Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label fatwa. Show all posts
Showing posts with label fatwa. Show all posts

Thursday, May 05, 2011

Isteri sekarang semua bekerja, suami tak wajib lagi bagi nafkah zahir?

Ada pendapat mengatakan suami tak boleh guna duit gaji isteri untuk perbelanjaan rumahtangga. Kerana sudah menjadi tanggungjawab suami menanggung nafkah rumahtangga, oleh itu perbelanjaan mestilah datang dari duit gaji suami sendiri. Kalau suami dengan sengaja, enggan bekerja untuk mencari nafkah maka dengan itu si suami telah melanggar hukum syarak.

Isteri pula tidak wajib untuk mencari nafkah, oleh itu isteri tidak wajib untuk bekerja. Kewajipan isteri adalah untuk melayan suami ketika suami berada di sisinya.

Kalau suami tidak mendapat layanan dari isteri maka isteri boleh dipersalahkan oleh hukum syarak. Layanan dari isteri kepada suami yang dimaksudkan oleh syarak ini hanyalah terbatas kepada melayan kehendak seks suami sahaja. Manakala layanan untuk memasak, menyediakan makan minum suami dan urusan-urusan rumahtangga yang lain itu hanyalah harus sahaja, dan bukanlah suatu yang wajib.

Dengan kata lain, setiap isteri wajib melayan kehendak seks suaminya, sebaliknya kerja-kerja rumahtangga yang lain itu hanyalah di atas budi bicara isteri sahaja. Walaupun tidak patut kalau si isteri tidak mahu memasak untuk suaminya, tetapi ini tidaklah bermakna dia berdosa kalau dia enggan melakukannya.

Di zaman nabi dulu, memang kebiasaan orang lelaki bekerja untuk menanggung makan minum keluarga mereka. Begitu juga di negara kita Malaysia sebelum era merdeka, kebiasaannya, suamilah yang keluar bekerja untuk menanggung kehidupan keluarga. Di waktu itu, jarang-jarang orang perempuan yang keluar bekerja.

Rata-rata orang Melayu sebelum merdeka, bekerja sebagai petani, menanam padi dan menoreh getah. Kerja-kerja sebegini memerlukan tenaga yang kuat, yang sesuai untuk dilakukan oleh orang lelaki sahaja.

Suami yang telah penat bekerja di ladang-ladang ini apabila balik ke rumah tentu tidak mampu untuk membuat kerja-kerja rumahtangga, maka di sinilah para isteri mengambil peranannya untuk membantu si suami menguruskan kerja-kerja rumahtangga yang tidak begitu berat untuk dilakukan oleh wanita..

Pembahagian kerja antara kerja mencari nafkah kepada suami dan kerja rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh pakaian, menjaga anak kepada isteri secara semulajadi berjalan tanpa pernah dipersoalkan dan telah dapat diterima sebagai amalan budaya kehidupan masyarakat kita.

Bagi rumahtangga yang hanya suami bekerja, lazimnya wang dipegang sepenuhnya oleh si suami. Cara bagaimana dia menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan rumahtangganya, bergantunglah kepada budi bicara si suami. Terdapat juga suami yang menyerahkan semua wang gajinya setiap bulan kepada isterinya bagi mengurus perbelanjaan rumahtangga mereka.

Ada juga suami yang memberikan hanya sebahagian dari wang gajinya kepada isteri, mengikut yang difikirkannya wajar. Ada juga hanya memberi wang kepada isteri bila isterinya meminta untuk membeli barang yang diminati atau diperlukannya. Tetapi bila suami memegang sepenuhnya wang gaji, berlaku juga keadaan di mana suami tidak bersetuju dengan apa yang hendak dibeli oleh isteri. Dengan itu isteri tidak dapat membeli mengikut kehendak hatinya, kalau tanpa persetujuaan suaminya. Mungkin di sini timbul rasa tidak puas hati kepada isteri kerana tidak dapat membeli barang yang dihajatinya.

Di zaman sekarang, cara hidup kita telah jauh berubah, sudah menjadi perkara biasa kalau para isteri keluar bekerja. Malah ada isteri yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dari suami mereka.

Apakah kita perlukan satu fatwa yang baru bagi menyesuaikan dengan keadaan zaman sekarang ini yang rata-ratanya suami dan isteri keluar bekerja? Apakah nafkah bagi menanggung perbelanjaan keluarga itu masih juga terletak atas bahu suami juga?

