Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label integriti. Show all posts
Showing posts with label integriti. Show all posts

Wednesday, May 05, 2010

Kalau kita tak bunuh, kita akan dibunuh


Selalu kita dengar berita dimana penjenayah dan perompak ditembak mati oleh polis. Skrip berita yang dilapurkan media setiap kali penjenayah ini ditembak mati hampir sama saja. Polis terpaksa melepaskan tembakan atau membalas tembakan kerana penjenayah terlebih dahulu menembak polis atau cuba menyerang polis. Penjenayah yang ditembak mati itu pula adalah penjenayah yang sangat dikehendaki dan sangat bahaya.

Dengan justifikasi atau alasan yang diberi, orang ramai rasa berpuas hati dan tidak pernah mempersoalkan kematian mereka. Orang ramai juga tidak ambil pusing pihak mana yang menembak dan menyerang terlebih dahulu. Malah orang ramai rasa lega bila penjenayah yang didakwa merbahaya ini dapat dibunuh dan ditumpaskan, dengan harapan tidak ada lagilah penjenayah di masa akan datang.

Mangsa-mangsa yang pernah mengalami dirompak dan dicederakan oleh penjenayah tentu sangat gembira bila ada berita penjenayah ditembak mati oleh polis.

Telah banyak juga penjenayah telah ditembak mati dan telah banyak geng penjenayah telah tumpas, tetapi kejadian jenayah tidak juga berkurang.

Tidak dinafikan anggota dan pasukan polis rasa tertekan dengan banyaknya kejadian jenayah yang berlaku sekarang ini. Penjenayah-penjenayah ini pula sangat licik hingga sukar dijejaki.

Masyarakat pula sentiasa menyalahkan kelembaban pihak polis kerana tidak dapat membenteras kejadian jenayah yang tidak pernah habis-habis.

Selalunya skrip oleh pihak polis bila berlaku penjenayah ditembak mati berjalan lancar seperti biasa sehinggalah kejadian itu berlaku kepada adik Aminul Rasyid Amzah. Kalaulah dalam kejadian itu bukan adik Aminul Rasyid tetapi adalah seorang penjenayah yang sangat dikehendaki, tentulah orang ramai tidak akan bertanya pihak mana yang menyerang terlebih dahulu dan berapa banyak das tembakan yang dilepaskan.

Integriti mesti ada kepada setiap warga termasuk juga anggota polis. Penjenayah tidak boleh dihukum dicabut nyawanya tanpa melalui proses makamah. Polis atau siapa saja dibenarkan mengambil tindakan mempertahankan diri. Polis juga patut membalas tembakan jika berdepan dengan penjenayah yang cuba menyerang polis dengan senjata api. Tetapi adakah prinsip-prinsip ini benar-benar diamalkan oleh setiap anggota polis?

Kita tidak boleh membunuh orang semata-mata kerana takut kita akan dibunuh. Dan lebih tercela lagi kalau ada pemikiran yang tertanam pada seorang anggota polis, bahawa mudah untuk naik pangkat jika dapat membunuh penjenayah.

Wednesday, April 21, 2010

Antara integriti dan pembangunan

Macam-macam dasar telah digubal, macam-macam program dan rancangan telah diwujudkan, dari DEB hinggalah ke MEB, dari Wawasan 2020 hinggalah ke 1Malaysia, semuanya itu adalah atas nama untuk membangun dan untuk maju.

Walaupun sebelum merdeka, tahap pembangunan bandar-bandar di Malaysia seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, sama saja seperti bandar Singapura. Tetapi hari ini kita dapat lihat perbezaan yang begitu jauh antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Hampir setiap hari Perdana Menteri dan Menteri-menteri di Malaysia bercakap pasal pembangunan dalam TV, radio dan suratkhabar tetapi keadaan pembangunan Kuala Lumpur atau Pulau Pinang tidak juga setanding dengan Singapura.

Singapura merupakan negara pulau yang kecil dimana tanah dan sumber semulajadi yang begitu terbatas, masih dapat menyediakan rumah kediaman dan kemudahan asas yang selesa kepada rakyatnya. Sebaliknya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru masih ramai rakyat yang tinggal berhimpit di kawasan setinggan dengan pemandangan yang meloyakan.

