya juga, yang mungkin atas kehendak pemimpin UMNO sendiri. Mereka seolah-olah menjadi lawan dan musuh kepada perhimpunan BERSIH 2.0. Gelagat dan kewujudan mereka itu diperbesar-besarkan oleh media perdana. Pertentangan antara dua kumpulan yang bertentangan ini digembar-gemburkan sehingga kelihatan seperti boleh mengancam keselamatan Negara kalau demontrasi jalanan itu dibiarkan berlangsung. Oleh itu polis ada alasan yang kuat untuk menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Lakonan ini diperkuatkan lagi dengan penemuan oleh pihak polis, bom molotov cocktail, parang dan baju-T BERSIH 2.0 di beberapa lokasi, menambah menakutkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan BERSIH 2.0. Seterusnya memberi alasan lebih kuat kepada pihak polis untuk menghalang perhimpunan tersebut.

Abdul Azeez, orang kuat Patriot yang ditahan bersama Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ketika Patriot membantah perhimpunan jalanan di Bukit Bintang semalam, berkata tindakan kumpulan itu bukanlah semata-mata mahu menyertai demonstrasi jalanan, sebaliknya sebagai satu protes terhadap pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dalam negara.

Betulkah perhimpunan aman BERSIH 2.0 mencetuskan kekacauan, siapa sebenarnya yang buat kacau? Berapa banyak bom molotov cocktail yang telah meletup? Semua itu tuduhan melulu Abdul Azeez saja.



"Kita berjuang untuk mempertahankan Istana Negara dan Stadium Merdeka dari dicemari, dan yang paling utama, kita nak berdepan dengan orang derhaka dengan Yang di-Pertuan Agong dan negara tercinta.

Apa yang tercemarnya? Yang telah tercemar ialah demokrasi dan perjalanan pilihanraya, janganlah Abdul Azeez hendak lari dari isu yang sebenar. Cakap berkobar-kobar tetapi buntut sememeh dengan tahi.



"Patriot memang sentiasa tegas kalau ada pihak nak gugat kedaulatan negara, kerana kita akan duduk di barisan hadapan, dan kita akan himpunkan ratusan ribu Pemuda, jika perlu," katanya.

Betulkah ada ratusan ribu yang hendak berdemo dengan anda? Kalau betul ramai, kenapa perlu panggil mat-mat Bangla ikut sama berdemo pakai baju merah Patriot untuk meramaikannya?



Semalam, selain Abdul Azeez dan Khairy, turut ditahan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdaus Megat Junid dan Exco Pemuda Umno Lokman Adam.



Mengenai penganjur Bersih, Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata agenda perhimpunan semalam, yang kononnya bagi menuntut penambahbaikan Suruhanjaya Pilihan Raya, jelas bermotifkan politik.

Bangang ke apa? Pilihanraya itu sendiri memang salah satu komponen politik, mestilah orang politik yang patutnya ke depan untuk memperjuangkannya. Atas kesedaran politik jugalah maka BERSIH telah membuat tuntutan untuk menjadikan pilihanraya bersih, adil dan bebas.



"Semalam, semasa saya di dalam lokap, saya jumpa dan tanya beberapa orang makcik dalam penjara, dia kata diapun tak tahu, orang bagi duit suruh datang, nampaknya terbukti ramai yang tertipu dengan permainan kotor mereka ini," katanya.



Sehubungan itu, beliau mencabar penganjur dan pemimpin pembangkang yang berselindung di belakang badan bukan kerajaan agar berdepan secara adil pada pilihan raya umum akan datang.

Abdul Azeez ini faham ke tidak? Atau buat-buat tak faham. Yang rakyat sedang tuntut sekarang ini ialah pilihanraya yang bersih, adil dan bebas. Sekali lagi dia cuba lari dari tajuk. Kalau pilihanraya kotor dan menggunakan taktik kotor dan menipu, kita tahulah siapa yang akan terus menang dalam setiap pilihanraya. Tidak hairanlah kalau dia berani cakap besar.

Tuesday, July 12, 2011

Apalah kita dapat dengan menyokong BERSIH

Kepada mereka yang korup, pemakan rasuah dan komisyen, mendapat kekayaan dengan cara kotor dan membuat kekayaan dengan penyalahgunaan kuasa, tidak akan mendapat faedah malah mereka akan rugi kalau menyokong BERSIH.