Tentu banyak persoalan dan konflik yang timbul bila suami isteri bekerja. Isteri tentu akan mempersoalkan kenapa dia masih terus seperti lazimnya dibebankan dengan kerja-kerja rumahtangga seperti memasak dan menyediakan makan minum suami, mengemas rumah, sedangkan si isteri juga pergi keluar bekerja untuk mencari perbelanjaan kehidupan keluarga.

Malah yang lebih ekstrim lagi ada isteri berpendapat, duit gaji mereka tidak boleh diusik untuk digunakan bagi perbelanjaan rumahtangga kerana bagi mereka, duit untuk belanja mesti ditanggung oleh suami. Sebaliknya duit gaji mereka hanyalah untuk kegunaan mereka sahaja dan untuk beli apa yang mereka inginkan seperti barang-barang kemas dan barang-barang hiasan yang mereka minat.

Di sini timbul soal bagaimana cara yang paling betul dalam mengendalikan rumahtangga bagi pasangan suami isteri yang bekerja ini. Apakah perlu kepada satu fatwa untuk menentukan cara yang paling betul itu. Dalam keadaan suami isteri bekerja, apakah duit gaji mereka mesti dikumpulkan dalam satu akaun sebagai harta sepencarian kemudian mereka boleh gunakan untuk apa saja keperluan rumahtangga mereka?

Adakah persetujuan untuk membeli barang-barang yang diperlukan oleh keluarga mereka mesti diputuskan atau mesti mendapat persetujuan pihak suami sahaja? Mungkin adakalanya permintaan oleh isteri untuk membeli barang yang dia suka akan dihalang oleh suami. Tentu akan timbul rasa tidak puas hati kepada isteri bila kehendaknya dihalang padahal dia pun sama-sama bekerja.

Dalam masa yang sama, disebabkan kedua-dua suami isteri keluar bekerja, maka adakah kerja-kerja rumah perlu dilakukan secara bersama dan tidak lagi dibebankan kepada isteri sahaja?

Kalau suami mahu isterinya berhenti bekerja dan hanya menumpukan kepada kerja-kerja rumahtangga sahaja, adakah perintah suami itu boleh diengkar? Kadang-kadang si suami terlalu keras dengan pegangan yang mengatakan apa yang hendak dilakukan oleh isteri wajib mendapat keizinan suami. Adakah dalam hal ini suami boleh melarang isteri dari keluar bekerja, dan isteri wajib patuh kepada arahan suami itu?

Kalaulah suami seorang sahaja yang bekerja dan isteri duduk di rumah menguruskan kerja-kerja rumah, apakah duit gaji si suami itu boleh dikongsi sama oleh isteri? Kebanyakannya dalam kes suami saja yang bekerja, duit sepenuhnya dipegang oleh suami dan suami akan memberi wang kepada isteri apabila hendak membeli sesuatu barangan yang diperlukan. Atas sebab-sebab tertentu mungkin kadangkala suami tidak bersetuju dengan barang-barang yang hendak dibeli oleh isteri itu, maka barang tersebut tidaklah jadi dibeli.

Kadang-kadang isteri lebih suka bekerja kerana dia merasakan dapat kebebasan menggunakan wang gajinya, kalau mengharapkan wang dari suami mungkin agak sukar sedikit. Kadang-kadang terpaksa merayu banyak kali barulah suami setuju membelinya. Oleh sebab ini jugalah si isteri lebih suka keluar bekerja, dengan cara ini dia mempunyai sumber pendapatan sendiri dan dapat menggunakan wang gajinya dengan bebas..

Tentulah tidak adil kepada suri rumah yang tidak keluar bekerja, terutamanya bila suami agak kedekut untuk membenarkan mereka memegang wang. Sudah tentu dia tidak dapat membeli barang-barang yang dihajatinya kalau suaminya tidak mahu membelikannya. Isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, sumber kewangannya hanya bergantung kepada suami sahaja. Dan tentu ada dalam pemikirannya kalau dia keluar bekerja dia lebih banyak dapat memiliki atau membeli barang yang dihajatinya lebih dari yang sepatutnya.