Manakala rakyat yang tinggal di kawasan taman-taman perumahan pula sering mengadu khidmat kebersihan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tidak memuaskan. Sampah lambat dipungut, longkang-longkang dan parit sering tersumbat. Anjing-anjing liar yang banyak, ‘mengembur’ tong sampah, menambah burukkan keadaan pemandangan sekitar.

Kerja-kerja projek pembinaan yang tidak mengikut peraturan telah menyebabkan parit dan sungai dipenuhi timbunan tanah dan sampah. Bila musim hujan, berlakulah banjir dan tanah runtuh yang sering menjejaskan keselesaan hidup rakyat.

Sebenarnya pemimpin dan rakyat kita mempunyai rancangan, dasar, program yang sangat lengkap dan cantik untuk membangunkan negara kita ini, tetapi kita masih tidak berjaya seperti Singapura kerana kita tidak ada INTEGRITI.

Aduan rakyat tidak pernah menjadi keutamaan kecuali kalau ada nilai politik dan kalau ada nilai ekonomi. Anjing-anjing liar tidak akan dihambat sehinggalah kalau ada berita di TV kanak-kanak yang kena baham anjing.

Ada seorang tua di kampung saya di Kuala Pilah marah-marah dan merungut kerana wakil rakyat ditempatnya telah menyampaikan hadiah kerusi roda kepada beliau di majlis penyampaian bantuan untuk warga emas di kampung itu. Beliau marah kerana diberikan kerusi roda, walhal beliau masih boleh berjalan, walaupun kaki beliau sekali-sekala memang sakit.

Orang dah nak bagi kerusi roda pun jadi masalah kepada orang tua ini, kalau tak nak pakai simpan sajalah, atau pun jual saja kepada orang lain.

Sebaliknya di kampung mertua saya di Johor Bahru pula, seorang yang hilang upaya untuk bekerja telah lebih setahun memohon bantuan JKM tetapi hingga sekarang masih tidak menerima apa-apa bantuan lagi.

Itulah beza antara Kuala Pilah dan Johor Bahru, satu di kawasan yang keadaan UMNO begitu genting dan satu lagi di kawasan yang 50 tahun lagi pun UMNO belum tentu kalah.

Semua keadaan penyelewengan yang telah menyusahkan kehidupan rakyat ini hanya akan dapat diatasi jika semua rakyat ada kesedaran untuk memilih INTEGRITI.

Wednesday, January 20, 2010

Penangan Blog

SAYA hanya aktif sebagai ahli blog bermula tahun 2006. Sebelum itu saya banyak mengambil bahagian menulis dalam internet dengan meyertai perbincangan dalam forum-forum dan menulis ke Malaysiakini dalam ruangan Surat Pembaca. Saya suka menulis perkara-perkara atau isu-isu yang berkaitan sosial, pelajaran dan politik.

Tidak dinafikan, dengan adanya media bebas yang baru menggunakan internet ini telah banyak mengubah cara pandangan dan pemikiran rakyat Malaysia. Kalau dahulu rakyat hanya terdedah kepada satu pandangan sahaja, yang mana media dimonopoli oleh parti yang memerintah. Di waktu itu kalau kita tidak suka dengan Berita Harian kita boleh baca Utusan Malaysia, kalau tidak suka Utusan Malaysia kita boleh baca Berita Harian. Itu sahaja yang kita boleh pilih.

Kemuncak kejayaan pengaruh media internet kepada persepsi politik rakyat Malaysia telah ditunjukkan dalam pilihanraya 2008. Corak keputusan pilihanraya 2008 itu sangat jauh berbeza dengan keputusan-keputusan sebelum itu. Lima negeri telah jatuh ke tangan pembangkang (Pakatan Rakyat), di samping itu, hampir keseluruhan kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan juga dikuasai oleh parti pembangkang.

Terus terang saya katakan, sayalah antara orang yang paling gembira dengan keputusan pilihanraya itu. Saya gembira kerana rakyat Malaysia telah dapat melepasi halangan psikologi minda yang selama ini mereka telah ditanamkan dengan pemikiran yang pembangkang mustahil boleh menang di Malaysia.