Sebaliknya kepada mereka yang tahu dan faham, apa kebaikan yang mereka dapat dengan menyokong BERSIH, tidak akan teragak-agak untuk terus menyokong BERSIH dan sanggup turun ke jalanraya walaupun terpaksa menghadapi tindakan ganas polis.

Siapa susuk Ambiga bukanlah perkara yang penting tetapi yang perlu kita sokong ialah tuntutan BERSIH untuk memurnikan demokrasi dan pelaksanaan pilihanraya yang bersih dan adil.

Selama ini yang menyusahkan rakyat terbanyak di kalangan kita ialah orang-orang yang berkuasa dan kuncu-kuncunya dalam mengaut kekayaan Negara untuk kepentingan kelompok mereka. Mereka ‘merompak’ harta Negara tanpa kita dapat menghalang perbuatan rakus mereka itu.

Mereka menguasai media perdana sehingga perbuatan salah mereka dan segala tindak tanduk mereka digambarkan oleh media sebagai semuanya betul, tanpa ada cacat cela.

Mereka ada sebab yang kuat untuk tidak menyokong BERSIH, mereka sedaya upaya akan cuba menggagalkan tuntutan BERSIH. Menyokong BERSIH samalah seperti menutup periuk nasi mereka sendiri.

Dengan mengamalkan pilihanraya kotor dan menipu, mereka akan dapat terus mengekalkan kuasa untuk selama-lamanya.

Sebaliknya kalau pilihanraya dapat diubah kepada pilihanraya yang bersih dan adil, sudah tentu pemimpin yang terpilih tidak akan berani untuk mempermainkan rakyat, tidak akan berani ‘merompak’ harta Negara, tidak akan berani menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri mereka. Kalau mereka lakukan juga, pasti mereka akan dihukum dan diturunkan oleh rakyat dalam setiap pilihanraya.

Itulah kebaikan dan faedah yang kita dapat kalau kita menyokong tuntutan BERSIH.

Banyak mana pun harta kekayaan yang kita tinggalkan untuk anak-anak kita, tidak akan menjamin kesejahteraan kehidupan mereka. Tetapi kalau kita tinggalkan kepada anak-anak kita, sistem demokrasi yang murni dan pilihanraya yang bersih, pasti ia akan dapat menjamin kesejahteraan hidup mereka, kerana mereka sentiasa akan mendapat pemimpin-pemimpin yang membela nasib rakyat.

Sunday, June 19, 2011

BERSIH kearah tranformasi demokrasi

Sebagai sebuah negara yang bertunjangkan fahaman demokrasi, adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia untuk memurnikannya.


Tidak dapat dinafikan dalam keghairahan parti politik yang memerintah untuk terus mengekalkan kuasa, dengan sengaja atau tanpa mereka sedari, telah mencabul beberapa prinsip asas demokrasi supaya kemenangan dalam pilihanraya sentiasa berpihak kepada mereka.

Demokrasi bukan sekadar cukup dengan mengadakan piliharanraya bagi setiap 5 tahun sekali sahaja, tetapi mesti juga didokong oleh rukun-rukunnya supaya demokrasi itu dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

Presiden Suharto di Mesir dan Presiden Hosni Mubarak di Mesir adalah contoh pemimpin yang telah banyak mencabul demokrasi, sehingga setiap kali pilihanraya diadakan mereka pasti memperoleh undi melebihi 90 peratus. Tentulah tidak logik, dengan keputusan seperti itu, boleh mendorong beratus ribu rakyatnya untuk turun ke jalan-jalan raya, sekalipun tanpa mendapat permit polis, bagi mendesak mereka turun dari tampuk kuasa.

Kalau demokrasi telah dicabul, demi untuk memastikan keputusan undi dapat dimanipulasi agar berpihak kepada parti yang memerintah, bagaimana mungkin parti pemerintah akan boleh dikalahkan melalui piliharaya?

Oleh itu tidak hairanlah, malah memang tepat kalau rakyat Indonesia dan Mesir menggunakan jalanraya untuk menghalau pemimpin mereka.