Tambahan pula sekarang ni peluang-peluang pekerjaan memang banyak untuk wanita, tentulah mereka rasa rugi kalau sepenuh masa menjadi suri rumah, sedangkan rakan-rakannya yang lain keluar bekerja dan dapat membeli apa saja barang yang diminati tanpa meminta-minta kepada suami.

Apakah satu peraturan perlu dibuat jika isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, pihak suami harus memberi gaji atau duit saku selain dari duit dapur kepada isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa ini. Manakala jumlah minimum wang yang perlu diberi oleh suami kepada isteri tersebut patut ditetapkan oleh pihak yang berwajib. Ini adalah sebagai ganti rugi kerana mereka tidak keluar bekerja.

Bagi suami yang beristeri dua atau lebih, apakah kemampuan suami diukur dari segi jumlah gaji beliau sahaja? Apakah kalau isteri-isteri mereka bergaji besar tidak boleh diambil kira untuk menilai kemampuan suami? Banyak mana pun wang tidak ada cukupnya. Kemahuan seseorang jauh lebih besar dari yang diperlukan. Kalau hendak diukur dari jumlah gaji suami untuk melayakkan seseorang suami tersebut untuk berkahwin dua maka tidak mungkin beliau akan layak kerana semakin besar gaji semakin banyak pula belanjanya.

Kita kena melihat perkara ini secara lebih umum, katakan bagi sebuah keluarga yang normal, gaji suami RM2000 sudah memadai untuk menampung dan memberi kehidupan yang agak selesa. Oleh itu kiranya gaji suami tersebut telah mencecah RM4000 maka ini sudah boleh diambil kira untuk melayakkan beliau untuk berkahwin dua.

Selama ini kita banyak membiarkan suami isteri berpakat dan berunding sesama sendiri untuk menentukan cara mana untuk mereka menguruskan perbelanjaan rumahtangga mereka. Memang cara begitulah yang kita rasakan terbaik, bila ada persefahaman, budi bicara dan tolak ansur maka cara mana pun tidak penting lagi. Yang penting keharmonian rumahtangga itu terus dapat dikekalkan.

Ada juga kes terpencil di mana isteri yang keluar bekerja dan suami pula sepenuh masa menguruskan kerja-kerja rumahtangga. Ini bukanlah suatu yang salah, yang penting disini suami isteri tersebut rela dan telah bersetuju dengan cara yang mereka ambil itu.

Tetapi tidak semua perkara boleh diputuskan secara berunding dan budibicara, dalam keadaan tertentu kita perlukan garis panduan yang dapat menggariskan hak-hak kita dan dengan ini kita boleh tahu di mana hak-hak kita. Garis-garis panduan ini seharusnyalah dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berwajib. Dengan adanya garis panduan itu tidaklah kita berasa bimbang akan terambil hak-hak orang lain tanpa kita sedari.

Adakalanya ada pihak samada isteri atau suami terpaksa menerima keputusan yang dicapai untuk menjaga hati pasangan masing-masing walaupun di dalam hati ada perkara yang mereka tidak begitu bersetuju. Dengan adanya garis panduan untuk hak-hak suami yang bekerja, hak-hak isteri yang bekerja dan hak-hak isteri yang tidak bekerja, maka tidak akan ada lagi timbul masalah suatu pihak cuba merampas hak pihak yang lain.

Sekarang ini ramai wanita yang bekerja, mempunyai gaji yang tinggi dan boleh menyara diri sendiri tetapi masih bujang kerana sukar mencari teman lelaki atau suami yang mampu menanggung nafkah zahir, lantaran lelaki yang ditemuinya bergaji kecil atau tidak punya kerja yang terjamin.

Oleh itu kita tidak boleh terlalu ‘rigid’ atau tegar dengan fatwa yang mewajibkan lelaki mesti menanggung perbelanjaan rumahtangga. Itu mungkin sesuai untuk zaman dulu kala yang isteri hanya duduk di rumah. Keadaan sekarang sudah berubah, tidak ada masalah kalau isteri harus menanggung perbelanjaan rumahtangga dan tidak ada masalah juga kalau suami yang menguruskan kerja-kerja rumahtangga jika keadaan memerlukan.

Kalau ada perubahan seperti ini dalam minda dan pemikiran masyarakat kita, maka pada masa akan datang, tidak jadi masalah lagilah untuk wanita menikahi lelaki yang bergaji kecil atau lelaki yang tidak bekerja, tanpa ada rasa rendah diri.