Hasrat saya hendak melihat rakyat Malaysia telah matang dan faham tentang politik dan demokrasi seperti telah tercapai. Dengan itu selepas sahaja pilihanraya 2008 saya telah bertekad hendak bersara dari menulis hal politik dalam internet mahupun blog. Rasanya tidak ada apa lagi yang perlu saya tulis kerana semua apa yang saya citakan telah tercapai.

Tetapi sifat semulajadi saya yang tidak boleh berdiam diri bila melihat kepincangan dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia menyebabkan saya terus terpanggil untuk menulis. Seperti rakan-rakan pemblog yang lain, saya akan mengkritik, menegur dan memberi pandangan terhadap isu-isu semasa dan politik yang berlaku dalam Negara kita.

Blog saya, Isu Semasa, Sosial dan Politik (ISSP) telah menjadi sumber maklumat utama kepada saya untuk mengetahui perkembangan semasa yang berkaitan politik dalam Negara kita. Dalam ‘blog list’ saya tersenarai lebih 200 blog yang secara aktif melapur dan memberi pandangan dari masa ke semasa tentang segala peristiwa yang berlaku dalam Negara kita. Bagi saya, pandangan mereka adalah merupakan pandangan umum rakyat Malaysia yang tidak boleh diambil ringan, dan blog mereka juga mempunyai pengaruh dan pengikut yang tersendiri.

Ada di antara blog-blog itu seperti telah mencapai taraf institusi di mana mempunyai integriti, kredibiliti dan identiti yang tersendiri.

Blog Tun Dr. Mahathir Mohammad, Che Det, boleh dikatakan sebagai bloglist ‘wajib’ bagi semua pengendali blog. Tun Mahathir suka memberi pandangan terhadap sesuatu isu semasa, dan orang ramai suka hendak mendengar pandangan dari Tun.

Blog yang dikendalikan oleh Dato’ Kadir Jasin juga tidak kurang popular. Sebagai bekas wartawan, Kadir Jasin pandai menulis dengan gaya yang menarik. Semua orang sentiasa tertunggu-tunggu ‘posting’ terbarunya.

Blog Cina Islam yang dikendalikan oleh ADUN Titi Serong, sangat popular kerana menjadi tumpuan orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini detik-detik ‘panas’ di DUN Perak tidak lama dulu.

Blog yang dikendalikan Nobisha pula banyak memberi nasihat, panduan dan pendidikan kepada rakan-rakan blog yang lain. Nobisha sangat mengutamakan etika, beliau seorang yang adil dalam memberi pandangannya. Seorang pengendali blog yang baik dan boleh dianggap guru kepada pengendali blog politik.

Blog Tukar Tiub yang dikendalikan oleh Hishamuddin Rais sangat sinonim dengan gelak sindiran kah kah kah kah kah. Mungkin beliau berasa lucu melihat gelagat orang Melayu memperbodohkan orang Melayu sendiri. Beliau melihat sesuatu isu dari sudut yang tersirat disebalik apa yang disurah. Orang ramai terutamanya golongan muda sangat suka dengan cara beliau membongkar sesuatu isu. Seorang pemikir yang begitu luas pengalaman. Namun bau badannya masih hangit dengan sosialis.

Blog Nur Aflah, salah satu blog politik yang dikendalikan oleh wanita yang begitu menonjol. Sudah menjadi sifat semulajadi wanita yang suka mengubah-ngubah kedudukan perabut di rumah, jangan terperanjat kalau setiap kali kita menjenguk blognya, setiap kali juga rupa ‘layout’ blognya berubah.

Blog Dari Lensa ZI dikendalikan oleh Dato’ Zaid Ibrahim. Saya sangat menyukai pandangan Dato’ Zaid, kerana dia adalah juga seorang pejuang demokrasi yang bebas, telus dan adil. Kita tidak terkilan kalau anak kita dihukum kerana melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang, tetapi yang kita terkilan kalau anak kita dihukum hanya kerana tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli hakim.

Blog yang dikendalikan oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Asri, sangat diminati ramai oleh umat Islam di Malaysia. Pandangannya terhadap sesuatu isu yang berkaitan permasalahan agama dianggap sebagai fatwa yang boleh diterima pakai. Seorang berfikiran terbuka, tidak terikat kepada pandangan lama yang jumud. Diharap beliau terus kekal sebagai orang yang tidak berparti dan terus menyumbang kepada dunia Islam dalam menghadapi dunia moden hari ini.

