Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label professor. Show all posts
Showing posts with label professor. Show all posts

Sunday, April 11, 2010

He! he! kaki ampu sudah terkena




Saya rasa gelihati bila baca berita dibawah dalam Mingguan Malaysia hari ini (11 April 2010):

‘Kerabat raja’ ditahan


KUANTAN 10 April – Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
ditahan kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang supaya dapat mengadakan
lawatan ke semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini.
Bagaimanapun, penyamarannya dengan menggunakan gelaran Tuan Muda terbongkar
apabila salah seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating di sini
mengetahui identiti sebenarnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan,
Supritendan Zulkifli Taha berkata, pelajar berusia 18 tahun itu menyamar sebagai
anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan
memakai gelaran Tuan Muda.

Kerana sifat mengampu yang berlebih-lebih pada pegawai-pegawai kerajaan ini menyebabkan mereka begitu seronok bila ada ‘orang besar’ hendak datang melawat tempat mereka. Ini baru anak angkat raja, belum lagi yang datang itu anak raja. Kalau anak raja tentu lebih hebat sambutannya, mungkin ada karpet merah sekali.

Seronok juga kita melihat sekali-sekala orang yang kuat ampu ini terkena.
Budaya ampu ini sudah semacam menjadi amalan dan budaya sesetengah orang kita. Dikatakan, untuk ‘naik keatas’ tidak perlu sangat kepada ‘kemampuan’ seseorang tetapi yang lebih penting ialah ‘pengampuan’ seseorang.

Telah menjadi sindiran, doa yang perlu kita baca setiap hari untuk berjaya meraih pangkat dan tender ialah berbunyi “Wa anfu sana, Wa anfu sini”.

Di Malaysia, apa yang kita tahu tidaklah begitu penting, tetapi yang lebih penting ialah siapa yang tahu kita.

Walaupun ‘pelajar cermerlang’ telah ditangkap kerana kesalahan menyamar sebagai ‘Tuan Muda’, tetapi banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari peristiwa itu.

Dengan keadaan pegawai-pegawai kita yang kuat mengampu, bolehkah ‘pelajar cemerlang’ ini dapat kebenaran untuk melawat kem PLKN ini dengan mudah tanpa ada gelaran ‘Tuan Muda’ atau anak angkat raja?

Moga pihak hakim yang mengadili kes ‘pelajar cemerlang’ ini akan dapat mempertimbangkan keadaan ini dan meringankan hukuman beliau atau memaafkannya dengan amaran, tanpa dikenakan apa-apa hukuman. Sebaliknya biarlah peristiwa yang mengaibkan ini menjadi hukuman kepada pegawai-pegawai yang kuat mengampu ini.

Sebagai tambahan, saya diberitahu, pernah berlaku di mana seorang professor di sebuah universiti sanggup bangun pagi dan menggunakan kereta dan pemandu universiti untuk pergi ke lapangan terbang KLIA semata-mata hendak bersalam dengan Naib Canselor universiti tersebut yang hendak berangkat untuk lawatan ke luar negara.

Hai! Prof., kuat ampu nampak.

Saturday, April 18, 2009

Naib Canselor UTM Zaini Ujang



KIRA-KIRA sekitar jam 10 pagi tadi (17 April 2009) saya sempat mendengar ucapan Naib Canselor (NC) UTM Zaini Ujang yang berkunjung ke pejabat saya di salah satu Fakulti di UTM ini.

Oleh kerana isu yang hangat diperkatakan warga UTM sekarang ini ialah isu Key Performance Indicator (KPI) bagi para kakitangannya, maka beliau banyak menyentuh hal ini dalam ucapannya tadi.

Sepintas lalu saya dapat memberi gambaran NC Zaini Ujang ini adalah seorang ketua yang berkebolehan dalam memotivasi dan menggerakkan orang bawahannya kearah matlamat yang beliau kehendaki.

Dia seorang yang suka berkomunikasi dan tidak akan melepaskan peluang untuk berucap dikhalayak untuk menyampaikan mesej dan ideanya, dengan harapan segala agendanya dapat digarap dengan baik disemua peringkat.