Wednesday, October 08, 2008

Mufti Perlis dan Politik. ~ref Malaysiakini


Berita Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hendak bersara dari jawatan Mufti Negeri Perlis telah mengejutkan banyak pihak.

Beberapa pandangan-pandangan Dr. Mohd Asri yang berani dan sesetengahnya dilihat berbeza dari aliran ‘tradisional’ itu telah mendapat perhatian dan tarikan meluas dikalangan masyarakat kita.

Tentunya kita akan kehilangan seorang mufti yang berwibawa, mempunyai keintelektualan tinggi, berfikiran terbuka, berhujah dengan fakta dan ilmu, dan lebih utama lagi berani menegur siapa saja termasuk pihak yang berkuasa.

Kita berasa amat kesal kerana faktor yang membuatkan beliau ingin meletak jawatan itu adalah disebabkan ‘permainan politik’ pihak-pihak tertentu dalam kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam berita Malaysiakini.

Campur tangan politik telah menyebabkan Negara kehilangan seorang mufti yang sangat berwibawa, ketika kita semua sangat-sangat memerlukan khidmat beliau.

Perlantikan Mufti di Negara kita ini adalah di bawah kuasa sultan dan raja negeri-negeri setelah mendapat nasihat dari Menteri Besar dan Ketua Menteri. Melihat kepada proses perlantikan mufti itu, kita dapati ia tidak terlepas dari pengaruh politik atau penguasa sesebuah negeri.


Tentu tidak ada jaminan sesuatu fatwa yang hendak diputuskan atau difatwakan itu benar-benar bebas dari kehendak penguasa atau pemimpin politik. Ada kemungkinan mufti yang tidak sehaluan dengan kehendak kepimpinan negeri boleh ditamatkan jawatannya dan seterusnya boleh pula digantikan dengan orang-orang yang difikirkan sehaluan dengan kepimpinan untuk dilantik menjadi mufti.


Selagi kuasa penuh perlantikan mufti terletak dalam tangan pemimpin negeri, tidak mungkin mufti dapat benar-benar bebas dalam memberikan fatwa sesuatu isu atau masalah yang sedang berlaku. Ada kemungkinan juga pemimpin-pemimpin politik boleh menggunakan institusi mufti untuk kepentingan dan agenda mereka.


Oleh itu untuk menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan oleh institusi mufti maka kenalah terlebih dahulu dipastikan institusi mufti ini benar-benar bebas dari pengaruh penguasa terutamanya dalam soal perlantikannya.


Kita tidak mahu mufti kita sama tarafnya dengan mufti di Negara Soviet Union di satu masa dulu. Walaupun institusi mufti ada tetapi mereka terikat dengan kehendak dan aspirasi regim Moscow. Fatwa oleh ulama dan mufti yang bebas bukan sahaja akan dipatuhi oleh rakyat sesuatu Negara itu tetapi juga turut dihormati dan dipatuhi oleh masyarakat Islam seluruh dunia.


Sebagai contoh, ulama Yusof Al Qardhawi dari mesir, dia bukan sahaja dapat membebaskan dirinya dari pengaruh mana-mana kumpulan politik tetapi juga bebas dari segala kepentingan duniawi. Tidak hairanlah kalau fatwa beliau dihormati bukan sahaja oleh masyarakat Mesir tetapi juga oleh masyarakat Islam seluruh dunia.


Oleh itu mesti ada pemisahan kuasa antara pihak esekutif atau penguasa dengan institusi mufti bagi menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan. Kemungkinan berlaku berlainan pandangan dan pendapat antara institusi mufti yang bebas dan penguasa tentu ada. Tetapi ini lebih baik dari mempunyai mufti yang fatwa mereka sentiasa mengikut telunjuk penguasa.


Sedangkan fatwa mestilah tidak boleh sama sekali bercanggah dengan roh Al Quran dan Sunnah, dan tidak boleh tunduk dengan kepentingan-kepentingan lain. Tugas institusi mufti adalah megeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu, terpulanglah kepada pihak penguasa dan rakyat untuk mematuhinya atau pun tidak.


Sebagai contoh, andaikata peraduan kuiz yang ditaja oleh syarikat perkhidmatan telefon itu diputuskan fatwanya oleh institusi mufti sebagai haram kerana ada unsur judi, maka tidak semestinya pihak yang menaja kuiz itu perlu memberhentikan program kuiz itu. Yang pentingnya di sini ialah orang ramai telah dapat panduan tentang halal dan haram tentang program kuiz itu.