The Antics of Husin Lempoyang, blog yang membawa gaya P. Ramlee dalam memberi pandangan dan kritikan. Ceritanya berlaku di Negara Antah Berantah tetapi yang terkena pedasnya kita di Malaysia.

Blog Paneh Miang, ini blog dari Pak Sedaro yang selalu mengingatkan anak-anak sedaro dio tontang banyak isu. Bilo baco blog ni, dapek jugolah mengubek rindu kepado cakap-cakap tompek kito sambil menjongok apo yang berlaku dalam nogori bawah pimpinan Mad Hasan ini. Blog ini juga bersedaro dengan blog Tukang Sapu.

Blog Malaysia Waves diminati oleh ahli-ahli PAS kerana banyak mengkritik dan mendedahkan individu-individu yang dianggap menjadi proxy UMNO dalam PAS. Tulang Besi seperti seorang budak yang nakal dalam parti PAS.

Ridhuan Tee, satu blog yang agak baru, tetapi telah mendapat perhatian orang ramai dengan cepat. Blog ini memaparkan pandangan saudara Ridhuan yang juga tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia. Tulisannya agak berani, menegur puak-puak yang bersikap ultra kiasu. Beliau seperti lebih Melayu dari Melayu.

Blog Zulkifli Nordin juga tidak asing kepada kita, seorang yang mempunyai prinsip dan pendirian terutamanya dalam menegakkan keadilan. Oleh itu, kadang-kadang pandangannya berbeza dengan pandangan pimpinan utama Pakatan Rakyat.

Banyak lagi blog-blog yang begitu unik yang dibaca dan diikuti oleh ramai orang yang tak mungkin dapat saya komen di sini, tetapi apa pun mereka semua telah banyak memberi sumbangan kepada kebaikan kepada Negara yang tercinta ini.

Pandangan kita mungkin berbeza, tetapi ini tidak bermakna kita bermusuhan. Demokrasi memberi kita semua ruang untuk memberi pandangan. Dengannya juga pandangan yang terbaik akan dapat sampai ke pengetahuan semua lapisan masyarakat.

Thursday, April 02, 2009

PAK LAH, BAPA PENGANJUR INTEGRITI


PAK LAH dengan integriti adalah dua perkara yang sangat sinonim.
Tidak dapat dinafikan nilai integriti yang menjadi amalan dan nilai yang dihayati oleh Pak Lah itulah yang telah membawa beliau kepada kedudukan yang tertinggi dalam kepimpinan Negara.

Pak Lah akan dingati oleh rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri yang sangat mementingkan integriti, ini dapat dilihat bila sebaik saja beliau mengambil alih pemerintahan Negara, beliau telah menunjukkan rasa kurang senang dengan badan-badan penguatkuasa seperti badan kehakiman, Polis dan Badan Pencegah Rasuah, yang mana kredibiliti badan-badan tersebut pada pandangan rakyat ketika itu berada pada tahap yang amat jelek.

Banyaklah usaha-usaha yang telah beliau cadangkan bagi membaiki kredibiliti dan integriti badan-badan tersebut termasuklah menubuhkan beberapa suruhanjaya bagi memantau dan penambahbaikan. Walaupun tidak dapat dipastikan samada badan-badan penguatkuasa ini telah bertambah baik, sekurang-kurangnya adalah usaha telah beliau dilakukan.

Pak Lah juga mengamalkan sikap lebih terbuka dan suara rakyat juga dapat disampaikan dengan lebih bebas berbanding dengan pemerintahan sebelum itu.

Atas usaha dan jasabaik beliau jugalah Anwar Ibrahim dapat dikeluarkan dari penjara. Walaupun tindakan yang beliau ambil itu telah menggugat kedudukan beliau dan parti BN sendiri tetapi kesan jangkapanjangnya sangat baik kepada amalan demokrasi Negara ini. Tentunya ia akan dapat meneguhkan sistem ‘check and balance’ yang akan memberi kebaikan kepada Negara juga.

Di sini kita dapat melihat beliau seorang pemimpin yang patriotik yang berpandangan jauh. Beliau tidak mementingkan diri untuk terus berkuasa sebaliknya mahu melihat Negara sentiasa berintegriti.

