Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 08, 2011

Bersama kita melangkah kearah pemurnian demokrasi dan pilihanraya yang bersih

Pemurnian demokrasi perlu, kerana dapat menjamin Negara kita sentiasa dapat pemimpin yang terbaik dalam setiap pilihanraya yang diadakan dan menjamin urus tadbir Negara yang telus, baik dan cekap.


Sistem demokrasi yang murni memberi ruang yang luas kepada amalan semak dan imbang (check and balance). Segala tindak tanduk pemerintah atau pemimpin akan dipersoal yang akan menjadikan mereka sentiasa bertanggungjawab di atas pentadbirannya.

Kesilapan pemimpin akan dapat dihukum dan diturunkan oleh rakyat melalui pilihanraya. Tetapi keadaan seperti ini hanya boleh berlaku dalam sebuah pilihanraya yang bersih.

Sebaliknya dalam sebuah Negara yang mengambil demokrasi hanya sebagai topeng, bagaimana besar kesilapan pemimpin, pilihanraya tidak akan mampu menjatuhkannya dari tampuk kuasa.

Untuk melakukan perubahan, perhimpunan bukanlah suatu pilihan yang baik, walaupun hak kebebasan berhimpun adalah dibenarkan oleh sistem demokrasi itu sendiri. Demontrasi dan perhimpunan adalah pilihan terakhir setelah pintu rundingan menemui jalan buntu.

Tidak dinafikan demontrasi jalanan dan perhimpunan adalah cara yang amat berkesan dalam menuntut perubahan.

Pemerintah yang berkuasa tentulah mempunyai rasa ego dan tidak akan mengalah dengan pihak-pihak yang membuat tuntutan dengan mengadakan demontrasi jalanan.

Lihatlah kepada demontrasi jalanan yang diadakan oleh pihak Hindraf satu masa dulu. Mereka adalah kelompok kecil dari kaum India yang menuntut bagi kepentingan kaum India yang merupakan kaum minoriti di Negara ini. Walaupun secara rasminya pemerintah tidak melayan permintaan mereka tetapi sebenarnya demontrasi itu telah memberi impak yang besar.

Hinggakan sebuah buku novel yang digunakan oleh pelajar SPM di Negara ini terpaksa dipinda walaupun telah diguna sekian lama tanpa ada masalah, gara-gara dikritik oleh beberapa individu dari kaum India, yang menuduh terdapat ayat-ayat dalam novel itu dikatakan telah menghina kaum India.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan politik telah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka pada 9 Julai 2011 (Sabtu) ini, untuk menuntut supaya pilihanraya di Negara ini dilaksanakan secara bersih dan adil yang merupakan rukun utama demokrasi yang murni.

Perhimpunan 9 Julai ini bukan isu bagi satu-satu kaum, sebaliknya isu bersama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, dijangka akan menarik ramai orang untuk menyertainya.

Perhimpunan 9 Julai ini akan menunjukkan kesatuan rakyat Malaysia. Ini adalah Negara mereka, mereka mahu mengubah keadaan Negara ini kepada keadaan yang lebih baik.

Mungkin dalam keadaan yang kelam kabut bila diburu oleh pihak polis semasa mahu menyuraikan perhimpunan 9 Julai ini, pasti ada yang terjatuh dan cedera. Kita hendak lihat di masa itu, bagaimana orang Cina akan membantu orang Melayu yang cedera dan begitu jugalah sebaliknya. Di situlah kita akan melihat kesatuan dan perpaduan sebenar rakyat Malaysia dalam menuntut hak mereka bersama.

Mungkin ada pihak yang mempunyai kepentingan mahu melihat perhimpunan 9 Julai ini menjadi rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969, di mana Melayu dan Cina saling berbunuhan. Lupakanlah angan-angan mereka itu, sebaliknya di perhimpunan 9 Julai ini, kita yakin orang Cina dan Melayu akan saling lindung melindungi antara satu sama lain bagi mempertahankan diri dari serangan musuh mereka yang sama.

9 Julai 2011, tarikh rakyat Malaysia mencipta sejarah bagi memulakan langkah kearah pemurnian demokrasi dan pilihanraya yang bersih


No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com