Di sinilah pentingnya institusi mufti yang bebas, supaya fatwa yang diputuskannya tidak di pengaruhi oleh penguasa dan tidak terikat dengan apa-apa kepentingan selain dari memberi garis panduan yang betul kepada umat Islam bersesuaian dengan roh Al Quran dan sunnah nabi, demi kesejahteraan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri.

Wednesday, June 11, 2008

Layakkah Mufti kita mengeluarkan fatwa?

Perlantikan Mufti di Negara kita ini adalah di bawah kuasa sultan dan raja negeri-negeri setelah mendapat nasihat dari Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Melihat kepada proses perlantikan mufti itu, kita dapati ia tidak terlepas dari pengaruh politik atau penguasa sesebuah negeri. Tentu tidak ada jaminan sesuatu fatwa yang hendak diputuskan atau difatwakan itu benar-benar bebas dari kehendak penguasa atau pemimpin politik.

Ada kemungkinan mufti yang tidak sehaluan dengan kehendak kepimpinan negeri boleh ditamatkan jawatannya dan seterusnya boleh pula digantikan dengan orang-orang yang difikirkan sehaluan dengan kepimpinan untuk dilantik menjadi mufti.

Selagi kuasa penuh perlantikan mufti terletak dalam tangan pemimpin negeri, tidak mungkin mufti dapat benar-benar bebas dalam memberikan fatwa sesuatu isu atau masalah yang sedang berlaku.

Ada kemungkinan juga pemimpin-pemimpin politik boleh menggunakan institusi mufti untuk kepentingan dan agenda mereka.

Oleh itu untuk menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan oleh institusi mufti maka kenalah terlebih dahulu dipastikan institusi mufti ini benar-benar bebas dari pengaruh penguasa terutamanya dalam soal perlantikannya.

Kita tidak mahu mufti kita sama tarafnya dengan mufti di Negara Soviet Union di satu masa dulu. Walaupun institusi mufti ada tetapi mereka terikat dengan kehendak dan aspirasi regim Moscow.

Fatwa oleh ulama dan mufti yang bebas bukan sahaja akan dipatuhi oleh rakyat sesuatu Negara itu tetapi juga turut dihormati dan dipatuhi oleh masyarakat Islam seluruh dunia.

Sebagai contoh, ulama Yusof Al Qardhawi dari mesir, dia bukan sahaja dapat membebaskan dirinya dari pengaruh mana-mana kumpulan politik tetapi juga bebas dari segala kepentingan duniawi.

Tidak hairanlah kalau fatwa beliau dihormati bukan sahaja oleh masyarakat Mesir tetapi juga oleh masyarakat Islam seluruh dunia.

Oleh itu mesti ada pemisahan kuasa antara pihak esekutif atau penguasa dengan institusi mufti bagi menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan.

Kemungkinan berlaku berlainan pandangan dan pendapat antara institusi mufti yang bebas dan penguasa tentu ada. Tetapi ini lebih baik dari mempunyai mufti yang fatwa mereka sentiasa mengikut telunjuk penguasa. Sedangkan fatwa mestilah tidak boleh sama sekali bercanggah dengan ruh Al Quran dan Sunnah, dan tidak boleh tunduk dengan kepentingan-kepentingan lain.


Tugas institusi mufti adalah megeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu, terpulanglah kepada pihak penguasa dan rakyat untuk mematuhinya atau pun tidak. Sebagai contoh, andaikata peraduan kuiz yang ditaja oleh syarikat perkhidmatan telefon itu diputuskan fatwanya oleh institusi mufti sebagai haram kerana ada unsur judi, maka tidak semestinya pihak yang menaja kuiz itu perlu memberhentikan program kuiz itu. Yang pentingnya di sini ialah orang ramai telah dapat panduan tentang halal dan haram tentang program kuiz itu.


Di sinilah pentingnya institusi mufti yang bebas, supaya fatwa yang diputuskannya tidak di pengaruhi oleh penguasa dan tidak terikat dengan apa-apa kepentingan selain dari memberi garis panduan yang betul kepada umat Islam bersesuaian dengan ruh Al Quran dan sunnah nabi, demi kesejahteraan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com