Sebelum ini beliau dikenali sebagai seorang ahli akademik yang aktif dalam membuat penyelidikan dan telah menghasilkan beratus kertas penyelidikan yang tersiar dalam berbagai journal.

Kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk memimpin universiti seperti UTM ini sememangnya satu pilihan yang amat tepat.

Beliau bukan sekadar menjadi ketua yang hanya pandai bercakap tetapi juga mempunyai suri tauladan yang terbaik untuk semua kakitangan akademiknya.

Dalam ucapannya tadi, beliau menekankan betapa perlunya ahli akademik UTM mempunyai penanda aras yang tinggi, sekurang-kurangnya setanding dengan NUS di Singapura.

Tanpa niat untuk merendah-rendahkan universiti lain, beliau menyeru kakitangan akademik UTM supaya tidak sekadar cukup menjadikan Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Pahang sebagai penanda aras mereka.

Beliau juga menyindir sinis professor yang terlalu berbangga dengan gelaran professor tetapi kualiti akademik dan keilmuannya sangat rendah. Malah ada ahli akademik yang tidak segan silu untuk melamar jawatan professor walhal sumbangan mereka kepada perkembangan ilmu dan penyelidikan tidak seberapa.

Beliau juga memberi beberapa contoh beberapa professor ternama di barat, salah seorang darinya professor dari Denmark yang sangat berprinsip, mereka itu lebih rela kalau tidak diberi gelaran professor dari menjadi professor tetapi tidak mampu memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu dan penyelidikan.

Tentulah tidak sama nilai gelaran professor yang diberikan oleh Universiti di Sintok dengan gelaran professor yang diberikan oleh Universiti di Oxford.

KPI hanya berguna untuk menyelesaikan masalah jangka pendek. Kita tidak boleh bekerja semata-mata kerana untuk memenuhi KPI. Professor Ungku Aziz yang kita semua kenali itu tidak pernah pun melalui proses KPI ini.

PM Najib pun menggunakan KPI untuk memastikan ahli-ahli kabinetnya sentiasa berada dalam keadaan ‘top perform’. Tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan rakyat kepada BN semula.

Berbeza dengan ayah beliau Tun Razak dahulu, Tun Razak tidak perlukan KPI, tetapi yang mendorong beliau dan kabinetnya bekerja keras ialah kesedaran dan perihatin mereka untuk membaiki taraf kehidupan rakyat yang rata-ratanya miskin ketika itu. Mereka lakukannya dengan hati yang ikhlas untuk semua rakyat tanpa kira mereka menyokong parti pembangkang atau tidak.

Walaupun KPI boleh digunakan oleh pemimpin politik untuk memastikan parti mereka mendapat sokongan rakyat namun KPI tidak mampu untuk mengukur keikhlasan seseorang manusia.

Oleh itu untuk penyelesaian jangka panjang kita tidak boleh bergantung kepada KPI semata, tetapi perlu dalam masa yang sama sangat penting kita mendidik dan menanamkan budaya dan amalan yang positf dalam masyarakat kita secara berterusan.

Kalau kita mahu menjadi cemerlang dalam segala bidang, sikap amanah, rajin bekerja, bertanggungjawab, kesanggupan berkorban, tidak mementingkan diri dan sentiasa ingin menyumbang kebaikan kepada manusia adalah nilai-nilai yang mesti menjadi amalan kita.

Kita tidak akan sampai ke tahap yang membanggakan, kalau kita terus mengamalkan dasar ‘pengampuan’ dan mengenepikan dasar ‘kemampuan’ dalam keutamaan memberikan sesuatu jawatan kepada seseorang.

Thursday, February 05, 2009

RAKYAT NEGERI PERAK YANG MENANG ~ ref Malaysiakini

PERLUMBAAN untuk menguasai politik di negeri Perak antara BN dan PR sedang rancak berlangsung yang mungkin akan diketahui kesudahannya tidak berapa lama lagi.

Apa pun saya melihat persaingan sengit antara BN dan PR yang boleh dikatakan hampir seimbang bilangan ADUN mereka itu boleh membawa keuntungan kepada rakyat di negeri Perak sendiri.

