Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label pengguna. Show all posts
Showing posts with label pengguna. Show all posts

Wednesday, August 04, 2010

Pengangkutan awam, umpama telur dengan ayam

Pengguna kata bas tak ikut waktu, kadang-kadang langsung tak ada bas yang lalu. Persepsi pengguna mengatakan perkhidmatan bas tidak boleh diharap.

Waktu masuk kerja adalah tetap setiap hari, iaitu pukul 8.00 pagi atau pukul 9.00 pagi. Pengguna akan memilih masa menaiki bas pada waktu perjalanan bas yang sesuai. Pihak bas juga mempunyai jadual perjalanan bas mereka yang tetap, tetapi malangnya masa perjalanan bas tidak pernah ditepati oleh pihak bas. Malah kadang-kadang bas yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Bas yang tidak tentu masa sampainya ini menyebabkan orang ramai tawar hati untuk menggunakan perkhidmatan bas. Akhirnya mereka lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri.

Itulah antara sebab-sebab kenapa orang ramai tidak begitu berminat menggunakan perkhidmatan bas. Mereka menggunakannya hanya dalam keadaan terdesak sahaja atau untuk pergi ke sesuatu destinasi yang tidak terikat dengan masa atau waktu.

Perkhidmatan bas tidak dapat menarik orang ramai atau golongan pekerja menggunakan perkhidmatan bas mereka.

Di pihak bas pula, mereka mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka tidak dapat menyediakan perkhidmatan bas mengikut jadual seperti yang telah dirancang.

Pihak bas kata, mereka telah cuba menyediakan bas ikut jadual tetapi tidak ramai penumpang yang naik, kadang-kadang hanya 4 atau 5 orang saja yang naik bas. Keadaan ini tidak ekonomik, kos operasi menjadi tinggi dan syarikat bas boleh rugi jika bas berjalan tanpa penumpang yang ramai.

Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, bas terpaksa melambatkan perjalanan atau mengubah waktu perjalanan untuk memastikan lebih ramai penumpang dapat dikutip bagi setiap perjalanan.

Akhirnya kadang-kadang berlaku penumpang penuh dan berasak-asak dalam bas kerana dua atau tiga perjalanan dikumpulkan jadi satu perjalanan sahaja. Syarikat bas gembira kerana cara ini lebih ekonomik dan menguntungkan.

Tetapi syarikat bas ini tidak memikirkan untuk jangka masa panjang. Sebenarnya dengan berbuat demikian, penumpang jadi tidak selesa, bersesak dalam bas dan menjejaskan waktu mereka tiba di tempat kerja. Penumpang tidak akan suka keadaan seperti itu dan mereka akan beralih untuk menggunakan kenderaan sendiri.

Kita dapat lihat, sikap syarikat bas dengan orang ramai ini adalah umpama telur dengan ayam, mereka saling berhujah siapa yang patut dulu.
Orang ramai mengharapkan syarikat bas menepati jadual perjalanan mereka, barulah mereka mahu menggunakan perkhidmatan bas untuk ke tempat kerja, manakala syarikat bas pula mengharapkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan bas, barulah mereka mahu menggerakkan bas mereka mengikut jadual dan menambah bilangan bas mereka.

Pada pendapat saya, syarikat baslah yang patut terlebih dahulu memperbaiki perkhidmatannya, bas patut tiba tepat pada waktu yang telah ditetapkan seperti dalam jadual. Bila orang ramai melihat bas sentiasa ada seperti yang dijadualkan, barulah ia dapat menimbulkan rasa yakin kepada orang ramai.

Apabila orang ramai telah yakin dengan perkhidmatan bas, tentu mereka tidak teragak-agak lagi untuk menggunakan perkhidmatan bas, malah mereka tidak teragak-agak untuk beralih dari mengguna kenderaan sendiri kepada perkhidmatan bas, terutamanya untuk ke tempat kerja.

Monday, August 02, 2010

Bas Transnasional patut dicontohi


Transnasional adalah nama syarikat bas yang sangat dipercayai dan diyakini oleh rakyat Malaysia.

Pergilah ke setesen-setesen bas di seluruh Negara, anda tidak akan nampak pekerja-pekerja di kaunter tiket bas syarikat Transnasional terpekik terlolong memanggil orang ramai untuk membeli tiket bas mereka, tidak seperti syarikat-syarikat bas lain itu.

Bas Transnasional menjadi pilihan utama setiap orang, kalau tiket sudah habis barulah mereka pergi ke kaunter syarikat bas lain.

Orang ramai suka membeli tiket dan menggunakan khidmat bas Transnasional bukanlah disebabkan bas ini ada pensijilan ISO atau menerima lain-lain sijil penganugerahan.

Bas Syarikat Transnasional menjadi pilihan orang ramai kerana pihak pengurusannya sentiasa menjaga waktu berlepas setiap perjalanan bas mereka sentiasa tepat. Kalau kita lihat syarikat bas lain itu, mereka lebih berminat hendak memenuhkan bas mereka dengan penumpang walaupun terpaksa menangguhkan perjalanan hingga lewat lebih 15 minit.

Harga tiket bas Transnasional juga adalah sama sepanjang masa walaupun pada musim-musim perayaan, sedangkan syarikat bas lain sewenang-wenangnya menaikkan harga hingga dua kali ganda di musim perayaan.

Keadaan dan keselesaan dalam bas transnasional juga adalah memuaskan hati, berpatutan dengan harga tiket yang dibayar oleh pengguna.