Saya difahamkan perhimpunan BERSIH yang sekarang ini tengah heboh diperkatakan, bakal diadakan pada 9 Julai 2011 (Sabtu) jam 2.00 petang nanti telah menyenaraikan 8 tuntutan kepada parti yang memerintah Malaysia (BN), sebagai langkah untuk memurnikan demokrasi di negara ini, bukan untuk menuntut PM Najib berundur.

Apa tuntutan BERSIH ? Ada 8 perkara :

1. BERSIHKAN SENARAI UNDI

2. MENREFORMASI UNDI POS

3. GUNA DAKWAT KEKAL

4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI

5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL

6. KUKOHKAN INSTITUSI AWAM

7. HENTIKAN RASUAH PILIHANRAYA

8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

Kalau kita perhatikan, lapan tuntutan yang dibuat oleh BERSIH itu memang wajar sangat demi memulihkan kemurnian demokrasi di negara kita ini. Pihak mana pun tidak akan ada alasan untuk tidak dapat menerimanya atau untuk menolaknya, kecuali kalau parti pemerintah (BN) bimbang akan kehilangan kuasanya.


Lapan tuntutan itu tidak sama sekali akan menyusahkan rakyat jelata, malah akan memberi banyak kebaikan kepada mereka.

Tuntutan 8 perkara ini adalah tuntutan asas demokrasi yang menjadi kehendak semua rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, kaum dan agama. Saya percaya, perhimpunan BERSIH ini bukan sahaja mendorong orang Melayu untuk menyertainya, tetapi pasti akan disertai juga oleh orang Cina, India dan lain-lain kaum. Kerana ini bukan merupakan tuntutan bagi faedah satu-satu kaum, tetapi adalah tuntutan yang sejagat, tuntutan fitrah manusia.

Boleh dihindar

Tuntutan Hindraf adalah tuntutan kaum, mampu memberi kesan buruk kepada parti BN dalam pilihanraya 2008, kerana Pak Lah tidak mampu menanganinya secara bijak. Tidak dapat kita bayangkan kalau semua kaum akan turun ke jalan raya dalam perhimpunan BERSIH ini, tentu kesannya lebih buruk lagi dari Hindraf.

PM Najib perlu belajar dari Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab lain itu yang rakyatnya sedang bangkit memurnikan demokrasi di negara mereka.

Walaupun perhimpunan BERSIH bukan untuk menuntut PM Najib berundur, tetapi jika beliau tersilap langkah, boleh menjerumuskannya menjadi perhimpunan rakyat seperti di dataran Tahrir di Mesir.

Untuk menyekat perhimpunan BERSIH ini dari berlangsung adalah suatu yang mustahil, kerana UMNO sendiri pun telah mula mengiktiraf perhimpunan jalanan ini, dan mereka telah galak mengadakan demonstrasi jalanan di Pulau Pinang.

Kalau PM Najib seorang yang bijak, perhimpunan BERSIH ini boleh saja dielakkan dengan mengadakan rundingan dengan pihak-pihak pembangkang yang menganjurkan perhimpunan itu dan menunaikan semua atau sebahagian tuntutan mereka yang memang wajar untuk dipertimbangkan itu.

Dalam suasana dunia sekarang ini, berkofrantasi dengan pendemontsran jalanan ini bukanlah pilihan yang sesuai.

Friday, December 19, 2008

Tiada meritokrasi punca perpecahan dalam parti ~ ref Malaysiakini

Apabila wujud keadaan di mana ahli politik bergantung kepada sumbangan duit dari kontraktor pilihannya untuk naik dan terus berkuasa dalam politik, dan kontraktor pula bergantung kepada ahli politik yang boleh menjadi ‘kuda tunggangannya’ untuk memastikan tender-tender projek kerajaan menjadi miliknya, maka sudah pasti perpecahan dalam sesebuah parti politik tidak dapat dielakkan.

Dalam politik hari ini, ahli politik dan para kontraktor seperti saling sandar menyandar macam aur dengan tebing. Perjuangan ahli politik sudah jadi perjuangan untuk perut, perjuangan para kontraktor memang dari dulu untuk perut. Jadi tidak hairanlah kalau mereka menjadi rakan akrab yang saling bantu membantu.