Dalam kedudukan antara parti pemerintah dan parti pembakang berada dalam keadaan seimbang, tentunya pihak yang menang tidak akan dapat berbuat sewenang-wenangnya kepada rakyat negeri Perak.

Walaupun parti BN dapat menguasai Perak semula, sudah pasti cara pemerintahannya tidak akan sama seperti mereka memerintah sebelum ini.

Parti apa pun yang berkuasa di Perak, keadaannya sama seperti telor di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh jatuh kalau tidak berhati-hati, sedikit kesilapan saja boleh membawa kejatuhan kepada kerajaan mereka.

Yang pastinya rakyat akan dilayan seperti raja untuk memastikan mereka terus mengundi BN pada masa-masa akan datang. Undi rakyat adalah undi keramat yang akan menentukan turun naiknya sesebuah kerajaan.

Amalan kuasa politik dapat memperkayakan pemimpin dan kroninya tentunya tidak boleh berlaku di Perak, sebaliknya kita bakal melihat rakyat Perak lah yang akan akan dikayakan.
Kepada Menteri Besar Perak, Mohd Nizar walaupun ada kemungkinan beliau akan kehilangan jawatan itu, kita mengucapkan tahniah kepada beliau kerana telah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan dengan baik dan adil. Beliau menjadi MB yang disenangi oleh semua kaum walaupun belum sampai setahun memegang jawatan itu.

Diharap penyokong-penyokong beliau tidak akan melakukan tindak-tindakan bodoh yang emosional dan tidak matang. Hindarkan dari melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan usah melayan provokasi dari pihak lawan kerana ini akan memburukkan lagi keadaan.

Perak adalah satu negeri berbilang kaum yang kompisisi kaum Melayu, Cina dan India yang begitu ketara. Hindarkan kemelut politik ini dari merebak menjadi pertelingkahan kaum. Oleh itu kemelut politik yang berlaku ini hendaklah ditangani secara matang, biarlah diselesaikan secara aman melalui saluran undang-undang dan saluran politk.

Dunia masih belum kiamat, banyak lagi pilihanraya yang akan kita hadapi. Biarkanlah rakyat menghukum pemimpin yang durjana dan pengkhianat rakyat melalui peti undi.

Dalam masa yang sama, pastikan kita terus menerus memperjuangkan kebebasan badan perundangan, kebebasan media, kebebasan SPR , kebebasan polis dan badan pencegah rasuah, selari dengan amalan demokrasi. Kerana dengan ini sajalah kita dapat menjamin pilihan melalui peti undi itu adalah mencerminkan pilihan rakyat yang sebenar.

Monday, October 13, 2008

Ranking universiti dan Professor Kangkung.~ref Malaysiakini

Berbagai reaksi timbul bila membaca berita Malaysiakini yang melapurkan tidak ada universiti negara kita yang termasuk dalam kelompok 200 universiti terbaik di dunia.

Berikut komen dari saya:

Kecemerlangan sesebuah universiti banyak bergantung kepada keupayaan tenaga akademiknya. Universiti adalah tempat dimana ilmu peringkat paling tinggi diajarkan. Universiti adalah juga tempat ilmu-ilmu baru ditemui.

Tidak semua orang dapat menguasai sesuatu bidang ilmu dengan baik, dan tidak semua orang ada kemampuan untuk menemukan ilmu-ilmu baru. Hanya orang-orang yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan memiliki otak yang pintar sahaja dapat melakukannya.

Ilmu pengetahuan boleh dipelajari tetapi kebijaksanaan atau kepintaran adalah sesuatu yang tidak boleh didapati dengan belajar. Otak yang pintar adalah anugerah Tuhan kepada seseorang seperti mana Dia menganugerahkan kecantikan, suara yang lunak dan berbagai sifat istimewa lagi pada orang-orang tertentu.

Kenapa ranking universiti di Malaysia semakin jatuh? Jawabnya mudah, ini disebabkan kualiti kakitangan akademik di universiti kita tidak setanding dengan universiti-universiti yang rankingnya lebih tinggi itu.