Pemandu-pemandu bas Transional juga lebih berdisiplin semasa memandu. Untuk mengekalkan dan mendapatkan pemandu-pemandu yang terbaik, syarikat mana-mana bas harus membayar gaji yang tinggi kepada pemandu-pemandu bas mereka. Tidak dinafikan sikap pemandu bas membawa imej kepada syarikat mereka bekerja.

Syarikat bas Transnasional juga menggunakan jualan tiket secara online, dengan itu tidak akan berlaku penumpang tidak ada tempat duduk atau tempat duduk yang bertindih. Dengan jualan online juga, tiket mana-mana perjalanan untuk mana-mana destinasi boleh dibeli di mana-mana kaunter tiket.

Mungkin untuk masa depan syarikat bas transnasional boleh menjual tiket-tiket basnya kepada orang ramai melalui internet tanpa perlu pergi ke kaunter tiket. Apa yang diperlukan semasa membeli tiket melalui internet, pengguna hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan (IC) dan nama mereka sahaja sebagai bukti.

Setiap kali menaiki bas, penumpang yang membeli tiket melalui internet hanya perlu menunjukkan IC mereka sahaja bagi menggantikan tiket sebagai pengesahan.

Pembelian internet menggunakan pengesahan nombor IC ini juga dapat menghalang dari kegiatan ulat-ulat tiket yang membeli tiket secara pukal pada musim perayaan, dan menjual semula kepada orang ramai dengan keuntungan yang berlipat ganda.

Moga bas transnasional akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan sentiasa berusaha untuk membaiki kelemahan yang ada. Syarikat-syarikat bas yang lain patut mencontohi Bas Transnasional.

Dalam menuju status Negara maju, setesen-setesen bas kita tidak harus ada lagi hiruk pikuk dengan ulat-ulat tiket mengejar penumpang dan kes penumpang ditipu. Keadaan ini sudah cukup untuk membuatkan pelancung berasa takut, dan mereka akan lari dari melancung ke Negara kita. Bila pelancung berkurang, semua pihak tidak akan dapat keuntungan.

Wednesday, November 12, 2008

Harga Tambang AirAsia Mengelirukan ~ ref malaysiakini

Apabila kita membeli suatu barang di kedai, kita akan membayar mengikut tanda harga yang dilekatkan pada barang tersebut. Kalau kita bersetuju dengan harga yang dipamerkan itu maka kita akan beli untuk mendapatkannya. Cara ini memang mudah, jelas dan tidak mengelirukan orang ramai.

Tetapi kebiasaan ini tidak boleh dipakai pada harga tambang penerbangan AirAsia. Mungkin harga tiket yang diiklankan hanya RM9.90 untuk ke satu destinasi penerbangan, tetapi bila kita beli tiket tersebut harganya boleh mencecah lebih dari RM70. Ini memang mengelirukan.

Mungkin ini merupakan strategi AirAsia bagi menarik perhatian orang ramai untuk menggunakan penerbangannya, tetapi saya rasa cara ini adalah keterlaluan dan kurang bertanggungjawab.

Kalau kita hendak membeli kereta pun, penjual kereta akan menawarkan kepada kita harga di atas jalan bukan harga sebelum cukai. Kalau harga sebelum cukai dan tidak termasuk insuran tentu harga kereta itu kelihatan jauh lebih murah. Walupun kelihatan lebih murah tetapi tidak pernah pula penjual kereta menawarkan kepada kita harga sebelum cukai, kerana sudah tentu harga tersebut tidak membolehkan kita memandu keluar kereta tersebut dari kedainya.

Memang ada juga restoran-restoran yang mengenakan cukai kerajaan sekitar 5% bila kita beli makanan di restoran tersebut. Walaupun harga makanan yang dipamerkan tidak termasuk cukai 5% itu, tetapi ini tidak memberi banyak masalah kepada orang ramai kerana jumlah cukai yang dikenakan itu amat kecil. Kalau harga makanan itu sebanyak RM10, bermakna orang ramai kena membayar lebih 50 sen menjadi RM10.50.

Perbezaan yang kecil antara harga yang dipamer dengan harga yang pengguna kena bayar itu tidaklah menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan masih boleh diterima. Tetapi kalau perbezaannya sudah menjadi berlipat ganda dari RM10 kepada RM70, ini sudah tidak masuk akal.

Kalau di masa dulu, kalau kita beli tiket penerbangan MAS, kita akan bayar seperti harga tiket yang dipamerkan. Kita tidak akan dikenakan apa-apa bayaran tambahan selain dari harga tiket itu. Bila kita bayar harga tersebut pasti kita akan sampai ke tempat yang kita hendak tuju. Cara ini mudah, jelas dan tidak mengelirukan.

Tetapi bila kerajaan mula menggalakkan perkhidmatan awam diswastakan, maka bermulalah episod demi episod ‘penipuan’ terhadap pengguna. Sudah menjadi kebiasaan syarikat-syarikat swasta ini mengenakan caj-caj tersembunyi kepada orang ramai. Mereka mengambil kesempatan di atas kejahilan orang ramai.

Kita bersetuju perkhidmatan awam diswastakan untuk memberi perkhidmatan yang lebik baik dan cekap kepada orang ramai, tetapi janganlah sampai boleh menimbulkan kekeliruan dan menyusahkan orang ramai.

Pemimpin sepatutnya membela dan berjuang untuk rakyat, bukannya berjuang dan menjaga kepentingan pelabur dan pemegang saham dengan menggunakan landasan undang-undang bagi ‘merompak’ rakyat.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com