Kadang-kadang rakyat seperti tidak sedar mereka ditipu oleh ahli-ahli politik. Didepan rakyat mereka hunus keris dengan semangat berkobar-kobar, cakap berdegar-degar untuk perjuangkan agama, bangsa dan Negara. Mereka pakai serban besar, lancar lidah menyebut hadis dan firman Tuhan untuk memperjuangkan Islam tetapi kebanyakannya semua itu adalah komestik belaka. Berselindung disebalik itu semua ialah untuk memperjuangkan perut saja.
Begitulah wajah-wajah politik yang dianuti oleh manusia-manusia sekarang.

Semua sudah berkiblatkan perjuangan perut, untuk memperkaya diri dan kelompok sendiri. Perjuangan asal yang suci untuk bangsa, Negara dan agama, hanya sekadar untuk mengabui mata rakyat bagi mendapatkan sokongan dan menang dalam pemilihan dan pilihanraya. Dengan kuasa politik yang mereka miliki dapat menjamin kekayaan terus berada ditangan mereka.

Di pihak kontraktor pula, untuk menjamin periok nasi sentiasa berisi, kontraktor akan memastikan pemimpin politik yang dapat memberi tender projek kepada syarikatnya terus kekal memegang kuasa.

Pemimpin politik pula sangat mengharapkan bantuan kontraktor-kontraktor yang boleh membantunya membiayai kempen pemilihan dan pilihanrayanya, agar dia dapat terus berkuasa.Setiap pemimpin politik ada senarai kontraktor pilihannya sendiri.

Akhirnya, disebalik merebut kuasa politik yang disandiwarakan didepan rakyat jelata itu ada terselindung perebutan kekayaan dan projek kerajaan.

Inilah perkara sebenar yang menyebabkan perpecahan dalam politik. Kontraktor bukan dipilih berdasarkan merit tetapi dipilih melalui 'kabel' politik.

Yang penting kepada kontraktor dan syarikat ialah 'siapa yang awak kenal' bukan 'apa yang awak tahu'.

Kontraktor sudah jadi ‘contact-tor’, syarikat koperat sudah jadi ‘syarikat keparat’.

Tidak mendatangkan masalah kepada mereka jika projek yang mereka menang tender itu dibuat berkualiti rendah, tidak mengikut spesifikasi. Janji mereka dapat untung banyak, sebahagian dari untung itu akan disumbang untuk kempen pemimpin politik yang menjadi ‘kuda tunggangannya’.

Bangunan yang dibina runtuh rantah pun tak perlu nak risau kerana pemimpin politik ‘kuda tunggangan’ mereka yang berkuasa itu akan dapat melindungi mereka dari diambil tindakan undang-undang.

Projek harga 10 juta ringgit, tapi belanja buat projek hanya 5 juta ringgit, sudah dapat untung 5 juta ringgit. Separuh dari untung itu pula boleh disumbang untuk kempen ahli politik ‘kuda tunggangan’ mereka.

Masa kempen pemilihan dan pilihanraya mereka tabur duit yang mereka dapat dari keuntung projek ini kepada pengundi-pengundi. Pengundi-pengundi pun suka dapat duit dan terus beri undi pada ahli politik yang ‘pemurah’ dan ‘dermawan ini’.

Pengundi-pengundi ini mungkin lupa dan tak faham dari mana duit itu datang. Projek-projek kerajaan ini siapa yang biaya? Sudah tentu ia dibiayai menggunakan duit kerajaan, duit kerajaan adalah duit rakyat, termasuk duit cukai dari rakyat.

Siapa yang rugi akhirnya? Sudah tentu rakyat. Rakyat dapat projek dan bangunan yang berkuliti rendah, silap-silap boleh runtuh dan mengancam nyawa mereka sendiri. Dengan duit 10 juta ringgit patutnya boleh membiayai dua projek kerajaan, tetapi sebab nak kaut untung yang berlebihan, ia hanya dapat membiayai satu projek saja.

Sudah tentu perkara-perkara ini tidak berlaku kalau kita memilih kontraktor dan syarikat untuk melaksanakan projek kerajaan berasaskan merit. Siapa yang terbaik merekalah yang akan terpilih, tidak kira pemimpin politik mana atau parti politik mana pun yang berkuasa.
Bila pemilihan berasaskan merit, tentu kontraktor juga tidak memerlukan kepada ‘kuda tunggangan’ lagi.

