Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, September 14, 2010

Sultan Kelantan, rakyat yang berkuasa


Walaupun ada peruntukan dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan untuk menggantikan Sultan yang gering dengan Sultan yang baru tetapi seingat kita keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden raja-raja Melayu.

Mungkin pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya yang gering pada 13 September 2010 itu boleh dianggap kali pertama berlaku dalam sejarah moden ini.

Orang Melayu yang secara tradisinya sangat setia kepada Sultan dan Raja tidak tergamak hendak menurunkan Rajanya walaupun dalam keadaan gering sekalipun. Tindakan ini amatlah kurang manis melainkan kalau atas kehendak Sultan yang gering itu sendiri.

Mereka lebih rela dan selesa melantik pemangku Sultan bagi mewakili Sultan yang gering daripada menurunkan takhta Raja yang gering.

Dalam Negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja berpelembagaan, kita telah mengambil acuan dari sistem di Britain. Raja adalah sebagai simbol Ketua Negara atau Ketua Negeri yang tidak mempunyai kuasa politik. Raja tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran dan politik Negara dan negeri.

Tetapi kebanyakan orang Melayu masih dibayangi oleh sistem pemerintahan beraja (Monarki) yang bertapak sejak 600 tahun dahulu.

Mereka begitu taat dan setia kepada Raja sehingga tidak mampu untuk membantah jika Raja masuk campur urusan dalam hal-hal pentadbiran Negara dan Negeri.

Sebenarnya tidaklah menjadi masalah besar sangat kalau Pemangku Sultan Kelantan terus dikekalkan di jawatannya selagi Sultan masih gering atau sehingga Sultan mangkat, tanpa melantik Sultan yang baru. Kerana secara teorinya dalam sistem demokrasi Raja berpelembagaan, peranan Sultan bukanlah terlalu penting sangat sehingga menyebabkan pentadbiran dan politik negeri boleh tergendala tanpa kehadirannya.

Tetapi kerana keadaan tidak mengikut seperti teori atau seperti yang tertulis, peranan Sultan telah menjadi begitu penting. Ekoran perebutan takhta antara anak-anak Sultan Kelantan telah dilihat sebagai keadaan yang merbahaya kepada pentadbiran dan politik di Kelantan.

Oleh itu tidak hairanlah kalau pihak yang ‘berkuasa’ di Kelantan telah mengambil langkah yang drastik dengan melantik Sultan yang baru bagi menggantikan Sultan yang gering.

Tengku Muhammad Faris adalah anak sulung kepada Sultan yang gering, mempunyai peribadi dan akhlak yang baik. Adalah sangat sesuai kalau beliau menjadi Sultan Kelantan. Sikapnya yang mesra rakyat pasti tidak akan memberi kesusahan kepada rakyat Kelantan.

Yang lebih penting lagi beliau dapat diharapkan untuk memahami tanggungjawab beliau sebagai Raja dalam negeri yang mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan yang tidak akan memberi kesusahan dan tidak mencampuri urusan pentadbiran dan politik negeri Kelantan.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com