Pada masa dulu Negara kita hanya ada satu universiti sahaja iaitu Universiti Malaya, pensyarah-pensyarah yang diterima bekerja di situ adalah di kalangan orang yang paling pandai di Malaysia ketika itu. Masa itu tidak banyak syarikat-syarikat swasta untuk orang bekerja. Pekerjaan sebagai pensyarah pada masa itu adalah dianggap sebagai pekerjaan yang bergaji lumayan dan berstatus tinggi dalam masyarakat.

Oleh itu kita tidak hairan kalau suatu masa dulu Universiti Malaya pernah mencapai kelompok ranking 50 teratas university terbaik di dunia. Tetapi kemudiannya keadaan di universiti-universiti di Malaysia telah berubah.

Apabila Negara kita semakin membangun banyak agensi-agensi kerajaan diwujudkan dan sektor-sektor swasta tumbuh dengan pesat. Universiti bukan lagi menjadi pilihan utama sebagai tempat untuk bekerja.

Bukan sahaja pelajar-pelajar yang pintar tidak berminat bekerja di universiti kita malah pensyarah-pensyarah pun ramai yang keluar dari universiti kerana tawaran gaji di luar terutamanya di sektor-sektor swasta yang jauh lebih tinggi dan menarik.

Akhirnya di universiti hanya tinggal orang-orang yang tidak laku di pasaran luar dan orang-orang yang betul-betul berminat bekerja sebagai ahli akademik yang tidak terpengaruh oleh habuan wang ringgit.

Lantaran itu universiti-universiti negara kita telah didominasi oleh pensyarah-pensyarah yang tidak berwibawa, mereka sukar untuk menguasai ilmu-ilmu baru, apatah lagi untuk membuat penemuan-penemuan ilmu baru.

Menambah buruk lagi keadaan apabila amalan pemilihan kenaikan pangkat kakitangan akademik di universiti dibuat tidak benar-benar berasaskan merit dan kecemerlangan akademik tetapi sebaliknya banyak didorong oleh kepentingan politik.

Maka ramailah pensyarah-pensyarah universiti dianugerahkan gelaran professor walaupun dari segi kualiti jika dibandingkan dengan professor di universiti ternama di luar Negara bagai langit dengan bumi. Bagi pemimpin politik, yang lebih penting professor-professor yang dilantik itu boleh terus menyokong polisi dan dasar kerajaan yang mereka dokong.

Professor-professor yang berkualiti rendah inilah yang pernah digelar oleh Professor Ungku Aziz sebagai ‘professor kangkung’.


Dari keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah menunjukkan sokongan orang Melayu kepada UMNO semakin merosot. Seolah-olah kepercayaan orang-orang Melayu terhadap parti UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu telah hilang.

Menyedari akan hal ini, menteri UMNO telah mengarahkan professor-professor di universiti membuat kajian semula terhadap keberkesanan pengajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris. Seperti semacam telah ditetapkan oleh sang menteri UMNO ini supaya kajian tersebut hendaklah menunjukkan pengajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris adalah tidak berkesan dan patut ditukar semula kedalam bahasa Melayu.

Tanpa disedari professor kangkung ini telah diperalatkan oleh pemimpin politik UMNO ini. Dengan keputusan menukar semula dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu ini seolah-olah menunjukkan UMNO telah memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Melayu. Maka dijangka berbondong-bondonglah orang Melayu menyokong UMNO semula.

Orang kampung tidak tahu yang menteri-menteri UMNO ini kalau berada di rumah bersama keluarga mereka, mereka lebih banyak bercakap Inggeris dari bercakap Melayu.

Saya masih ingat lagi semasa Mahathir hendak meyakinkan orang Melayu dalam melaksanakan polisi pengajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris ini, satu kajian telah juga dibuat setelah beberapa tahun pelaksanaannya dan keputusan hasil kajian itu telah dihebahkan kepada orang ramai sebagai memberangsangkan dan sangat berkesan.

Tetapi sekarang hasil kajian itu sudah terbalik pula. Poning kepalo den.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com