Wednesday, December 10, 2008

Terengganu Kita ~ ref Malaysiakini



Pilihanraya kecil di Terengganu pada 17 Januari 2009 bakal mempamirkan pertandingan sengit antara parti UMNO mewakili BN dengan parti PAS mewakili Pakatan Rakyat.

Dari keputusan pilihanraya umum ke 12 bulan Mac 2008 dulu, UMNO dan PAS mendapat undi yang hampir seimbang. UMNO menang dengan majoriti yang kecil sahaja.

Kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas pilihanraya Mac 2008 dulu sedikit sebanyak telah mencalarkan reputasi UMNO Terengganu. Di satu pihak, Idris Jusoh Menteri Besar sebelum pilihanraya, ingin terus mengekalkan jawatan Menteri Besar yang disokong oleh Pak Lah, manakala di satu pihak lain pula Ahmad Said yang mendapat restu Istana ingin mendapatkan jawatan tersebut.

Akhirnya Ahmad Said telah memenangi perebutan itu. Ekoran kemelut itu, timbul beberapa cerita yang tidak enak didengar dari kedua-dua pihak yang bertelingkah. Ini termasuklah pendedahan pembelian 14 buah kereta Mersedes untuk kegunaan exco kerajaan negeri yang baru yang dikatakan tidak wajar dan tidak sesuai kerana pembelian dibuat di masa rakyat menghadapi kenaikan harga barang.

Pendedahan pembelian Mersedes ini dibalas dengan pendedahan harga penyenggaraan kereta-kereta rasmi proton perdana yang tinggi dan tidak munasabah yang telah dibuat semasa pentadbiran lama.

Malah projek Masjid Kristal yang menelan belanja beratus juta ringgit itu juga turut dipersoalkan. Begitu juga dengan dengan wang royalti minyak atau wang ehsan untuk Terengganu, kemana wang yang berbillion ringgit itu dibelanjakan telah menjadi isu dan tanda tanya.

Setelah berapa lama, isu-isu yang hangat itu akhirnya telah dapat disejukkan. Mungkin pihak-pihak yang bertelingkah itu telah menemukan penyelesaian menang-menang.

Sudah tentu dalam pilihanraya kecil pada 17 Januari ini UMNO tidak mahu isu-isu pendedahan yang kontraversial yang lalu itu ditimbulkan semula. Sangatlah perlu ketika ini Idris Jusoh dan Ahmad Said untuk melupakan persengketaan mereka yang lalu bagi menghadapi piliharaya kecil ini secara padu.

Idris Jusoh harus tidak menyimpan dendam lagi walaupun beliau telah dimalukan oleh Ahmad Said. Janganlah nanti Idris Jusoh cuba bertindak menikam dari belakang dan lepas tangan terhadap tindakan-tindakan taksub penyokongnya dengan sekadar berkata,” saya akur dengan dengan kehendak rakyat”.

Pilihanraya kecil ini boleh dijadikan medan bagi mengukur dan menilai sejauh mana rakyat Terengganu bersetuju dan menyokong pentadbiran Menteri Besar Ahmad Said. Ahmad Said menjadi Menteri Besar atas restu Istana bukan atas restu Pak Lah.

Sekiranya UMNO kalah dalam pilihanraya kecil Terengganu akan datang ini, ia juga boleh ditafsirkan sebagai rakyat Terengganu telah menolak kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Diperingkat BN dan PR pula, pilihanraya kecil Terengganu ini amat penting kerana ia dapat memberi isyarat bagaimana penerimaan rakyat terhadap kedua-dua entiti politik ini. Rakyat Terengganu telah melihat kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir beberapa negeri. Sekiranya mereka tertarik dengan cara pentadbiran PR di negeri-negeri tersebut tentu ini akan dapat menarik mereka untuk mengundi PR.
Bagi DS Najib pula, pilihanraya kecil Terengganu ini juga sangat penting bagi beliau untuk melihat maklumbalas penyokong-penyokong UMNO dan BN kepada pelan peralihan kuasa. Pelan peralihan kuasa ini telah didakwa oleh sesetengah pemimpin UMNO sebagai kehendak akar umbi. Dari jumlah undi yang diberikan kepada UMNO nanti, dapatlah kita tentukan samada pelan itu benar-benar mendapat sokongan akar umbi.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com