Antara kata-kata Pak Lah yang tidak mungkin dapat kita lupakan ialah:

“Jangan bekerja untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya”.

“Negara kita mempunyai fasarana kelas pertama dunia tetapi kebanyakan kita masih berpemikiran kelas ketiga”.

“Perubahan dalam UMNO hanya boleh berlaku bila kita sebagai ahli UMNO mengatakan aku mesti berubah”.

Pak Lah seorang yang merendah diri, banyak senyum dan boleh di dampingi oleh sesiapa saja. Pernah Ketua Wanita Umno Rafidah Aziz melarang orang ramai memanggil beliau dengan sebutan ‘Pak Lah’, sebaliknya Pak Lah telah membantah saranan Rafidah itu dan menyatakan berasa selesa dengan panggilan itu.

Pak Lah sangat menekan pembinaan modal insan, selaras dengan itu beliau mengarahkan atau menganjurkan khidmat pendidikan kepada rakyat haruslah diberi percuma atau dengan bayaran yang minimum. Jauh berbeza dengan masa Tun Mahathir, bidang pendidikan banyak dikomersialkan sehingga membebankan rakyat sendiri.

Pak Lah juga sangat menekankan bidang pertanian dan pengeluaran makanan. Polisi Pak Lah yang pragmatik ini sangat membantu kita dalam menghadapi kemelesetan ekonomi dunia sekarang ini. Usaha Pak Lah dalam mengurangkan defisit Negara dan memperkukuh sektor pertanian dan pengeluaran makanan adalah satu pandangan jauh beliau dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu ini.

Sedangkan Tun Mahathir yang mempunyai polisi pelik dalam ekonomi telah menganjurkan kita harus berbelanja besar mendirikan projek-projek mega bagi merancakkan ekonomi Negara. Semua orang kena belanja duit yang ada, bukan menyimpan, supaya perniagaan akan menjadi rancak dengan itu ekonomi Negara kelihatan seperti teguh.

Dasar ekonomi cara Tun Mahathir itu umpama gelendong-gelendong buih yang besar, kelihatan saja besar tetapi tidak ada isi. Dasar ekonomi beliau itu umpama berniaga dalam sekim cepat kaya. Bila duit baru tidak masuk kerana sudah berkurangan ahli baru akhirnya sekim itu akan runtuh juga.

Kalau kita amalkan cara ekonomi seperti itu, semua orang akan kelihatan seperti sibuk membuat kerja, tetapi sebenarnya mereka membuat kerja tolak habuk. Kerajaan Amerika terpaksa menyuntik berbillion dolar kepada syarikat-syarikat besar yang tenat di Negara itu termasuk jugalah Negara kita yang menyuntik lebih RM60 billion bagi mengekalkan pekerja-pekerja tolak habuk ini untuk terus mendapat gaji dan pendapatan.

Walaupun turunnya Pak Lah dari kerusi Perdana Menteri tidak ditangisi oleh kebanyakan ahli-ahli UMNO sendiri, tetapi saya percaya semua rakyat termasuklah parti lawan tetap akan menghargai sumbangan-sumbangan beliau kepada Negara. Malah Presiden PAS Ustaz Hadi Awang sendiri secara terang telah menyokong beliau untuk terus menjadi PM sehingga pilihanraya umum akan datang.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, sebagai manusia Pak Lah tidak teraga-agak untuk mengaku dirinya juga mempunyai kelemahan. Rasanya tidak perlulah dan tidak manis untuk kita sebutkan kelemahan-kelemahan beliau itu disaat menjelangnya hari beliau hendak turun dari jawatan PM ini. Tetapi apa yang kita hendak sebut disini ialah Pak Lah telah menunjukkan sikap kebertanggungjawaban yang amat tinggi kerana berani mengaku kesalahan dan kelemahan dirinya.

Sebagai rakyat, tiadalah yang lebih berharga dan sangat tepat yang dapat kita berikan kepada beliau selain dari memberikan beliau gelaran “Bapa Penganjur Integriti” atau seumpamanya, seperti gelaran-gelaran Bapa yang tertentu yang telah diberikan kepada semua perdana menteri yang sebelum ini.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com